Anak muda bangkit, peduli – Shazwan

Oleh Heliana Hashim, Ghafar NS

Bukan mudah untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara lagi-lagi jika persepsi itu sudah lama wujud dan menjadi sebati dalam diri mereka.

Golongan muda yang merupakan pelapis masa hadapan perlu terus peduli dengan politik negara bagi memastikan ia tidak terus dicemari oleh golongan yang tidak berhati perut.

Shazwan Zdainal Abidin, anak jati Batu Pahat, Johor, memberitahu, tujuan beliau memilih DAP adalah untuk memperbetulkan salah tanggap masyarakat Melayu kepada parti itu, selain mengakui bahawa DAP mempunyai arah perjuangan yang seiring dengan jiwa beliau sendiri.

Ditanya berkaitan keluarga mahupun orang terdekat tentang penglibatannya bersama DAP, beliau menyatakan tidak mendapatkan pandangan daripada sesiapa termasuk keluarganya sendiri untuk menyertai DAP. Namun, keluarganya tidak pernah menghalangnya. Tidak dapat dinafikan, beliau kini telah lali dengan segala kutukan, hinaan dan kecaman yang sering dilemparkan sejak penglibatannya bersama DAP.

“Orang Melayu pandang DAP sebagai parti untuk Cina. Sebab tu saya tertarik dengan DAP dan saya ingin sampaikan kepada orang Melayu yang persepsi mereka selama ini adalah salah,” katanya dalam wawancara bersama Roketkini.

Isu Jawi di Pahang

Baru-baru ini, hangat isu Adun DAP di Pahang memfailkan permohonan kebenaran di mahkamah untuk mencabar perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri mewajibkan tulisan jawi di papan tanda iklan.

Menjawab soalan hangat Roketkini ini, saudara Shazwan berpendapat terdapat banyak lagi isu penting yang boleh diketengahkan berbanding isu tersebut, lebih-lebih lagi ia boleh dibangkitkan oleh pihak-pihak lain.

Tambahnya lagi, DAP di Johor pernah menjalankan ‘tour’ daerah ke daerah, memberi penerangan dan pendedahan kepada masyarakat tentang tulisan jawi dan salah faham berkaitan dengannya. Masyarakat memberi respon balas positif yang menunjukkan bahawa tidak sukar untuk memberi kefahaman kepada masyarakat  tentang sesuatu hal yang mereka tidak arif.

Anak muda peduli!

Apabila ditanya pandangan peribadinya berkenaan situasi terkini dunia politik Malaysia, beliau menyatakan bahawa kejatuhan Pakatan Harapan menerusi pengkhianatan pada penghujung Februari lalu akan kekal menjadi sejarah hitam terburuk untuk negara ini.

Namun, Ketua DAPSY Batu Pahat ini menegaskan bahawa amat penting untuk anak-anak muda bangkit dan terus peduli terhadap politik tanah air, supaya pada masa akan datang, mandat rakyat tidak diperlekeh dan dicabuli lagi oleh mereka yang tidak berhati perut. — Roketkini.com

Recommended Posts