
DAP mengumumkan bahawa sejumlah RM965,539.44 telah berjaya dikumpul dan diagihkan sepenuhnya kepada 396 keluarga yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights.
Perkara itu dimaklumkan secara telus oleh Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han menerusi satu hantaran di Facebook, yang memperincikan pecahan bantuan yang telah diberikan kepada mangsa.
Menurut kenyataan tersebut, seramai 57 pemilik rumah yang mengalami kerosakan total (total loss) menerima bantuan sebanyak RM5,000 setiap seorang. Manakala, 339 keluarga lain yang merupakan penyewa atau mengalami kerosakan separa menerima RM2,000 setiap keluarga. Ia menjadikan jumlah yang diagihkan sebanyak RM963,000.
Manakala, baki dana sebanyak RM2,539.44 turut disumbangkan kepada sebuah keluarga bagi menampung kos perubatan dua anak mereka.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dalam satu sidang media sempena majlis penyerahan bantuan, turut menegaskan bahawa dana ini dikumpul melalui kempen kutipan awam yang berlangsung selama seminggu.
“Ini adalah sumbangan daripada kutipan dana orang ramai melalui tabung bencana yang ditubuhkan oleh DAP. Seperti yang kita umumkan sebelum ini, semua dana hampir RM965,000 telah diagihkan sepenuhnya kepada mangsa. Pemilik rumah dengan kerosakan total menerima RM5,000, manakala yang mengalami kerosakan separa menerima RM2,000,” katanya.
Anthony Loke turut mengesahkan bahawa tabung tersebut telah ditutup secara rasmi dan tidak lagi menerima sebarang sumbangan baharu.
“Bagi pihak DAP Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang atas semangat solidariti dan keprihatinan yang telah ditunjukkan,” tambah beliau.
Insiden letupan paip gas di kawasan tersebut telah mengakibatkan kerosakan besar kepada kediaman penduduk, dan usaha bantuan ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam membantu meringankan beban mangsa terjejas.