Angan-angan Muhyiddin

457185690 1055446235937480 3326894653754104635 n

Setahun yang lalu, setelah selesai pilihan raya serentak di enam negeri, saya telah menulis satu rencana tentang malapnya peluang Perikatan Nasional untuk kembali menjadi kerajaan, malah impian itu mungkin lenyap sama sekali. Kerana segala usaha Perikatan sudahpun sampai kemuncaknya pada masa itu.

Dalam rencana itu, saya mengemukakan empat senario politik pasca-PRN enam negeri tersebut, iaitu komplot ala Langkah Sheraton sukar untuk berulang; usaha Perikatan membangkitkan kemarahan Melayu untuk mendapat undi sudah mencapai tahap maksimumnya; kehebatan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Hadi Awang dan Dato’ Seri Azmin Ali semakin malap; dan pertandingan tiga penjuru yang telah menguntungkan Perikatan pada pilihan raya umum 2022 semakin berkurangan.

Walaupun saya berpandangan bahawa Perikatan sukar untuk kembali menjadi kerajaan semula, dalam tulisan yang sama itu, saya juga menerima hakikat bahawa PAS masih kekal sebagai sebuah parti yang kukuh. Malah, jika PAS sanggup bergerak ke tengah serta lebih sederhana, iaitu mengurangkan retorik kaum dan agama, saya percaya PAS akan terus teguh.

Keputusan pilihan raya kecil Nenggiri serta kontroversi kenyataan Muhyiddin sewaktu berkempen yang terkait dengan penghinaan terhadap institusi diraja membuktikan Presiden Bersatu itu tidak boleh “move on” kerana masih terperangkap dengan nostalgia menjadi Perdana Menteri pada 2020-21.

Untuk memahami keadaan ini, kita perlu kembali kepada titik permulaan kewujudan Bersatu. Ia merupakan sebuah parti yang ditubuhkan pada September 2016 sebagai wadah untuk semua puak dalam UMNO yang menentang Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak. Antara kumpulan utama dalam parti itu adalah kelompok Muhyiddin dan para penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 28 Julai 2015, Najib selaku Perdana Menteri ketika itu telah memecat Muhyiddin yang merupakan Timbalan Perdana Menteri. Apabila bukti-bukti mengenai skandal 1MDB telah terserlah dan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Najib semakin menjunam, golongan UMNO yang menentang Najib mula rapat dengan Dr Mahathir.

Sebenarnya Dr Mahathir dan Muhyiddin bukan rakan politik yang akrab. Bagi menghadapi PRU 1995, Dr Mahathir yang merupakan Perdana Menteri pada masa itu telah membawa keluar Muhyiddin dari zon selesanya sebagai Menteri Besar Johor untuk bertanding di peringkat Parlimen. Setelah menang, beliau dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan, satu jawatan Kabinet yang dianggap rendah oleh Muhyiddin. Dari saat itu, beliau menyimpan dendam terhadap Dr Mahathir.

Namun, demi politik, walaupun tidak sebulu, kedua-duanya bekerjasama untuk menerajui Bersatu dengan susunan kepimpinan yang agak ganjil, iaitu Dr Mahathir sebagai Pengerusi dengan kuasa eksekutif manakala Muhyiddin menjadi Presiden.

Pakatan Harapan – bersama Bersatu yang menjadi parti komponennya – telah memenangi PRU 2018. Namun, usia kerajaan baru ini tidak lama. Setelah hampir dua tahun berkuasa, Pakatan Mahathir-Muhyiddin telah berpecah.

Muhyiddin melakukan rampasan kuasa Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan melalui kerjasama dengan pembangkang PAS dan UMNO, serta sokongan segelintir Ahli Parlimen komponen Pakatan Harapan. Pada saat itu, Dr Mahathir terpinggir tanpa parti.

Namun, Langkah Sheraton yang tidak demokratik itu terbukti gagal bertahan, terutamanya apabila gabungan mereka berdepan dengan pilihan raya umum.

Pertama, kerajaan tiga parti – Bersatu, UMNO dan PAS – walaupun mampu menubuhkan kerajaan, oleh kerana kerusi-kerusi majoriti Melayu di Malaysia terhad jumlahnya, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan kerusi boleh-menang. Ini bermakna gabungan Muhyiddin itu tidak mampan strukturnya.

Kedua, bagi menjayakan Langkah Sheraton, Muhyiddin telah menolak keluar kumpulan Dr Mahathir daripada Bersatu dan mengisi kekosongan itu dengan membawa masuk gerombolan pembelot Parti Keadilan Rakyat pimpinan Azmin Ali. Bersatu juga diperkuatkan dengan kemasukan wakil-wakil UMNO yang diketuai Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Puak ini merupakan mereka yang menang atas tiket UMNO tetapi cabut lari setelah UMNO hilang kuasa buat kali pertama dalam sejarah pada PRU 2018.

Bagaimana keadaan Bersatu sekarang? Hari ini ia dilihat sebagai parti yang dianggotai pemimpin dan ahli yang sangat berbeza matlamat mereka. Mereka hanya bersepadu atas tekanan keadaan. Malah, perpecahan di antara Azmin dan Hamzah semakin ketara.

Bandingkan telatah para pemimpin Bersatu dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun Perdana Menteri telah menghadapi pelbagai cabaran, termasuk perbuatan para pemimpin PKR yang melompat parti sejak awal penubuhannya, beliau tidak mudah tergugat. Malah beliau berjaya mengekalkan sekelompok pemimpin yang setia sejak 1998 hingga 2022 walaupun tanpa kuasa, malah terpaksa meringkuk di dalam penjara (1998 hingga 2004, dan 2015 hingga 2018).

Yang membolehkan Bersatu terus berpadu sehingga sekarang adalah nostalgia di mana Muhyiddin pernah menjadi Perdana Menteri pada Mac 2020 hingga Ogos 2021, dan harapan bahawa beliau akan kembali menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi.

Impian inilah yang mampu meraih undi kepada Perikatan Nasional, tentunya dengan bantuan PAS, dan membolehkan gabungan itu memenangi 74 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU 2022.

Hari ini, harapan Muhyiddin untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri semakin pudar. Pada masa yang sama, PAS pula menjulang nama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar yang menang PRK Parlimen Kemaman pada 2023, sebagai bakal calon Perdana Menteri.

Namun, Muhyiddin tetap mengidam untuk kembali sebagai Perdana Menteri. Beliau bercerita tentang nasibnya yang kononnya hampir menjadi Perdana Menteri pasca-PRU15 pada November 2022. Kerana itulah juga, sewaktu berkempen, beliau telah mempersoalkan titah rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah.

Yang nampak jelas kepada kita hanyalah angan-angan beliau yang bersungguh-sungguh mahu sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

LIEW CHIN TONG
PENGERUSI DAP JOHOR

Recommended Posts