Azizulhasni Kongsi Kisah Luar Biasa Layanan Hannah Yeoh Terhadap Atlet Negara

a29bc8cb 042a 4015 8d49 a95ddd11b5e2

Dalam dunia sukan yang penuh cabaran dan emosi, bukan mudah untuk mencari pemimpin yang benar-benar memahami jerih perih seorang atlet. Namun, kisah yang dikongsikan oleh jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang – atau lebih dikenali sebagai “Pocket Rocketman” – menampilkan satu sosok pemimpin wanita yang bukan sahaja menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi, tetapi juga membawa sentuhan kemanusiaan yang luar biasa dalam setiap tindakannya.

Azizulhasni menceritakan satu detik yang sangat peribadi dan bermakna, ketika beliau dan pasukannya menghadapi kekalahan di Olimpik Paris – satu titik terendah dalam karier mereka. Dalam dunia sukan, kemenangan diraikan dengan penuh gemilang, namun kekalahan sering kali membawa kesunyian.

Di saat ramai berpaling, Hannah Yeoh tetap hadir, menjadi antara insan terawal yang memberikan sokongan moral dan kata-kata semangat.

Tidak seperti kebanyakan individu yang hanya hadir ketika sorakan kedengaran, Hannah sanggup menunggu sehingga semua urusan perlumbaan selesai, hanya untuk memberikan kata-kata semangat kepada para atlet. Bahkan, dalam perjalanan panjang pulang dari Paris ke Malaysia, beliau meluangkan masa berdiskusi bersama Azizul, bukan sebagai seorang menteri, tetapi lebih sebagai seorang kakak yang prihatin terhadap adiknya.

“Hannah Yeoh memberitahu saya untuk pulang bertemu keluarga dahulu, ambil masa berfikir, dan apa sahaja keputusan saya kelak, beliau akan tetap menyokong,” katanya,

“You have done enough for the country’,” kongsi Azizul dalam nukilan jujurnya di Instagram.

Sokongan beliau bukan sekadar bersifat simbolik atau bersandarkan populariti, tetapi bersandarkan realiti dan keperluan sebenar atlet negara. Apa yang membezakan Hannah Yeoh daripada pemimpin lain ialah keikhlasannya dan kesungguhan beliau dalam memperjuangkan hak atlet dan jurulatih di peringkat dasar dan polisi.

Salah satu langkah besar yang dilaksanakan Hannah Yeoh ialah elaun bulanan untuk dinaik taraf kepada sistem gaji untuk 393 atlet termasuk atlet para, di bawah Program Podium dengan gaji asas minimum RM1,500 sebulan – satu perubahan yang membawa maruah dan pengiktirafan lebih tinggi kepada mereka yang berjuang mengharumkan nama negara. Sekaligus menerima caruman KWSP.

Dengan ini, para atlet bukan sahaja menerima imbuhan untuk usaha mereka kini, tetapi turut dijamin masa depan kewangan selepas persaraan. Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM16 juta setahun oleh Majlis Sukan Negara (MSN), satu pelaburan besar untuk memastikan kebajikan para atlet yang membawa nama negara di persada dunia terus terpelihara.

Keprihatinan Hannah Yeoh bukan sekadar kepada atlet malah ia melimpah kepada para jurulatih.

Beliau menunjukkan keprihatinan dengan memimpin mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN untuk meluluskan penyelarasan gaji dan imbuhan jurulatih kebangsaan.

Mulai 1 Januari 2024, gaji jurulatih sepenuh masa berkelayakan SPKK Tahap 3 dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,900 sebulan. Bekas atlet yang menjadi jurulatih menerima imbuhan khas seperti RM3,500 untuk pingat Olimpik, RM3,000 untuk kejohanan dunia, serta elaun khas RM600 untuk jurulatih Program Podium dan pelapis kebangsaan. Elaun jurulatih separuh masa turut ditambah baik.

Kisah Azizulhasni bukan hanya sebuah penghargaan peribadi, tetapi juga cerminan kepada bagaimana Hannah Yeoh menjalankan tanggungjawabnya dengan hati dan jiwa. Dalam dunia politik yang sering kali penuh dengan permainan persepsi, beliau memilih untuk menunjukkan nilai kemanusiaan yang sejati.

Recommended Posts