Apa yang DAP faham tentang Islam Oleh Adil Mat Selamat

Gambar-gambar ehsan http://www.facebook.com/buletinmutiara

14 NOVEMBER – Walau berbuih mulut ahli-ahli dan para pemimpin DAP menjelaskan bahawa parti mereka ini bukanlah parti yang berasaskan kaum, sebaliknya parti berbilang kaum, golongan berfahaman assabiyah dalam UMNO terus mendendangkan lagu sumbang rasis.

Dari segi sejarah memang tidak ada siapa dapat menafikan bahawa parti ini yang ditubuhkan atas prinsip demokrasi sosial dan tidak berasaskan kaum, majoriti kaum yang menyertainya adalah bukan Melayu.

Ini adalah kerana apabila ditubuhkan 45 tahun lalu, kebanyakan orang Melayu yang mahu bersama parti pembangkang lebih selesa untuk bersama dengan PAS atau Partai Rakyat.

Keadaan demografik atas faktor sejarah itu dipergunakan oleh UMNO-Barisan Nasional melalui alat perkakas media kawalannya untuk menggambarkan DAP sebagai parti Cina yang ditiputafsirkan pula sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Bagaimana pun sehingga hari ini, parti-parti kaum Cina atau majoriti Cina seperti MCA, Gerakan, SUPP dan LDP tidak pula dituduh sebagai parti-parti anti-Melayu dan anti-Islam. Mungkin kerana mereka sanggup tunduk di bawah tekanan UMNO.

Parti kecil yang tak punya pengaruh

DAP juga sebuah parti yang kecil yang disertai kebanyakan kaum bukan Melayu yang tidak termasuk dalam golongan jutawan atau orang kaya jika hendak dibandingkan dengan MCA atau Gerakan. Kecil ini bukan sekadar saiz jumlah ahli tetapi kerdil juga di segi termasuk kekuatan dana wang dan jentera parti.

Oleh kerana tiada kekuatan wang seperti mana MCA dan Gerakan, maka parti ini tidak punya pengaruh yang besar. Sejak dulu kebanyakan penyokong DAP adalah penjaja, pekedai runcit, pemilik gerai dan kaum pekerja.

Pengaruh yang dimaksudkan adalah kuasa politik. Dan, dengan ketiadaan kuasa politik inilah maka DAP amat mudah ditendang, difitnah dan hina oleh mana-mana parti sekali pun.

Apabila segala siri tuduhan ini datang, maka terbentuklah satu rantaian persepsi yang sengaja dikaitkan dengan kaum dan ideologi. Kaitan ideologi inilah yang membawa DAP dalam satu kemelut ciptaan UMNO untuk menakutkan orang Melayu bahawa DAP menentang Islam.

DAP tidak pernah bersembunyi daripada hakikat bahawa ia adalah parti demokrasi sekular, iaitu tidak mahu politik menggunakan agama atau agama menggunakan politik untuk kepentingan yang tidak ada kena-mengena dengan keperluan dan kebajikan rakyat pelbagai kaum.

Momok sekular, negara Kristian, hapuskan Islam

Dalam situasi ini DAP digambarkan sebagai satu parti yang mempunyai cita-cita untuk menubuhkan sebuah negara sekular, tetapi ia telah gagal menakutkan rakyat kerana umum sedar UMNO sendiri telah banyak ‘cakap tak serupa bikin’ dalam isu sekular dan agama.

Apaibila momok negara sekular ini tidak di‘makan’ oleh rakyat, maka dimomokkan pula dengan fintah DAP mahu menubuhkan negara Kristian.

Dakwaan ini bukan sahaja fitnah zalim dan tidak masuk akal, ia juga mencerminkan kejahilan pembuat fitnah yang tidak sedar bahawa ahli-ahli DAP yang beragama Kristian hanyalah golongan minoriti dalam parti. Kebanyakan ahli dan pemimpin DAP beragama Buddha, Hindu dan ajaran Taoist serta Confucious, dan ada juga yang beragama Islam di kalangan Melayu dan India Muslim.

Sememangnya fitnah ini dilemparkan oleh manusia yang asabiyah dengan kaumnya sahaja sehingga tidak sedar bahawa ruang beragama di negara ini tetap luas walau pun cuba mereka sempitkan.

Namun, selepas kebanyakan rakyat tidak percaya dengan fitnah negara Kristian, maka idea terakhir kumpulan pelampau kaum ini adalah dengan menuduh bahawa DAP mahu agama Persekutuan, iaitu Islam, dimansuhkan dari Perlembagaan Persekutuan.

Sekali lagi fitnah kejam dan tidak berperi kemanusiaan ini dilakukan tanpa mengambil kira tentang hubungan harmoni antara rakyat yang ada sekarang. DAP berpegang teguh kepada Perlembagaan 1957, sekali gus menerima Islam sebagai agama Persekutuan, yang telah termaktub dalam undang-undang tertinggi negara itu.

