Ahli parlimen wanita DAP kecam ucapan berbaur seksis di Parlimen

ffd5f78d 31ed 4dbd 8c03 632c93e31102

Pemimpin wanita negara termasuk Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyelar tindakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah yang mengeluarkan kata-kata berbaur seksis terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024.

Syefura telah menghantar usul ke pejabat setiausaha Dewan Rakyat untuk merujuk Ahli Parlimen Langkawi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya yang biadab, lucah dan berunsurkan gangguan seksual kepada Ahli Parlimen Seputeh pada 26 Oktober lalu.

Syefura berkata, kelakuan Mohd Suhami secara tidak langsung menghina Akta Antigangguan Seksual yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 20 Julai tahun lalu.

“Menerusi akta tersebut, gangguan seksual ditakrifkan sebagai apa-apa kelakuan yang tak diingini yang bersifat seksual dalam apa-apa bentuk sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya.

“Oleh yang demikian harapan saya adalah untuk beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta mendapat tindakan yang sewajarnya agar ia menjadi pengajaran kepada setiap ahli parlimen yang lain agar tidak berkelakuan biadab dan tidak mengeluarkan kenyataan lucah terhadap mana-mana ahli parlimen yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat menjadi kecoh seketika selepas Mohd Suhaimi mengeluarkan kenyataan seksis tersebut terhadap Teresa.

“Saya nak jemput khusus kepada Seputeh datang tak mau pakai apa pun tak apa. Yang tanya pakai seluar pendek itu kenapa.

“Saya terlupa nak sebut, saya nak bayangkan bagaimana Seputeh datang tak pakai apa-apa,” katanya.

Dia juga enggan menarik balik kenyataan itu meskipun diminta oleh Chong Zhemin (PH-Kampar).

Mengulas perkara tersebut, Syefura berkata dia kesal dengan perilaku ahli parlimen berkenaan yang enggan menghentikan perbahasan walaupun telah ditegur berkali-kali oleh timbalan speakar.

“Sebagai seorang ahli parlimen, beliau adalah contoh kepada penduduk kawasan yang diwakili beliau dan juga kepada rakyat Malaysia.

“Namun begitu melihat kepada respon yang diberikan, beliau seakan-akan tidak kesal dengan apa yang diucapkan bahkan menokok tambah kenyataan beliau,” jelasnya.

Recommended Posts