Anthony Loke: Anak muda perlu prihatin politik

Wawancara eksklusif dengan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, merangkap Ahli Parlimen Rasah

Boleh ceritakan sedikit tentang latar belakang saudara?

Saya berusia 34 tahun, anak watan Seremban, dibesarkan di Seremban dan bersekolah di Seremban iaitu Sekolah St Paul yang pada ketika itu sudah menjadi Sekolah Kebangsaan St Paul. Di sekolah itu saya lebih menggunakan Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Inggeris kerana sudah ada kurikulum KBSR. Sekolah menengah pun di St Paul. Selepas SPM, saya ambil STPM di Sekolah Menengah Sri Ampangan. Selepas itu saya masuk ke KM belajar dalam Fakulti Sains Pembangunan.

Melihat latar belakang pendidikan saya, saya lebih kepada Bahasa Malaysia. Saya tak belajar Bahasa Mandarin di sekolah. Bahasa Inggeris cuma subjek mata pelajaran, dan Bahasa Malaysia adalah bahasa utama. Bagi saya ini ada kesan baiknya kerana memberikan saya keselesaan untuk berbahasa Malaysia yang banyak membantu saya sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Jadi itu lah hikmah dari latar belakang pendidikan saya. Saya banyak berkait rapat di Seremban. Saya tak tinggalkan Seremban lama. Hanya dalam tempoh lima tahun sahaja sewaktu di UKM. Tetapi selepas saya menjadi Adun Lobak pada 2004, saya kembali banyak menghabiskan masa di Seremban.

Maknanya selepas saudara tamat pengajian, saudara terus bertanding?
Ya.

Bagaimana saudara boleh terlibat dengan politik?
Saya zaman kanak-kanak lagi saya mendapat galakan positif keluarga khususnya ayah saya yang selalu bawa saya ke ceramah politik dan selain itu saya memang minat terhadap perkembangan isu-isu semasa. Saya masih ingat dalam darjah tiga, darjah empat, secara ironinya, surat khabar yang saya mula-mula baca ialah Utusan Malaysia dan Berita Harian sebab itu lah bahasa yang saya fasih. Hanya ketika darjah 5 baru saya mula membaca akhbar berbahasa Inggeris seperti The Star. Tetapi kebanyakan sumber bacaan saya ialah dalam Bahasa Malaysia. Saya masih ingat salah satu sumber bacaan saya ketika itu ialah majalah Dewan Masyarakat sebab majalah itu banyak menulis rencana politik.

Mengapa saudara tergerak memilih DAP?

Sebenarnya sejak kecil lagi saya memang tertarik dengan DAP. Lagi pun ayah saya juga penyokong DAP, sudah menjadi kebiasaan bagi saya bila dia selalu bawa saya ke ceramah politik DAP. Dia tak pernah bawa saya ke ceramah politik MCA. Tak pernah. Sejak kecil lagi tak ada langsung hubungan atau penyertaan dengan MCA. Pada ketika itu (1980-an) persepsi saya mungkin telah diasuh dari cakap-cakap orang dewasa dan keluarga yang melihat MCA sebagai sebuah parti yang tak ada prinsip, pemimpinnya lebih dilihat mementingkan diri sendiri dan tidak mementingkan perjuangan rakyat. Jadi itu persepsi sejak kecil lagi. Betul atau tidak, ini lah persepsi saya, yang dibentuk diasuh oleh persekitaran dan sumber bacaan saya.

Sebelum menyertai bidang politik, ada cita-cita peribadi saudara untuk ke bidang lain?

Sebelum meninggalkan universiti, iaitu pada tahun terakhir, saya telah melibatkan diri dalam perniagaan internet. Saya telah mewujudkan portal yang diberi nama KLKU (Kuala Lumpur Ku). Portal saya masa itu ialah untuk menarik semua peniaga-peniaga kecil untuk mengiklan di portal saya. Tapi itu kurang berjaya. Jadi memang sebelum masuk politik, impian saya ialah masuk dalam perniagaan sebab boleh kuatkan ekonomi dan kewangan sebelum saya sertai politik.

Jadi saudara mengumpul sumber kewangan dahulu sebelum aktif dalam DAP. Tahun bila saudara aktif dalam perniagaan itu?
Pasca reformasi. Dari tahun 2000 hingga hujung 2001. Lebih kurang dua tahun lah. Walau pun ketika itu saya terlibat dengan perniagaan, saya sudah aktif dengan parti, saya seringkali ada hubungan dengan pimpinan DAP sebab saya sudah menjadi ahli DAP sejak akhir tahun 1994 waktu saya umur 17 tahun. Jadi masa zaman reformasi saya memang ada hubungan dengan DAP.

