Apa rahsia blogger pro-UMNO naik kapal selam?

KUALA LUMPUR, 11 DIS – Menteri Pertahanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi tidak menyelam bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kapal selam KD Tun Razak di Langkawi pada Jumaat lalu walau pun telah berjanji untuk berbuat demikian.

Sebaliknya seorang blogger pro-UMNO yang tidak ada kena-mengena dengan kapal selam Scorpene buatan Perancis itu yang selama ini gagal untuk menyelam telah diberi keistimewaan untuk menaikinya bersama rombongan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saya dimaklumkan bahawa tiada blogger yang dibawa bersama (untuk menyelam dalam kapal selam). Pada awalnya, blogger Papagomo sepatutnya dibawa bersama tetapi saya telah membantah kerana saya tidak ingin berada di dalam kapal selam sama bersama seorang penipu yang membuli anak-anak kecil, yang mana membuat kenyataan palsu seksual terhadap anak lelaki saya berusia 15 tahun kononnya mencabuli rakan sekelasnya.

“Saya tidak pernah berjumpa Papagomo dan Zahid telah berjanji bahawa Papagomo akan dikeluarkan. Semasa menyelam, saya ternampak dua krew TV3 dan seorang wartawan Bernama. Zahid sepatutnya menjelaskan bahawa beliau tidak menipu saya dan juga pihak media,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan semalam.

Kehadiran seorang blogger pro-UMNO yang tidak memegang sebarang jawatan awam atau berkhidmat dengan mana-mana media yang disahkan oleh kerajaan dalam sebuah kapal selam menimbulkan persoalan tentang jaminan keselamatan negara dan rahsia kententeraan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, kehadiran Papagomo di dalam KD Tun Razak membuktikan Zahid adalah seorang  pembohong kerana telah menjanjikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa tidak akan ada blogger dalam kapal selam itu.

Katanya, laporan dalam blog Papagomo yang disertakan dengan gambar-gambarnya jelas menunjukkan bahawa Zahid bukan sahaja manusia yang tidak boleh dipercayai tetapi juga mencerminkan bahawa Papagomo adalah “pecacai istimewa UMNO dan penasihat khas” kepada Zahid kerana dibenarkan berada di dalam kapal selam itu yang penuh dengan rahsia ketenteraan negara.

Beliau juga menjelaskan Zahid telah banyak kali menipu, termasuk terhadap beliau sendiri (Pua) awal tahun ini di mana Zahid menuduh Pua ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah di Singapura yang menyebabkan Pua tidak layak menjadi Ahli Parlimen di negara itu.

Menurutnya, Zahid membuat tuduhan tidak masuk akal di mana Pua didakwa mempunyai kabel politik dengan kerajaan Singapura yang membolehkan Pua dibebaskan untuk kembali ke Malaysia bagi bertanding dalam pilihan raya umum 2008.

“Cerita merapu yang tak masuk akal itu hanya boleh dicipta oleh blogger yang banyak berkhayal, yang juga telah memulakan fitnah besar terhadap anak Lim Guan Eng yang kononnya berpindah sekolah kerana melakukan kesalahan seksual dan menuduh Guan Eng pula membayar wang untuk menutup kes itu.

“Telah dibuktikan bahawa Papagomo dan konco-konconya telah membuat tuduhan palsu,” ujarnya.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, Papagomo sebagai orang penting dalam kumpulan Zahid sebagai Naib Presiden UMNO yang paling kanan, telah menyalahgunakan kuasanya.

Menurutnya, Zahid sebagai Menteri Pertahanan perlu menjelaskan kepada rakyat segala pembohongannya dan hubungan intimnya dengan salah seorang blogger UMNO yang paling dibenci kerana suka membuat fitnah.

Pua turut menjelaskan bahawa kritikan Zaid terhadapnya kerana tidak menyelam bersama adalah tidak adil kerana beliau berada di luar negara minggu lalu, sedangkan Zahid juga tidak menyelam dengan kapal selam itu atas alasan kesibukan tugas, walau pun beliau berada di Langkawi pada masa itu.

Semalam, Guan Eng menjelaskan bahawa walau pun kapal selam itu boleh menyelam pada Jumaat lalu, ia tidak dapat menyembunyikan dua hakikat, iaitu:

* Kapal selam itu memang tidak dapat menyelam semasa penyerahan kepada kerajaan Malaysia; dan

* Berbaloikah wang rakyat RM3.68 bilion dibelanjakan untuk membeli dua kapal selam dari negara asing itu.

Menurutnya, rakyat tidak seharusnya percaya dengan laporan media yang dikuasai BN yang telah  diputar belit dan dirosakkan untuk membetulkan fakta penipuan bagi membantu BN berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang.

“Saya juga ingin mengulangi soalan saya sebelum ini berhubung pemberian kontrak perkhidmatan atau ‘komisyen’ kepada  Perimekar Sdn Bhd. (Menteri Pertahanan ) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mencabar saya di Parlimen pada 17 Mac 2010 untuk menyelam di dalam kapal selam tersebut bagi membuktikan bahawa ia (kapal selam) dapat menyelam apabila beliau tidak dapat memberikan jawapan terhadap desakan saya bahawa kerajaan telah memulangkan kapal selam tersebut kepada pengeluar untuk digantikan dengan yang baru.

“Hakikatnya, apabila seseorang membeli kereta baru dan mendapati ia terdapat kecacatan, dia akan membawa kereta tersebut ke pusat pembelian dan memohon digantikan dengan yang baru.

“Bagaimanapun, Zahid enggan menerima cadangan saya dan mencabar saya untuk menyelam bersama kapal selam berkenaan. Saya dengan segera menerima jemputan tersebut tetapi tanpa disedari ia perlu mengambil masa 21 bulan untuk Zahid memenuhi cabarannya. Sama ada kelewatan 21 bulan tersebut adalah disebabkan oleh kecacatan teknikal tidak pula dimaklumkan,” katanya.

Guan Eng menjelaskan beliau tidak pernah mempertikaikan profesionalisme, kepakaran dan pengorbanan pasukan tentera laut Malaysia, termasuk pasukan kapal selam negara.

Katanya, apa yang tidak menggembirakan rakyat ialah harga dan proses pembelian kapal selam itu kerana Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia hanya mahukan yang terbaik untuk TLDM dan tidak pernah mempersoalkan khidmat cemerlang mereka.

Menurutnya, penglibatan wang awam sebanyak RM4.23 bilion, termasuk pembelian dan penyelenggaraan dua kapal selam tersebut, persoalan terus kekal berhubung kos pembelian tinggi dan pemberian kontrak perkhidmatan kepada syarikat yang tidak mempunyai rekod atau pun pengalaman dalam membaiki dan menyelenggara kapal selam.

“Kerajaan BN perlu sedar bahawa ia bukan hanya membabitkan wang awam yang banyak berjumlah RM4.23 bilion, sebaliknya keselamatan kelasi adalah amat penting bagi memastikan standard tertinggi atau keselamatan dan kawalan adalah diselenggara oleh pakar syarikat  perpengalaman dengan trek rekod terbukti,” ujarnya. – Roketkini.com

Recommended Posts