Sejak tahun lepas lagi, kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memperkenalkan satu akta yang dinamakan Akta Pembaharuan Semula Bandar yang bertujuan untuk menyediakan kerangka undang-undang yang lebih seragam dan sistematik bagi memastikan pembangunan bandar yang lestari, selamat dan model perumahan yang bermaruah dan sesuai diduduki.
Kita semua mengetahui tentang wujudnya kawasan-kawasan perumahan yang usang, uzur dan tidak teratur khususnya di flat-flat kos rendah yang banyak diduduki oleh rakyat berpendapatan rendah. Ketiadaan fasiliti yang kondusif, ketiadaan badan pengurusan yang bertanggungjawab menyelenggara bangunan melibatkan pengurusan sampah, keselamatan dan sebagainya telah menyebabkan banyak kawasan-kawasan ini terdedah kepada risiko jenayah, pengabaian sosial, isu rumah tangga, masalah keciciran pendidikan dan sebagainya.
Untuk menyelesaikan perkara ini, kita memerlukan peruntukan undang-undang baru yang khusus dan sistematik bagi melindungi dan mengimbangi kepentingan penduduk dan pembaharuan semula oleh pihak pemaju. Di bawah Akta PSB ini, nilai ambang persetujuan yang dicadangkan ialah 75% bagi bangunan yang melebihi 30 tahun, 80% bagi bangunan kurang daripada 30 tahun serta 51% bagi bangunan terbiar dan terbengkalai. Saya faham bahawa mungkin kadar nilai ambang ini menjadi pertikaian sesetengah pihak, akan tetapi rundingan masih dijalankan dan kadar nilai ambang mestilah diturunkan daripada 100 peratus. Kita tidak mahu berlaku kes seperti di Desa Kudalari di Jalan Tun Razak yang mana pembaharuan semula rumah pangsa tidak dapat dijalankan hanya kerana seorang pemilik sahaja tidak bersetuju. Nilai ambang 100 peratus ini ternyata tidak praktikal dan menyukarkan proses pembaharuan semula rumah-rumah usang ini.
Baru-baru ini saya mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh KPKT, melawat kawasan-kawasan perumahan yang dicadangkan untuk dibangunkan. Antaranya ialah Flat Taman Desa Bakti di Batu Caves. Hasil rundingan bersama pemaju dan penduduk, antara tawaran pembangunan semula flat tersebut termasuklah:
- Pemaju akan menanggung kesemua kos guaman, caj pindahmilik Unit Rumah Gantian baru, kos penyelenggaran selama 3 tahun.
- Pemilik yang menduduki unit rumah sedia ada akan mendapatkan dana kos perpindahan berjumlah RM6,000.
- 3 pilihan diberi kepada 148 pemilik flat sedia ada, antara pilihan yang ada ialah, sekiranya pemilik menanggung sendiri segala kos sewaan unit rumah sewaan sementara selama 48 bulan, pemilik akan mendapat unit rumah gantian baru berkeluasan 1000 kaki persegi dengan anggaran nilai rumah berjumlah RM520,000. Jika pemilik berkongsi kos sewaan unit rumah sewaan sementara bersama pemaju, iaitu pemaju membayar sebanyak RM800 sebulan selama 48 bulan, pemilik akan mendapat unit rumah baru berkeluasan 900 kaki persegi. Sekiranya pemilik menolak unit rumah baru, mereka akan menerima gantian wang tunai sebanyak RM200,000 ringgit.
Saya berpendapat tawaran-tawaran ini adalah munasabah dan mengambil kira kebajikan penduduk. Malah saya yakin pihak kerajaan juga sedang meneliti kaedah terbaik bagi memastikan kadar yuran penyelenggaran (maintenance fee) untuk unit baru kelak adalah berpatutan dan punyai mekanisme yang lestari dalam membiayai kos penyelenggaran bangunan baru itu kelak. Ini sudah tentu melibatkan cabaran penguatkuasaan kutipan kepada pemilik unit rumah gantian baru nanti. Saya fikir sudah tentu kerajaan akan mempertimbangkan suntikan geran kepada JMB yang dilantik kelak untuk memastikan kawasan perumahan yang telah diperbaharui dapat dijaga dengan baik.
Sebarang cadangan untuk penambahbaikan terhadap akta yang ingin dilaksanakan ini sangatlah dialu-alukan, akan tetapi kita seharusnya lebih bertanggungjawab dalam melontarkan komen yang membina persepsi jahat, kononnya Akta ini akan melebihkan pemaju dan meminggirkan orang miskin. Malah ada yang sanggup menuduh bahawa akta ini ingin mengusir pendudukan orang Melayu di kawasan bandar. Ini adalah tuduhan jahat yang tidak berlandaskan fakta, malah hanya akan menyebabkan golongan miskin bandar berterusan terperangkap di dalam kawasan perumahan yang tidak selamat, usang dan membahayakan masa depan penduduk khususnya anak-anak mereka. Kerajaan telah menyatakan bahawa status tanah tidak berubah, jika tanah itu ialah rizab Melayu, ianya kekal sebagai rizab Melayu; jika pajakan 99 tahun, ia juga akan kekal begitu dan sekiranya statusnya ialah pegangan bebas (freehold), maka statusnya tetap sama. Tiada isu perkauman disini.
Akhir kata, saya menyeru kepada semua untuk berlapang dada membaca dan mengkaji akta ini, memberi pendapat yang sewajarnya, serta mengelakkan persepsi yang negatif. Ini adalah akta untuk membantu golongan miskin bandar untuk mendapatkan kehidupan sosial yang bermaruah, kondusif serta kejiranan yang lestari.
Young Syefura binti Othman