Apa nak hairan, sebelum ini pun Muhyiddin ‘fatwakan’ PAS sesat

sheikh

Implikasi tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin adalah sangat berbahaya, malah mampu membenihkan ekstrimisme dalam negara kita. 

Demikian reaksi Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali terhadap ‘fatwa’ terkini Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjatuhkan hukum ‘haram’ mengundi calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Pulai.

“Kenyataan dikeluarkan adalah bercanggah dengan titah Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu rakyat negara ini tidak menjadikan hal-hal agama sebagai bahan polemik yang boleh menjolok perbalahan politik,” tambahnya dalam perkongsian dia media sosial.

Menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai melampau, Sheikh Omar bagaimana pun tidak hairan kerana mantan perdana menteri tersebut juga sudah pernah menghukum PAS sebagai Parti Ajaran Sesat suatu ketika dahulu.

Namun katanya apa yang lebih dibimbangkan ialah politik menjatuhkan hukum haram seperti ini akan menyemarakkan budaya kafir mengkafir.

“Sedangkan politik ialah soal ijtihadi,” jelas beliau.

Ijtihad adalah proses penyelidikan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh untuk menerbitkan hukum terhadap hukum-hukam yang tidak jelas dan yang wujud di dalam Al-Quran atau Sunnah.

“Saya berharap, PN berpolitiklah dengan mengemukakan tawaran-tawaran dasar dan polisi yang baik untuk rakyat,” ujar Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) itu.

Mei lalu, Sheikh Omar turut membidas kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan gesaan agar ahli Umno menyokong DAP dalam pilihan raya enam negeri sebagai ‘janggal dan bertentangan dasar parti’.

“Beliau sendiri pernah berkempen agar menyokong DAP. Dalam satu ucapan pada Januari 2018, beliau pernah memberitahu prinsip PPBM, siapa bertanding atas Pakatan Harapan, DAP, Amanah atau Keadilan, kita sokong 100 peratus,” katanya dilaporkan media.

Recommended Posts