
Mantan Perdana Menteri British Harold Wilson pernah dipetik sebagai berkata bahawa seminggu adalah masa yang terlalu panjang dalam politik. Ini bermakna, sebulan terasa bagai bertahun-tahun lamanya. Mungkin inilah yang dirasai para pemerhati politik Malaysia sepanjang bulan Julai 2025.
Persaraan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat tanpa lanjutan perjawatan selama enam bulan yang menjadi kebiasaan (walaupun bukan sesuatu yang wajib) telah mencetuskan kerisauan sesetengah pihak yang menyangka ia akan menimbulkan krisis kehakiman, sama seperti yang pernah berlaku pada 1988.
Pada 7 Julai, bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli membawa bersamanya 8 daripada 31 Ahli Parlimen PKR untuk menuntut penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung isu kehakiman. Desakan kumpulan Rafizi ini menimbulkan persepsi umum bahawa ada yang tidak kena dengan PKR dan Pakatan Harapan, dan juga dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ada kalangan yang bimbang dengan kemungkinan mantan Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dituduh kononnya terlibat campur tangan dalam urusan kehakiman akan dilantik menjadi Ketua Hakim Negara. Namun, kebimbangan itu tidak berasas, malah jangkaan mereka meleset sama sekali.
Pada 18 Julai, apabila Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diumumkan oleh pihak Istana sebagai Ketua Hakim Negara selepas Majlis Raja-Raja selesai mengadakan mesyuaratnya, Majlis Peguam – yang menjadi penganjur “Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman” di Putrajaya pada 14 Julai – cepat-cepat mengucapkan tahniah kepada Datuk Wan Ahmad Farid. Tiada sebarang krisis kehakiman berlaku, dan suara-suara bantahan menjadi sepi.
Awal Julai, timbul keresahan tentang ekonomi yang melibatkan isu-isu seperti perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), tarif baharu elektrik yang ramai takut akan meningkatkan kos tenaga, dan tarif Trump. Ada juga kebimbangan tentang rasionalisasi harga pam petrol.
Berikutan banyak sebaran maklumat palsu serta fitnah kononnya kerajaan mahu rakyat mengikat perut, ramai orang gelisah tentang apa yang mereka rasa sebagai ketidaktentuan ekonomi.
Pada 23 Julai, Perdana Menteri dengan tegas mengumumkan bahawa bukan sahaja tidak ada kenaikan harga petrol untuk semua rakyat Malaysia, malah diturunkan pula sebanyak 6 sen seliter, mulai September ini. Kerajaan juga akan memberi bantuan tunai RM100 “one-off” kepada setiap warga dewasa Malaysia.
Apa maksud di sebalik kemurahan hati kerajaan ini? Bagi saya, ia bukan sahaja menamatkan spekulasi tentang kenaikan harga minyak tetapi juga, dengan pemberian tunai, membayangkan kerajaan tidak akan memaksa rakyat mengikat perut (melalui dasar austerity). Sebaliknya ia dapat melegakan rakyat agar lebih selesa dan tenang dengan usaha-usaha gigih kerajaan meningkatkan ekonomi.
Sekarang, mana-mana rakyat Malaysia yang telah melihat bil elektrik mereka akan bersetuju bahawa memang tidak akan kenaikan kos tenaga, malah ada pula penjimatan kewangan dalam penggunaan elektrik.
Tiga hari selepas pengumuman Perdana Menteri itu, pembangkang Perikatan Nasional telah menganjurkan perarakan “Turun Anwar” yang berhasrat membawa sekurang-kurangnya setengah juta rakyat Malaysia bangkit menuntut Anwar meletak jawatan.
Walaupun jumlah yang menyertai perhimpunan tersebut tidak mencapai sasarannya, dan kebanyakan mereka pula merupakan ahli dan penyokong PAS sahaja, niat perarakan untuk menjatuhkan Anwar menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Kini rakyat bertanya: Jika Anwar ditolak, siapa yang akan menggantikannya? Sehingga hari ini, pimpinan PN masih samar-samar antara mereka tentang siapa yang mampu memimpin negara jika mendapat mandat rakyat.