Perlukah anak muda menyertai politik?

Ramai orang ingat terlibat dengan politik itu ialah menjadi ahli parti politik. Bagi saya itu satu persepsi yang salah. Apabila kita kata bila seseorang itu berpolitik tak semestinya seseorang itu perlu menjadi ahli politik. Apatah lagi menjadi calon pilihan raya. Apa yang kita maksudkan dengan melibatkan diri dalam politik ialah, seseorang itu perlu tahu apa yang berlaku di sekelilingnya, apa isu-isu yang melanda negara kita. Apakah perkembangan di negara kita, dasar-dasar kerajaan, persepsi, atau pencapaian yang dibawa oleh parti pemerintah atau pun kerajaan.

Apa pandangan saudara tentang Sambutan Hari Sejuta Belia yang dianjurkan oleh kerajaan Barisan Nasional baru-baru ini termasuk cadangan menubuhkan Parlimen Belia?

Sebenarnya itu satu konsep yang menarik, iaitu ada satu pentas kepada belia untuk memberi pandangan mereka. Tetapi pada saya, yang pertama, kerajaan tak telus memberikan penerangan. Apakah isinya? Dia cuma cakap sahaja. Apa itu Parlimen? Kita boleh adakan bangunan, institusi, tetapi yang pentingnya ialah pengisian.

Kalau nak bercakap tentang penglibatan orang muda dalam penggubalan dasar, nak mendengar pandangan orang muda, memang kita perlukan Parlimen. Tetapi Parlimen ruang lingkupnya terhad, keanggotannya terhad. Mungkin kepada beberapa ratus orang sahaja. Tetapi ia tak melibatkan belia secara keseluruhannya, itu yang kita bimbang, yang pada akhirnya akan menjadi alat politik. Yang menjadi anggota Ahli Parlimen Belia ini mungkin orang yang dekat dengan Barisan Nasional. Banyak perkara yang BN lakukan di Malaysia, membuat rakyat sangsi kepada BN kerana apa yang dibuat selalunya atas pertimbangan politik, macam isu biasiswa itu, ianya adalah berdasarkan pertimbangan politik.

Jadi apa perlu kerajaan lakukan?

Yang pertama, yang paling penting, hapuskan AUKU (Akta Kolej dan Kolej Universiti). Kalau dia kata nak cungkil, nak menjana pemikiran yang kreatif dan konstruktif kepada belia, AUKU perlu dibuang. Kita perlu balik kepada ruang yang bebas dalam kampus kita. Itu paling asas. Kalau mahasiswa tak ada ruang pemikiran yang bebas dan dikongkong kerajaan, maka apakah ada kebebasan kepada belia untuk menyuarakan suara mereka?

Yang kedua, sistem pendidikan negara kita masih tertumpu kepada pendekatan peperiksaan, dan banyak kritikan terhadap sistem peperiksaan kita ialah kerana kita terlalu menitikberatkan kepada nilai yang surface, dan spoon fed. Tak ada budaya kritis dan ianya tidak digalakkan dalam sekolah kita kerana dalam peringkat sekolah rendah, hanya cikgu yang bercakap. Cikgu yang mengajar, selepas itu murid-murid dengar kemudian balik dan buat kerja rumah. Itu cara pembelajaran kita. Ianya cuma pendekatan satu hala, jadi ia tak menggalakkan budaya menyoal dan tidak ada cabaran kepada minda muda kita untuk berfikir dan tak ada pemikiran kritis. Selepas itu anak muda tak ada keghairahan.

Kalau di negra-negara demokrasi, mereka menggalakkan murid-murid untuk menyoal, untuk berhujah supaya meningkatkan keghairahan mereka untuk mengetahui sesuatu. Keghairahan itu tinggi. Tapi dalam sistem dalam negara kita tak ada macam tu, murid-murid tak digalakkan bertanya dan menyoal.

Apakah punca yang menjadikan sistem pendidikan kita sebegitu?

Yang pertama, guru-guru dilatih untuk menyampaikan maklumat. Guru-guru dilatih untuk mengajar sahaja. Dia bukan sebagai seorang fasilitator. Saya tak menyalahkan guru kita sebab guru hanya mengikut dasar yang ditetapkan. Tetapi persoalannya adakah BN bersedia untuk mengubah dasar ini? Kalau rakyat kita diasuh sebegitu, mungkin BN akan hilang kawalan terhadap masyarakat yang mereka tak boleh kawal dari segi politik secara lama.

Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga menawarkan kenaikan gaji RM500 kepada setiap guru. Adakah insentif ini akan memberi kesan kepada sistem pendidikan kita?

Memang ia insentif yang kita tawarkan tapi ia tak cukup. Tujuannya ialah untuk menghargai guru-guru. Yang kedua ialah untuk meningkatkan pendapatan pendidik supaya dapat menggalakkan graduan-graduan untuk memilih kerjaya guru sebagai kerjaya mereka. Tetapi apa pun kita perlu lihat balik, kalau Pakatan berjaya masuk ke Putrajaya, kita harus mengkaji dan menilai balik apakah falsafah pendidikan kita. Adakah kita hanya nak menilai nak mengolah dan melahirkan masyarakat yang hanya boleh mengira, membaca, dan menulis atau pun lebih dari itu? Bagi saya kita sudah ada 3M (membaca, menulis, mengira) tetapi ada satu lagi ‘M’ yang keempat yang kita tak beri perhatian iaitu ‘memikir’. Ya, falsafah pendidikan kita tak ada penekanan terhadap daya memikir.

Tentang isu biasiswa JPA baru-baru ini, boleh saudara jelaskan serba sedikit?

Yang pertamanya kita ingin melihat apakah pentadbiran awam kita boleh melahirkan kumpulan cendekiawan atau yang terpandai dalam biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini. Biasiswa JPA ini memang satu keistimewaan. Ia bukannya hak, bukan pemberian mutlak, tetapi satu keistimewaan yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang pandai supaya kita harap mereka ini mendapat pendidikan terbaik di luar negara dan balik kembali ke negara dan berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Kalau kita lihat di Singapura, mereka yang telah mendapat biasiswa dari kerajaan, mereka kena pulang bekerja dengan kementerian-kementerian mereka. Dan kalau kita ada proses ini, kita akan melahirkan penjawat awam yang efektif dan cekap. Tetapi yang membelenggu biasiswa JPA kita ialah, dasar pemberian itu ditentukan oleh rundingan BN melalui faktor politik. Ia bukan melihat sebagai kepentingan negara dan bagaimana memacu negara ke arah yang lebih maju dengan pembinaan modal insan.

Yang kedua, tidak ada satu mekanisme yang baik supaya mereka yang balik dari luar negara ini berkhidmat kerana kita tahu bahawa secara hakikatnya ramai yang dapat JPA akhirnya mereka tak balik bekerja dengan sektor awam. Mungkin tak ada mekanisme untuk tarik mereka balik bekerja di sektor awam. Baru-baru ini ada kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz bahawa memang ramai yang dapat biasiswa, bila pulang kembali, mereka tak bekerja di sektor awam. Adakah sektor awam kita seolah-olah tidak mengalu-alukan mereka balik? Adakah Little Napoleon kita, atau birokrat-birokrat yang ada dalam sektor awam kita yang tidak mahu graduan-graduan ini balik kerana kalau mereka balik mungkin akan memberi cabaran kepada mereka, untuk naik pangkat, pegang jawatan tinggi dan sebagainya.

Bagaimana dengan minat tenaga muda kita yang tidak berminat bekerja dalam sektor awam, sebagai contoh, kaum Cina yang dikatakan tidak berminat bekerja sebagai tentera atau polis?

Saya melihat perkara ini atas faktor peluang. Yang pertamanya, kita lihat melihat balik model Perikatan, sebelum 1969, sehingga konsep BN pada 1974. Kalau kita soal para penganalisis politik, Malaysia mengamalkan sistem politik concessional. Ia satu konsep politik. Unsur-unsurnya ialah ada kerjasama di peringkat elit dan dengan itu perlu ada satu sesuatu yang menghubungkan semua kaum dalam negara itu. Yang keduanya wujud kerjasama elit pemerintah. Jadi ini ialah sistem yang diamalkan BN.

Jadi mengikut sedikit bacaan yang saya buat dari dahulu lagi, Perikatan selalu ada unwritten agreement dengan MCA. Konsepnya ialah UMNO diberi peluang untuk menguasai politik manakala MCA pula diberi peluang untuk kaum Cina dibiarkan terus menguasai ekonomi. Ini memang satu mala petaka kepada negara kita.

