Tiga lagi memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Malaysian dan Republik Rakyat China, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersempena lawatan kerja beliau ke China – Asean Expo Ke-23 dan China – Asean Business and Investment Summit, bertempat di Nanning.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, MoU pertama yang bernilai RM15 bilion telah ditandatangani antara Citaglobal Berhad dan Shanghai Sus Environment berkaitan penerokaan potensi kerjasama pembangunan stesen tenaga sisa buangan di Malaysia.
MoU kedua bernilai RM2.34 bilion yang dimeterai antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group merupakan kerjasama logistik dan gudang penyimpanan selaras dengan sokongan Malaysia terhadap New International Land-Sea Trade Corridor.
MoU ini bakal menyaksikan peningkatan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Guangxi dan Malaysia.
MoU terakhir pula bernilai RM2.5 bilion antara Sime Darby Oils International Limited dan Guangxi Beibu Gulf International Port Group, bagi membina pusat penapisan dan pengagihan hasil kelapa sawit dengan jangkaan jumlah transaksi tahunan mencecah 500,000 tan.
Turut hadir semasa di majlis tandatangan tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin; dan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
MoU yang dimeterai untuk kali kedua dalam tahun ini sahaja, menyaksikan kejayaan China dan Malaysia menjalinkan hubungan dan kerjasama politik serta perdagangan dua hala.
Perkuat hubungan Malaysia – China
Pada awal April 2023, Perdana Menteri telah pun mengumumkan pelaburan berskala besar dari China bernilai RM170 bilion.
Pelaburan itu terdiri daripada 19 MoU yang dimeterai antara perniagaan China dan Malaysia.
“Kita telah mencapai komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China. Saya perlu berterima kasih kepada para pelabur kerana memberikan kerjasama mereka dan keyakinan terhadap kita.
“Ini adalah suatu acara yang bersejarah dan adalah baik untuk Malaysia dan masa depan negara,” kata Anwar ketika berucap di Forum Perniagaan Malaysia-China, di Beijing.
Antara MoU utama yang turut disaksikan oleh beliau termasuklah:
1. Cadangan usaha sama pembangunan dan pengkomersialan lembah teknologi tinggi otomotif khusus untuk kenderaan tenaga baharu antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd.
2. Import dan eksport jentera serta produk elektronik antara Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia bersama Dewan Perniagaan China.
3. Penubuhan dana digital dan pembangunan Malaysia-China antara Digital Way Group Sdn Bhd, China Silk Road Group Ltd. dan China Kairous Capital.
Dalam ucapan beliau, PM turut menyatakan harapan beliau agar syarikat-syarikat yang terlibat akan terus mengembangkan operasi serta bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan termasuk kerajaan ke arah keupayaan baru, pembangunan industri utama, dan penciptaan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.
Anwar juga menzahirkan komitmen Malaysia terhadap kerjasama ekonomi bersama China dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam bidang pembangunan hijau dan ekonomi digital.
Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Asean yang lain untuk memastikan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China akan menghasilkan manfaat perdagangan dan pelaburan kepada semua pihak terlibat.
“Saya memberi jaminan bahawa di bawah pengawasan saya, kami akan memastikan kemudahan menjalankan perniagaan dan melaksanakan pelaburan di Malaysia akan berada di tahap optimum,” ujar Anwar.