
KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Kerajaan dilihat tidak peka dan tidak menghargai sumbangan besar pendidikan sekolah aliran vernakular negara ini walaupun lebih dua abad menghasilkan ramai cerdik pandai dan intelektual yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.
Ia termasuk sumbangan bernilai sekolah agama rakyat yang banyak menghasilkan ilmuan dalam bidang agama.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok ketika berucap pada Persidangan Kebangsaan Persatuan Cina Malaysia, kelmarin, 728 membantah dasar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 anjuran Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Katanya, antara sebab Pelan Pendidikan itu dibantah kerana ia dilihat tidak kondusif kepada pembangunan pendidikan bahasa ibunda.
Selain itu, menurutnya, seperkara lagi yang menggusarkan ialah jika matlamat Pelan Pendidikan itu berjaya dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan, sekolah aliran Cina dan Tamil di negara ini akan hilang manakala Sekolah Menengah Conforming dan Sekolah Agama Rakyat tidak dapat diteruskan.
“Sering kita mendengar ucapan Ahli Parlimen UMNO yang menyeru kerajaan menutup sekolah bukan aliran Bahasa Kebangsaan demi perpaduan nasional, tetapi kita semua tahu, faktor yang menyebabkan perpecahan hubungan kaum di negara ini bukan kerana wujudnya sekolah aliran Cina, Tamil dan bahasa ibunda lain, tetapi perpecahan wujud akibat parti politik berasaskan perkauman,” kata Teresa.
Beliau berkata, pendidikan bahasa ibunda bukan bermaksud seseorang pelajar diajar untuk tidak patriotik kepada negara tetapi ia menjadi sebahagian daripada keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
“Satu daripada ciri Malaysia yang unik, yang dijadikan slogan Kementerian Pelancongan untuk menarik pelancong asing melawat Malaysia ialah, “Malaysia Truly Asia”, yang membawa maksud bahawa Malaysia mempunyai kepelbagaian budaya, bahasa dan agama di Asia, dan pelancong asing dapat menikmati kepelbagaian bahasa dan budaya di Asia apabila mereka datang ke Malaysia.
“Sebagai contoh produk daripada SRJKC dan sekolah persendirian Tionghua boleh mengesahkan bahawa guru dan kurikulum sekolah Cina tidak pernah mengajar kita membenci mana-mana kaum dan agama, sebaliknya kami diajar mencintai negara, menjunjung kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, mempraktikkan disiplin dan nilai murni masyarakat negara ini,” jelas Teresa.
Menurut Ahli Parlimen Seputeh itu, Laporan Kementerian Pelajaran sendiri juga mencatatkan sebanyak 14 peratus pelajar bukan Cina belajar di SRJKC.
“Ini menunjukkan kaedah pengajaran di SRJKC menarik ramai ibu bapa bukan keturunan Cina untuk menghantar anak mereka ke SRJKC.
“Ia juga membuktikan bahawa ibu bapa yang bukan berketurunan Cina tahu bahawa penguasaan terhadap Bahasa Tionghua merupakan satu kekuatan bagi anak-anak mereka dan bukannya kelemahan,” ujar beliau.
Justeru itu, beliau menyeru agar kerajaan mengkaji semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 sebagai tanda Kerajaan BN menghormati suara dan pandangan masyarakat Tionghua dan etnik minoriti yang lain.
Turut hadir dan memberi ucapan ialah Ahli Parlimen PAS Poko Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Wakil Persatuan Pendidikan Tamil, Arumugam.-Roketkini.com