
Tidak dapat dinafikan bahawa industri sawit adalah antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Ia bukan sekadar komoditi eksport semata-mata, tetapi sebuah ekosistem yang menjana pekerjaan, hasil negara dan kemajuan luar bandar. Dengan pendapatan eksport berjumlah RM109.3 bilion pada tahun 2024, serta menyumbang hampir RM64.6 bilion kepada KDNK negara, sawit kekal sebagai sumber pendapatan utama Malaysia.
Namun, di sebalik angka-angka besar itu, ada kelompok yang jarang mendapat sorotan kamera, iaitu pekebun kecil sawit, terutamanya di kawasan pedalaman Sabah. Negeri Sabah adalah pengeluar minyak sawit mentah (CPO) terbesar negara, menyumbang kira-kira 24% kepada jumlah pengeluaran nasional. Pada tahun 2023 sahaja, Sabah menghasilkan hampir 4.5 juta tan CPO. Malah, industri ini menyumbang hampir 10% daripada KDNK Sabah dan menjana RM6.22 bilion hasil negeri antara tahun 2018 hingga 2023.
Atas sebab inilah, kerajaan Madani turun padang untuk menyantuni dan membantu pekebun kecil di Sabah. Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin, turun padang dalam lawatan kerja ke kawasan pedalaman Sabah iaitu Pensiangan, Keningau dan Tenom untuk menyerahkan bantuan kepada pekebun sawit. Hasil lawatan ini, kerajaan menyalurkan RM1.625 juta kepada 21 pekebun kecil bebas, melibatkan 90.32 hektar kawasan tanam semula.
Secara khusus, RM391,752 disalurkan kepada lima pekebun kecil di Pensiangan, RM713,534.40 kepada lapan penerima di Keningau, dan RM520,425 lagi kepada lapan pekebun kecil di Tenom. Ini bukan sekadar angka bantuan, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap titik peluh para pekebun kecil yang menjadi tulang belakang kepada industri sawit Malaysia.
Apa yang lebih membanggakan ialah kejayaan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Apin-Apin, yang menjadi koperasi pertama di Sabah mendapat pensijilan MSPO bagi Pusat Timbang mereka. Ia membuktikan bahawa pekebun kecil di Sabah bukan hanya pengeluar bahan mentah, tetapi juga aktif dalam pengurusan mampan dan berwawasan.
Ketika kita bercakap tentang angka bilion ringgit hasil eksport, kita tidak boleh lupakan mereka yang membanting tulang setiap hari di ladang. Kerana tanpa pekebun kecil, tiada sawit. Dan tanpa sawit, hilang satu tiang utama kekuatan ekonomi negara.