Ini adalah dasar-dasar yang tak ditulis. Seolah-olah UMNO ini kena pertahankan sektor politk atau sektor awam untuk Melayu manakala Cina dibiar jaga ekonomi. Macam pecah perintah lah. Jadi kesannya terjadi pada hari ini. Kaum Cina cakap sektor awam kerajaan tak bagi peluang. Orang Melayu pula cakap, tak diberi peluang untuk berniaga. Inilah kesan buruk oleh BN yang terbawa sehinga ke hari ini.

Ini bukan sesuatu yang mudah diatasi sebab ia sudah jadi stigma atau pun minda dalam masyarakat kita. Memang betul hari ini kalau kerajaan nak rekrut orang Cina untuk jadi polis atau tentera, memang sukar sebab minda masyarakat itu sudah stereotaip. Mereka melihat bahawa, “oh, kalau masuk, tak ada peluang untuk naik pangkat, akan ada diskriminasi dan sebagainya.”
Usaha mengubah pandangan ini bukan mudah.

Apa yang dilakukan oleh Pemuda DAP dalam hal ini terutama mendekatkan diri dengan orang Melayu?

Yang pertamanya ialah DAP sudah banyak berusaha. Seperti di negeri-negeri yang kita tadbir sekarang, kita sudah beri peluang kepada kaum Melayu untuk menjadi calon dan ini untuk memberi satu pandangan yang DAP tidak mendiskriminasi mana-mana pihak walau pun kita akui kenyataannya bahawa DAP keahliannya majoritinya bukan Melayu. Bagaimanapun kita tak lihat dan tak rasa yang itu satu masalah malah kita tak halang Melayu dari menyertai DAP.

Apa pandangan saudara tentang kersama Pemuda DAP, PAS dan PKR sekarang ini?

Dari segi kempimpinan memang tak ada masalah. Tetapi cabarannya ialah bagaimana membawa hubungan akrab ini ke akar umbi. Di peringkat kepimpinan, bukan sahaja pemuda, dan kepimpinan atas, memang tak ada masalah besar. Kalau kita lihat antara Tuan Guru Hadi Awang, Tok Guru Nik Aziz dan Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng memang tak ada masalah.

Bagaimanapun, budaya atau pun intergrasi ini perlu dibawa ke peringkat akar umbi. Contohnya macam di Pahang, intergrasi antara PAS dan DAP cukup baik sebab sejak 1999 lagi kita sudah bekerjasama, tetapi di tempat lain di negeri lain, budaya ini agak kurang. Sebabnya ialah kerana budaya politik masing-masing masih tak biasa. Tak ada kerjasama yang sebenarnya di peringkat akar umbi. Ada usaha, bukan tak ada usaha. Tetapi nak membudayakan ini di akar umbi, ianya memakan masa. Jadi untuk PR berjaya, kita tak boleh ikut cara BN. BN guna kerjasama cuma di peringkat elit.

Dalam DAP sendiri adakah kefahaman tentang ideologi demokrasi sosial, prinsip dan perjuangan sudah jelas?
Adakah orang muda faham tentang demokrasi sosial? Adakah mereka faham bahawa itu adalah satu ideologi politik? Kalau kita tanya ramai ahli kita, mereka belum cukup faham. Ramai yang belum begitu faham kerana kita belum lagi berjaya membudayakan pemahaman ideologi ini ke akar umbi. Kita belum cukup usaha menerapkan perkara-pekara ini dalam minda ahli-ahli kita.

Kenapa berlaku sebegitu?

Sebab pemahaman ideologi itu tak tebal. Kalau di luar negara, ahli-ahli parti tahu sayap kiri, sayap kanan, liberal, konservatif dan sebagainya. Tetapi di Malaysia, bukan dalam DAP saja, nilai-nilai ini tidak difahami. Contohnya apa nilai-nilai perjuangan UMNO? Dia kata memperjuangkan Melayu, perjuangkan kepentingan hak melayu. PAS pula nilai politiknya ialah memperjuangkan wadah politik Islam, kerana Islam is the way of life. DAP, walaupun kita mempunyai ideologi demokrasi sosial, kita kurang titik beratkan pasal demokrasi sosial, kita jarang cakap tentang keadilan demokrasi.

Apa yang saya katakan, kebanyakan orang yang sertai DAP ini bukan kerana dia faham ideologi demokrasi sosial. Mereka masuk DAP sebab mereka melihat kebejatan BN. Yang keduanya, mereka melihat BN mengamalkan rasuah. Jadi itu sebab mereka sertai DAP untuk melawan, untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan cekap. Itu maksud saya.

