Kongsi Detik-Detik Cemas Kebakaran Putra Heights Sehingga Motor Rosak. Mangsa Berterima Kasih Kepada Anthony Loke Atas Motosikal Percuma

motosikal

“Tak sangka akan dapat motor (percuma). Memang rasa syukur sangat. Esok boleh pergi kerja, itu yang paling penting. Alhamdulillah.”

Begitulah luahan rasa gembira dan terharu oleh saudara Amri Rahmat, salah seorang penerima bantuan motosikal percuma untuk mangsa-mangsa yang terjejas di Putra Heights. Saudara Amri menceritakan juga bahawa semasa kejadian, beliau sedang berehat bersama bapa mertuanya, apabila berlaku gegaran dan gelombang haba menyerbu kediaman mereka.

“Masa kejadian itu saya dalam rumah. Memang saya dengan Pak Mertua saya tengah santai-santai. Dan kita rasa ada vibration dekat sliding door. Bila kita cek, ingatkan kucing ke apa. Tapi rupanya bukan. First in the mind, kita rasa macam gempa bumi. Bila rasa macam pelik, Pak Mertua saya buka pintu, kita rasa heat and everything is too fast to describe.” ujar Amri.

Kejadian ini mengakibatkan motosikalnya tidak boleh digunakan lagi untuk ulang-alik mencari rezeki. Maka, inisiatif oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan pihak Spanco untuk memberi motosikal percuma ini amat memberi kesan kepada kehidupan sehariannya.

Lebih mengharukan lagi, dalam majlis penyerahan motosikal percuma itu, hadir juga seorang pak cik yang masih dalam keadaan sakit akibat terkena kesan kebakaran paip gas itu. Walaupun telah dinasihatkan agar menghantar wakil, beliau tetap datang sendiri untuk menerima bantuan.

Mengetahui hal itu, saudara Anthony Loke segera mendekati mangsa, bertanya khabar dan memastikan urusannya dipermudahkan. Ini menunjukkan sikap kemanusiaan yang tinggi dalam diri Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP itu.

“Ada orang tolong bawa (motosikal) nanti?” tanya Anthony Loke

“Ada, sepupu.” katanya

Dia berulang kali mengucapkan terima kasih kepada saudara Anthony Loke atas bantuan yang diberikan ini.

Dalam majlis yang diadakan baru-baru ini, sebanyak 55 buah motosikal percuma telah diserahkan kepada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights hasil tajaan penuh syarikat SPANCO, sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap mereka yang terkesan dalam tragedi tersebut.

Menteri Pengangkutan, saudara Anthony Loke telah menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada SPANCO kerana menyahut seruan kerajaan untuk membantu mangsa, khususnya mereka yang kehilangan kenderaan dalam kejadian yang berlaku di halaman sendiri.

Lebih istimewa, motosikal yang disumbangkan ini diperoleh melalui kerjasama dengan pihak Yamaha yang bersetuju menawarkan harga khas RM5,000 seunit – lebih rendah daripada harga pasaran sekitar RM5,800. Ini membuktikan semangat kerjasama dan empati yang tulus dari pihak industri swasta dalam membantu mereka yang memerlukan.

Bagi mangsa, sumbangan ini bukan sekadar alat pengangkutan – ia adalah nadi untuk kembali menyambung kehidupan, mencari rezeki, dan meneruskan perjalanan harian yang terhenti secara tiba-tiba. Kerajaan Madani turut memberi komitmen penuh untuk terus menyantuni mangsa dari pelbagai aspek, agar mereka tidak dibiarkan sendirian menghadapi musibah.

Inilah contoh kepimpinan yang turun padang, bukan sekadar ucapan di pentas. Bantuan yang diberi sampai ke tangan rakyat, bukan sekadar janji di atas kertas.

Recommended Posts