
1. Semasa laporan media disiarkan mengenai dakwaan Sdr Fahmi Reza bahawa beliau dilarang keluar negara, saya tidak memberi sebarang ulasan kerana mahu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk memberi penjelasan. Namun setakat ini, masih belum ada apa-apa kenyataan balas tentang dakwaan Fahmi Reza.
2. Tindakan melarang seseorang individu untuk ke luar negara tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, dan hanya boleh dilakukan dengan alasan-alasan yang kukuh.
3. Sebelum ini, semasa Fahmi disiasat dan didakwa atas kesalahan-kesalahan dan saya mewakilinya sebagai peguam, beliau masih boleh ke luar negara. Dan setiap kali, beliau akan pulang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa apabila diperlukan.
4. Sekiranya benar ada sekatan perjalanan, dan ianya adalah disebabkan Fahmi sedang disiasat pihak berkuasa, maka tindakan ini tidak diperlukan kerana Fahmi bukanlah seorang yang tergolong dalam risiko melarikan diri (flight risk).
5. Saya menyeru kepada pihak berkuasa, termasuk pihak Kementerian Dalam Negeri sendiri, untuk mengesahkan dakwaan Fahmi Reza ini, dan sekiranya benar, menjelaskan mengapa tindakan ini diambil.
Syahredzan Johan
Ahli Parlimen Bangi
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP
8 Jun 2025