Bahasa demokrasi – Oleh Mazir Ibrahim

Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, hegemoni sesuatu bahasa tidak harus berlaku. Selain Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain di negara ini seperti bahasa Cina, Tamil dan sebagainya perlu diberi ruang dalam proses pendidikan dan perkembangannya.

Inilah yang dimaksudkan dalam roh demokrasi iaitu, majoriti tidak menekan hak-hak minoriti.

Tidak mungkin sesuatu dasar itu tidak ada pro dan kontranya. Justeru, dalam hal pengucapan di ruang awam, bahasa-bahasa lain tidak harus gagal mendapat ruangnya.

Debat bahasa Mandarin

Dalam isu debat antara Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Sabtu lalu yang diadakan dalam bahasa Mandarin, pelbagai reaksi yang bercampur-campur telah didengar.

Memang ada sahabat-sahabat kita dari kaum India dan Melayu yang boleh berbahasa Mandarin dengan baik, itu suatu advantage. Namun jumlahnya masih sedikit berbanding mereka yang hanya mengetahui satu atau dua bahasa.

Namun, kesan baik ini tidak juga dapat mengatasi kesan yang kurang baik kepada masyarakat umum walau pun kini rata-rata rakyat Malaysia sudah boleh menguasai lebih dari satu bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.

Malah, dalam konteks politik hari ini, debat tersebut telah menarik minat awam yang besar, jelas sekali bahawa politik berasaskan kaum tidak lagi mendapat tempat dalam masyarakat kita.

Tidak boleh dinafikan, terdapat juga kaum Cina yang sekali pun boleh berbahasa Mandarin, mengeluh kerana biji butir perdebatan antara dua tokoh politik itu gagal untuk dibawa berbincang dengan rakan-rakan yang tidak memahami bahasa Mandarin.

Seorang teman yang berbincang bersama penulis sejurus tamat acara debat itu, telah bersusah-payah untuk menterjemah, kemudian barulah sedikit demi sedikit perbincangan tentang isi debat dapat dibincangkan.

Itu pun masih berlaku salah faham kerana terjemahan rakan penulis itu melalui dua fasa, dari Mandarin ke bahasa Inggeris. Memang mudah berlaku silap faham kerana dinamik apa jua bahasa itu tidak boleh dibuat secara harfiah.

Di sebalik isu politik yang terdapat dalam debat tersebut, isu bahasa inilah yang perlu diberi perhatian dalam merangka dasar pendidikan negara kita. Penguasaan tiga bahasa kini sudah menjadi satu keperluan.

Bahasa kebangsaan itu wajib kepada semua kaum, tetapi dua bahasa lain wajar dipilih untuk dipelajari dan dikuasai, mungkin bahasa Inggeris atau Mandarin atau Tamil (setidak-tidaknya di Semenanjung) serta bahasa-bahasa Iban, Kadazandusun dan sebagainya.

Namun dalam suasana politik hari ini, pengucapan awam baik kempen politik, ceramah, dialog mahu pun debat seharusnya menggunakan bahasa kebangsaan, kerana itulah realitinya. Bukan kerana ia hegemoni mana-mana pihak tetapi ia perlu menjadi lingua franca atas dasar kefahaman bersama secara sukarela.

Bahasa kebangsaan kini telah menjadi bahasa demokrasi yang mana, majoriti rakyat baik yang berpendidikan atau tidak, di bandar atau di kampung, boleh memahaminya dengan baik.

Dialog bahasa Malaysia, Inggeris

Hujung minggu lalu, dalam sebuah bengkel tertutup, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang telah sudi hadir berdialog dengan sekumpulan anak muda yang rata-ratanya Melayu. Dialog ini dijalankan dalam bahasa Malaysia.

Kegigihan tokoh politik Malaysia yang mengutamakan bangsa Malaysia ini walau pun beliau dari keturunan Cina dalam memperjuang dan mengamalkan apa yang diperjuangkan, wajar dipuji.

Dialognya pendek tetapi amat bermakna. Anak-anak muda Melayu yang berpendidikan itu juga tidak kekok berbicara dengan Kit Siang dalam bahasa kebangsaan. Dan lebih menarik, sungguh pun secara formalnya dijalankan dalam bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris juga ada digunakan, ia berlaku secara spontan. Bukan kerana mahu menunjuk tetapi ia juga seperti kebiasaan yang sudah diglobalisasikan penggunaannya.

Maka, tanpa dirancang, jadilah dialog ini dalam dwi-bahasa yang menyenangkan. Masing-masing belajar untuk memahami pendirian antara satu sama lain, tidak lagi timbul isu broken english atau kesalahan tata bahasa atau pelat Melayu. Lucu tetapi menarik, inilah realiti yang menyenangkan.

Sifat-sifat natural (semula jadi) ini tidak perlu disekat-sekat. Ia juga adalah realiti yang menjadi indikasi bahawa kaum Melayu juga mahu berbahasa Inggeris dalam perbualan dan perbincangannya. Sifat-sifat ini perlu diambil kira dalam penekanan dan perlaksanaan dalam isu bahasa kebangsaan.

Terasa pula sedikit kelucuan apabila dalam dialog anak muda bersama Kit Siang, apabila ada soalan dalam bahasa Malaysia dijawab dalam bahasa Inggeris, dan soalan dalam bahasa Inggeris dijawab dalam bahasa Malaysia. Yang penting semua soalan dan jawapan dapat difahami dengan baik oleh semua pihak.

Memang dari satu sisi ia seakan menjadi rojak, tetapi itulah realiti komunikasi Malaysia yang pelbagai bahasa. Memang rojak dan kita menyukainya apatah lagi acaranya tidak terlalu formal dan berprotokol. Paling penting ia dapat difahami dan enak mutu perbincangannya.

Ini begitu jauh dari sifat plastik sesetengah ahli politik Melayu yang kononnya memperjuangkan bahasa kebangsaan tetapi dalam mesyuarat tertutup mereka, hanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Inggeris.

Pelaksanaan secara dinamik

Ada kalannya orang Melayu merasa malu untuk berbicara dalam bahasa Inggeris manakala kaum bukan Melayu pula was-was untuk berbahasa Malaysia. Perasaan ini muncul kerana takut melakukan kesilapan ketika menggunakannya.

Tetapi kini, masyarakat sudah boleh menerima Malaysian English dengan pelat Melayu, Cina atau India; begitu juga ketika berbahasa Malaysia sebagai suatu identiti yang unik dan ia natural. Jadi penekanan terhadap penguasaan apa jua bahasa tidak perlu dirigidkan.

Namun, janganlah alpa. Memang untuk menguasainya dengan baik perlulah belajar secara intensif dan memerlukan masa. Lagi banyak kesilapan dibuat, lebih baik. Kerana sifat kita memang akan belajar dari kesilapan, inilah realiti proses pembudayaan.

Tak perlu malu jika tersilap tata bahasa atau pelat yang melucukan, patut kita lebih malu jika gagal memahami makna, konsep dan nilai demokrasi hingga menjadikan bahasa sebagai hagemoni politik perkauman.

Akhirnya, persoalan yang lebih besar adalah untuk mempromosikan nilai-nilai demokrasi kepada rakyat. Demokrasi perlu difahami dan demokrasi itu memerlukan satu bahasa yang mudah diucap dan difahami oleh semua pihak. – Roketkini.com

Recommended Posts