Ahli Parlimen PR boikot sidang Dewan Rakyat 11 Mac, bantah keputusan terhadap Anwar

SHAH ALAM, 8 MAC: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan memboikot sidang Parlimen pada 11 Mac ini, sebagai membantah ketidakadilan hukuman yang dijatuhkan ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia adalah ketetapan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, dan diumumkan Anwar sendiri dalam ucapan penutupnya pada Konvensyen Pakatan Rakyat kelima hari ini.

“Ketiga-tiga parti akan arahkan semua Ahli Parlimen agar tidak hadir sidang Parlimen pada 11 Mac, sebagai tanda bantah kezaliman, rasuah dan sikap mereka yang berterusan peralat institusi negata untuk kepentingan mereka,” katanya.

Mereka juga memboikot sesi perbarisan bersama-sama Ahli Parlimen Barisan Nasional selepas perasmian sidang Parlimen 10 Mac ini.

“Kita akan hadir ke majlis perasmian (sidang Parlimen) oleh Yang di-Pertuan Agong dan dengar ucapan, tetapi tidak akan bersama Ahli Parlimen BN pada perbarisan.

“Saya sendiri akan tulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan jemputan santapan minum ringan bersama Agong, Perdana Menteri, timbalan Perdana Menteri, menteri kabinet dan speaker, saya takkan terima,” katanya.

Katanya lagi, ia sebagai bantahan kepada Ketua Hakim Negara yang bersekongkol dengan Umno BN.

“Buat apa nak senyum hipokrit dengan orang yang zalim dan rakus? Buat apa nak hormat Ketua Hakim Negara yang tak hormat undang-undang dan jadi perkakas?”, katanya lagi.

Namun, katanya lagi, Ahli parlimen pakatan bersedia untuk bertemu Agong pada bila- bila masa yang ditetapkan.

Majlis Setiausaha parti-parti komponen Pakatan Rakyat turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan arahan ini. Kenyataan tersebut ditandatangani Dato’ Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS dan Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Organisasi DAP. – Roketkini.com

Recommended Posts