Ketika Anwar berhadapan dengan krisis dalam negara, konflik sempadan di antara Kemboja dan Thailand yang tiba-tiba meruncing telah mengejutkan dunia. Apabila saya bertanya kepada Perdana Menteri sewaktu sisi Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 pada 24 Julai lalu, sama ada beliau akan menghubungi pimpinan di kedua-dua negara anggota ASEAN itu, jawapannya tegas: beliau akan menghubungi mereka pada petang atau malam itu juga.
Empat hari kemudian, pada 28 Julai, walaupun setelah lebih 40 nyawa terkorban manakala 300,000 lagi menjadi pelarian, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai telah berada di Kuala Lumpur untuk rundingan damai.
Gambar Anwar yang duduk di tengah antara kedua-dua pemimpin tersebut di majlis perdamaian itu yang turut dihadiri Duta-Duta Amerika Syarikat dan China ke Malaysia, akan tercatat dalam sejarah sebagai momen penting untuk ASEAN meluaskan sayapnya sebagai organisasi global manakala Malaysia dengan pengaruhnya sebagai suara pendamai.
Pada 31 Julai jam 6.50 pagi, Perdana Menteri mengadakan perbualan telefon dengan Donald Trump buat kali pertama. Presiden Amerika Syarikat itu telah mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas peranannya sebagai pendamai konflik Kemboja-Thailand.
Presiden Trump juga menyampaikan hasratnya untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini. Ini merupakan kejayaan diplomasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, terutamanya apabila Trump berkemungkinan tidak akan hadir ke Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan pada November depan.
Mengenai tarif, Menteri MITI Tengku Zafrul Aziz bersama Ketua Perundingnya Puan Mastura Ahmad Mustafa yang juga wakil MITI sejak April lalu telah gigih berusaha untuk mengurangkan kadar tarif Amerika Syarikat yang dikenakan terhadap Malaysia.
Pada 7 Julai, apabila pentadbiran Trump mengenakan tarif 25%, banyak pihak mengutuk Kerajaan Perpaduan. Namun, berkat kejayaan rundingan, apabila tarif dikurangkan menjadi 19%, tidak banyak lagi kedengaran suara-suara yang membangkang.
Sukar untuk dibayangkan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tan Sri Hadi Awang mampu melakukan apa yang telah Anwar laksanakan sebagai pemimpin negara.
Bagi memastikan kestabilan, kemampanan, dan populariti Kerajaan Perpaduan, para penyokong perlu tabah apabila dilanda krisis, tahan apabila diserang pembangkang, dan tidak angkuh apabila rakyat dilihat memberi sokongan kepada kita. Maksudnya, kita perlu tegas, tetapi pada masa yang sama, menghormati rakyat dan sentiasa rendah hati.
Ketokohan Perdana Menteri di arena antarabangsa akan memperlihatkan pengaruh Malaysia dalam mencorakkan transisi tatanan dunia yang sedang berubah daripada unipolar kepada multipolar.
Sepanjang Julai lalu, ada masalah-masalah yang selesai sendiri, ada peristiwa dan keadaan yang berlaku secara kebetulan, dan ada pula usaha-usaha jangka panjang yang telah membuahkan hasil kepada negara. Yang dapat disimpulkan di sini, Anwar telah berjaya melepasi semua cabaran getir yang melanda Malaysia.
Dengan kejayaan melepasi cabaran-cabaran ini, ia merupakan detik permulaan dalam penggal kedua Parlimen ke-15 kepada Kerajaan Perpaduan untuk mencatatkan banyak lagi pencapaian yang memberi manfaat kepada rakyat. Dan tentunya ini akan dapat memastikan kejayaan dalam pilihan raya umum yang akan datang.