Kita dapat lihat bagaimana persepsi ini dibentuk dengan dakwaan-dakwaan yang sangat berlebih-lebihan. Gambarannya seolah-olah DAP ini sebuah parti yang sangat berkuasa, berpengaruh dan begitu berbahaya sekali.

Seolah-olah boleh DAP menang dan memerintah negara dengan sekali ‘petik’ jari sahaja, dan dengan itu, cita-cita “jahat” akan berjaya dilaksanakan. Dengan sekali petik saja maka perlembagaan boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya. Dengan sekali petik saja maka DAP yang sekular itu mampu mengKristiankan seluruh umat Islam di Malaysia. (Hairan juga mengapa DAP tidak dituduh mahu memBudhhakan umat Islam…)

Jika ini mampu lakukan dengan sekali petik, maka hebat benar parti DAP ini. Namun, semua ini hanyalah dongeng dan cerita karut yang tidak masuk akal sama sekali.

Bagaimana DAP boleh meminda Perlembagaan dengan sewenangnya jika mereka hanya bertanding tidak lebih 50 kerusi daripada 220 kerusi Parlimen? Bagaimana DAP boleh menukar agama rasmi kita jika majoriti rakyat Malaysia adalah Muslim?

Nampak kita baik kerana fitnah orang lain?

Adakah dengan menuduh DAP sebegini, maka UMNO secara automatik akan menjadi lebih Islam dari Islam yang sebenar yang agung, adil dan saksama? Apakah dengan memburukkan DAP, maka UMNO akan dilihat tidak lagi korup, tidak salah guna kuasa?

Jika inilah caranya untuk menjadi penguasa yang adil, maka semua pihak hanya akan berlumba-lumba untuk menfitnah antara satu sama lain. Amalan jahil inilah menyebabkan UMNO-BN lebih banyak mengutuk orang lain daripada melaksanakan kebaikan untuk rakyat.

Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. amat menitikberatkan sifat saling menghormati antara kaum dan agama. Baginda melarang sama sekali segala macam fitnah, baik terhadap saudara sesama Islam mahu pun yang berlainan agama, kaum dan bangsa.

Namun, jika dilihat dari aspek ini, UMNO begitu semberono mendakwa DAP dengan pelbagai dakwaan. Semua tuduhan ini belum pernah dibawa ke mahkamah untuk diadili.

Jika benar DAP itu bertunjangkan faham komunis, mengapa tidak didakwa sahaja di mahkamah jika ada undang-undang seperti itu? Mengapa DAP dituduh komunis sedangkan UMNO mempunyai hubungan yang baik dengan parti-parti komunis China, Vietnam dan sebagainya?

Jika benar DAP berkomplot untuk menubuhkan negara Kristian, mengapa tidak didakwa sahaja di mahkamah? Jika tidak berani membawa DAP ke mahkamah, mengapa tidak dibawa ke mahkamah orang dan akhbar yang membuat fitnah itu?

Pendirian DAP tentang Islam

DAP adalah sebuah parti politik yang sah dari segi undang-undang di Malaysia. DAP tidak menyanggah kerasmian agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Pimpinan dan ahli DAP yakin bahawa Islam bukanlah agama yang perkauman, bukan agama yang menindas, bukan agama yang menggalakkan rasuah dan salah guna kuasa. Pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng turut sedar bahawa Islam yang sebenar adalah agama yang toleran dan meletakkan harga diri manusia itu sesuai pada tempatnya.

Kita harap UMNO sebagai parti yang mengakui mendukung roh Islam supaya menunjukkan teladan yang baik bukan sahaja kepada DAP, malah kepada semua rakyat. Berpolitiklah dengan sikap yang professional, waras, adil, bertanggungjawab, dan ini juga tuntutan Islam.

Kaum dan penganut agama lain akan sukar memahami Islam jika teladan yang buruk ditunjukkan oleh para pemimpin Islam. Dengan contoh teladan yang baik sahaja mampu mengubah imej Islam yang sedang dinodai oleh segelintir elit politik UMNO.

Teladan yang baik ini tidak memerlukan modal berjuta atau berbilion ringgit untuk menunjukkan kehebatan Islam dengan binaan masjid yang besar kepada pelancong. Teladan yang baik datangnya percuma dari hati yang suci, ikhlas, bertanggungjawab dan kasih sayang antara manusia.

Islam begitu mendorong umatnya menghormati dan bekerjasama dengan kaum dan bangsa yang lain. Muslim dipertanggungjawabkan untuk memelihara kehormatan dan keselamatan saudaranya walau berlainan kepercayaan.

Falsafah Melayu mengajar bangsa supaya berbudi dengan semua kaum dan agama. Orang berbudi kita berbahasa. – Roketkini.com

Recommended Posts