Anthony seru semua pihak terima hakikat perubahan landskap politik

whatsapp image 2023 09 18 at 3.49.08 pm

Pertemuan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook merupakan cerminan profesionalisme dalam melaksanakan tugas demi rakyat, tanpa mengira pendirian politik.

“Saya mengenali Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar lebih 10 tahun yang lalu semasa kerjasama kami dalam Pakatan Rakyat.

“Walaupun kami mempunyai perbezaan politik pada hari ini, saya tetap menghormati beliau sebagai seorang pemimpin politik yang sangat professional dan mempunyai keperibadian yang baik,” jelas Anthony dalam sebuah hantaran di media sosial semalam.

Anthony memenuhi jemputan sarapan pagi bersama Naib Presiden PAS terbabit, bagi membincangkan soal hubungan kerja antara kerajaan pusat dengan negeri dalam sistem federalisme yang diamalkan di Malaysia, termasuklah mengenai jaringan ECRL.

“Memandangkan projek ECRL adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan, kami di Kementerian Pengangkutan akan sama-sama berusaha memastikan kemudahan dan jaringan ECRL ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di sepanjang jajaran tersebut dan membantu pembangunan kawasan industri di Terengganu selari dengan hasrat Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP terlebih dahulu menegaskan bahawa semua pihak perlu menerima hakikat bahawa landskap politik Malaysia hari ini amat berbeza, di mana kerajaan-kerajaan negeri dikuasai oleh pelbagai gabungan politik yang berlainan.

Katanya dalam soal pentadbiran, semua pihak perlu bersikap profesional dan melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab.

Dalam perkongsian di laman Facebooknya, Dr Samsuri berkata perbincangan mesra dengan pihak menteri berkisar tentang pemerkasaan Pelabuhan Kemaman dan memperkukuhkan peranan ECRL di dua stesen iaitu di Permaisuri dan Jerteh sebagai hub kargo.

“Perbincangan selama sejam setengah dalam suasana yang ceria dan positif ini adalah tanda bahawa perlunya sikap positif dalam hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri walaupun pegangan politik berbeza,” tulisnya.

Recommended Posts