Bukankah lebih baik kalau ahli itu lebih faham dasar perjuangan DAP sebab sekurang-kurangnya ianya dapat menjamin, contohnya kalau ada perubahan politik, mereka tidak akan mudah lompat parti?

Ya, memang. Itu juga tanggungjawab saya. Saya dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Pendidikan Politik parti. Bukan kita tak ada, kita telah serapkan dalam kursus induksi kita, kepada ahli-ahli baru, apakah falsafah perjuangan DAP, apakah nilai DAP kita, nilai sosial kita ialah kita memperjuangkan keadilan sosial, kita memperjuangkan kesamarataan peluang, equality of oppurtunity.

Setelah 16 pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak, adakah kerjasama antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat bertambah baik?

Fakta bahawa Pakatan Rakyat mampu bertahan sehingga sekarang sudah menggambarkan satu pencapaian. Ramai yang rasa kita akan berpecah selepas setahun atau dua tahun. BN kata PAS dan DAP akan berpecah dan pelbagai kontroversi ditimbulkan. Tetapi hakikatnya kita masih bersama. Saya melihat tiga tahun ini sebagai satu proses pengenalan antara PAS dan DAP. PAS dan DAP, hubungan kita boleh dikatakakan bermula sejak 2008, kerana kerjasama pada 1999, hubungan yang ada ketika itu tak sampai ke bawah (akar umbi).

Tetapi sekarang sudah lain, dalam tiga tahun ini, dalam Pakatan Rakyat, suka tak suka, mereka perlu bekerjasama. Kita perlu berkomunikasi, contohnya di Selangor, sudah ada kerjasama di peringkat akar umbi. Ada bahas, debat dan kerjasama di peringkat akar umbi antara PAS, PKR dan DAP. Ada JKK yang terlibat dalam ketiga-tiga parti ini. Sudah ada perhubungan ini.

Dalam tiga tahun ini ia bukan satu jangka masa yang panjang untuk berkenalan untuk berkenalan dan selesa bekerjasama. Saya rasa kita telah berjaya melalui proses itu.

Bagaimana pula di kawasan dan negeri saudara di Negeri Sembilan?

Di kawasan yang berjaya sudah tentu di kawasan Parliman yang ditandingi oleh ketiga-tiga parti, contohnya, Parlimen Tampin. Di situ, DAP ada satu DUN di sana, Parlimen oleh PAS, dan PKR juga sudah mula menggerakkan jentera mereka di sana. Secara tak langsung ada kerjasama yang baik sebab kita memang perlu bekerjasama dengan sebab PAS kena ada sokongan DAP dan DAP perlu sokongan PAS tempatan kerana DUN Rembau yang kita menangi, terdapat 40 lebih peratus pengundi Cina, lebih 40 peratus pengundi Melayu.

Berbanding di kawasan Parlimen Rasah, iaitu kawasan Parlimen saya, di peringkat Pakatan Rakyat, DAP dengan PKR sahaja kerana ada empat DUN yang dimenangi DAP manakala satu ditandingi oleh PKR.

Kita perlu lihat faktor politik tempatan. Kalau ada keperluan, akan mempercepatkan lagi lah kerjasama di peringkat akar umbi. Bagaimanapun, secara peribadi saya yakin kerjasama ini boleh diteruskan, boleh dikembangkan dan dimantapkan lagi kerana masing-masing sudah tahu citarasa dan budaya politik masing-masing. Saya lihat ini satu fasa untuk kita mengubah wajah.

Apakah faktor Anwar mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat?

Anwar memainkan faktor di peringkat permulaan sebagai jambatan untuk PAS dan DAP. Itu tak boleh dinafikan. Kalau tanpa Anwar, sukar untuk kita bekerjasama. Tetapi faktor Anwar hanya di peringkat permulaan. Sama ada permulaan ini boleh dilanjutkan lagi ke peringkat akar umbi, ini memerlukan keikhlasan antara PAS dan DAP.

Bagaimana pula hubungan DAP dengan PKR?

