Demi Saudara Senegara di Terengganu, Kelantan & Kedah: DAP Dari Pelbagai Negeri Hantar Bantuan Banjir Tanda Solidariti

whatsapp image 2024 12 10 at 2.32.33 pm

Puluhan ribu mangsa terpaksa dipindahkan dari rumah kediaman mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah selepas hujan yang terlalu lebat menyebabkan sungai-sungai disekitar melimpah ke kawasan-kawasan penempatan.

Di Kelantan sekurang-kurangnya 80,000 saudara senegara kita dipindahkan ke lebih 250 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri. Ini belum dikira mangsa-mangsa banjir di negeri Terengganu dan Kedah lagi. Sudah pastinya lebih ramai yang terjejas.

Walaupun kini sudah semakin surut banjir dan berkurang mangsa, namun kerosakan harta benda tidak dapat dikembalikan. Ada rumah dihanyutkan, kereta dan motorsikal hilang entah ke mana dan kehidupan harian mereka terganggu. Semestinya saudara senegara kita memerlukan bantuan dan sokongan dari segi fizikal dan mental.

Memahami peranan ini, beberapa DAP negeri telah bekerja keras mengumpul sumbangan sebagai tanda solidariti dan kasih sayang erat kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Hasil sumbangan rakyat Pulau Pinang, DAP negeri itu berjaya mengumpul barangan sebanyak 100 tan dan sumbangan tunai sebanyak RM 98,107.11 untuk misi bantuan banjir di Kedah, Kelantan & Terengganu.

“Semua sumbangan ini akan disalurkan kepada saudara kita yang terjejas daripada bencana banjir di sana dan kita berdoa dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban saudara kita di sana.” –tulis Lim Siew Khim, ADUN Sungai Pinang merangkap EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan & Hal Ehwal Bukan Islam.

Manakala, DAP dan DAPSY Selangor telah melancarkan misi bantuan bencana bagi mengumpulkan barang-barang keperluan termasuk lampin, tuala wanita, ubat gigi, biskut dan lain-lain. Saudara Wayne Ong, ADUN Balakong menjelaskan bantuan ini untuk membantu saudara-saudara di Pantai Timur.

Walaupun jauh berada di Selatan, DAP Johor tetap bersemangat dengan misi menghantar sumbangan banjir ke Terengganu melalui Unit Tindak DAP Johor dan DAPSY.

“Kami telah menghantar barangan yang dikumpulkan ke Terengganu untuk membantu mangsa banjir. Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah bermurah hati menyumbang dan memberikan sokongan!” –tulis Tan Hong Pin, Ahli Parlimen Bakri

Semoga sumbangan dan bantuan ini dapat memberi khabar gembira dan meringankan beban saudara senegara kita di negeri-negeri yang terlibat.

Recommended Posts