Akta PSB bukan untuk jejaskan kuasa politik Melayu, sebaliknya untuk naik taraf hidup rakyat

c9ae5aaf 96ce 47be bd1e ffb11169231f

1. Saya menyanggah kenyataan dikeluarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sepertimana di pautan
https://www.facebook.com/share/p/14arCcEk2P/

2. Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB) BUKAN berniat menjejaskan kuasa politik Melayu sepertimana dakwaan Tun Mahathir Mohamad. Sebaliknya, Akta PSB adalah bukti keptihatinan Kerajaan Madani untuk menaik taraf kehidupan rakyat di bandar.

3. Contohnya, pelbagai masalah dihadapi penduduk rumah pangsa di bandar seperti keselamatan bangunan, sistem kumbahan, kekurangan tempat letak kenderaan, kerosakan lif dan sebagainya. Menerusi Akta PSB, ia dapat menambah keselesaan, mengurangkan kos penyelenggaraan, menyediakan kemudahan infrastruktur lebih lengkap seterusnya menjamin keselamatan penduduk.

4. Kenyataan Tun Mahathir yang seolah-olah cuba menggambarkan Akta PSB sebagai instrumen menindas dan melemahkan orang Melayu juga adalah TIDAK TEPAT. Hakikatnya, hak setiap warganegara kita adalah dilindungi oleh undang-undang. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan telahpun memberikan jaminan kepada rakyat terhadap harta yang mereka punyai dimana TIADA INDIVIDU boleh dilucutkan hak pemilikannya kecuali mengikut lunas undang-undang serta pampasan yang adil.

5. Kenyataan Tun Mahathir bahawa penduduk Melayu akan berkurang kerana tak mampu sewa atau beli flat yang harganya tinggi juga tidak benar. Faktanya, Kerajaan akan membantu untuk perundingan yang lebih adil berbanding sebelum Akta PSB dimana pemaju berunding secara terus dengan pemilik dan berlaku pelbagai insiden tak diingini seperti ugutan, pergaduhan, ancaman serta pengusiran.

6. Bahkan tiada sebarang unsur paksaan atau isu gentrifikasi dalam penggubalan akta. Mekanisma penting perlaksanaan Akta PSB adalah mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan, BUKANNYA pengambilan secara paksa.

7. Saya anggap, kenyataan Tun Mahathir berkaitan pindaan RUU PSB ini ialah suatu percubaan untuk memberi imej negarif terhadap usaha dilakukan oleh Kerajaan Madani. Hakikatnya, Akta PSB bukan untuk melemahkan kuasa orang Melayu sebaliknya untuk menaik taraf kehidupan rakyat agar memiliki kehidupan yang lebih manusiawi, bermaruah dan sempurna.

Sheikh Omar Ali
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP
Naib Pengerusi DAP Johor

Recommended Posts