Yang pertamanya kalau dilihat atas kertas, hubungan kita memang tak ada masalah, dari segi ideologinya, dari segi politiknya, kita tak berbeza. Tetapi mungkin ada faktor lain yang menjadi masalah. Seperti masalah di antara PAS dan DAP ialah ideologi, bukan soal kepentingan politik. Namun DAP dan PKR pula, mungkin kadang-kadang akan timbul percanggahan kerana ada faktor politik di peringkat akar umbi, mungkin ada pertembungan memilih kerusi, mungkin ada pertandingan di peringkat akar umbi. Ini yang menyebabkan masalah kita berbalik kepada realpolitik. Maksudnya ada kepentingan politik, ada pertindihan kepentingan, macam kalau kita nak bertanding di satu kerusi yang mungkin juga kerusi itu diminati oleh PKR, masing-masing ada point of interest.

Tetapi hubungan kita dengan PAS agak straightforward. Yang pertamanya, kerusi PAS dan DAP agak straightforward, tak ada pertindihan banyak kerana majoriti Melayu. Kalau ada pun, hanya di Pantai Timur, itu pun sebilangan kecil. Kerana fokus mereka ialah kepada kawasan-kawasan yang majoriti Melayunya tinggi. DAP pula selain kawasan bukan Melayu, sekarang kita cuba masuk ke kawasan campuran, usaha kita untuk bertanding di kawasan campuran, itu juga kawasan yang diminati oleh PKR. Itu lah pertindihan yang saya maksudkan, yang berbalik kepada faktor realpolitik.

Bagaimana dengan politik masa depan, pasca Anwar?

Dalam politik, kita tak boleh kata akan ada satu kepastian. Kerana apa-apa pun boleh terjadi dalam politik. Saya rasa melihat kerjasama khususnya PAS dan DAP akan berpanjangan dan kita harap kerjasama antara PKR juga berpanjangan. Kerana bagi kita, ini merupakan satu-satunya pentas untuk kita cabar BN. Tanpa pentas ini, BN akan menang by default, menang tanpa saingan. Ini tak boleh dibenarkan. Jadi kita kena pastikan kerjasama dalam PR ini berjaya. Ini hakikatnya. Memang bukan mudah sebab banyak rintangan, banyak perbezaan budaya politik, perbezaan ideoogi dan sebagainya, tetapi kita perlu usaha untuk memastikan kerjasama ini berpanjangan.

Pandangan saudara dengan usaha DAP merapatkan hubungan kaum?

Sejak DAP ditubuhkan 45 tahun lalu, kit tidak pernah tidak berusaha ke arah ini. Pelbagai usaha telah dibuat. Sekarang untuk dekatkan lagi dengan masyarakat Melayu, kita ada Roketkini. Ia sesuatu yang positif kerana ia satu cara kita mencapai maklumat ini kepada orang ramai. Kerana sebelum kemunculan Roketkini ini, kita semacam ada vakum kerana kita rasa bukan sebab kaum Melayu tak minat dengan DAP, tetapi hanya kerana sumber dan maklumat DAP tidak sampai kepada masyarakat Melayu.

Kemunculan Roketkini ini diterima oleh masyarakat Melayu dengan baik. Masyarakat Melayu juga ingin tahu dan membaca apa pendirian DAP, apakah pemikiran kita, apakah perjuangan kita, apakah isu-isu yang kita bawa. Mungkin yang baca Roketkini tak menyokong kita, yang bagi saya tak berapa penting. Tetapi sekurang-kurangnya Melayu memahami DAP kerana ramai Melayu tak faham dasar perjuangan DAP.

Harapan saya ialah Roketkini akan jadi penghubung maklumat kepada masyarakat Melayu di Malaysia ini supaya mereka boleh memahami dan mendalami DAP. Sama ada mereka menyokong kita atau tidak, itu isu sekunder, isu kedua kerana kita telah memberi pemahaman kepada mereka, apabila Melayu mula selesa dengan DAP, itu satu kejayaan bagi kita. Kerana kita memang telah cuba membuang racun yang ditanam oleh BN kepada ita sejak sekian lama. Persepsi itu harus diperbetulkan. Kalau kita dapat betulkan persepsi itu kepada masyarakat Melayu, itu adalah satu kejayaan besar buat DAP.

Harapan saudara untuk DAP dan masyarakat Malaysia mengenai pilihan raya akan datang?

Saya harap DAP akan dinilai bukan kerana faktor kaum tetapi lebih kepada faktor pencapaian. Maksudnya pengundi-pengundi, baik dari kaum apa pun, mereka akan mengundi kita berdasarkan pencapaian yang kita buat itu baik. Biar kita dilihat, diundi berdasarkan gerak kerja kita, bukan kerana DAP dilihat melihat kepentingan kaum seperti cara BN. Itu harapan yang saya harap dapat dicapai. – Roketkini.com

Recommended Posts