Belanjawan 2024: Apa yang M40 dapat?

583a98f1 4087 49a5 87c3 a392c203db3f

Kerajaan Perpaduan sudah pastinya tidak akan melupakan mahupun mengabaikan golongan berpendapatan sederhana (M40) kerana banyak inisiatif di bawah Belanjawan 2024 bakal disalurkan kepada mereka demi meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan nilai ringgit ketika ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong telah memuat naik satu video pendek menerangkan beberapa inisiatif menarik yang akan memberi manfaat kepada golongan M40.

Antara inisiatif yang diwujudkan menerusi Belanjawan 2024 yang berfaedah buat golongan M40 ialah pengumuman untuk mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri. Ini merupakan satu usaha Kerajaan untuk meringankan beban kewangan bagi mereka yang merancang untuk membeli rumah pertama pada tahun hadapan.

Faedah seterusnya pula ialah pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk penjagaan gigi.

Bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, pelepasan cukai sehingga RM2,000 bagi yuran kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2026.

Kerajaan juga akan memperluas skop bagi pelepasan gaya hidup meliputi yuran untuk menyertai kursus kemajuan kendiri seperti kursus bahasa, fotografi, menjahit dan sebagainya dan ia dijangkakan bakal memberi faedah yang besar kepada golongan M40.

Selain itu, Kerajaan juga mengumumkan pelepasan cukai sebanyak RM1,000 untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan seperti sewaan gelanggang futsal, pendaftaran ke gimnasium dan sebagainya. Ini juga adalah uasaha Kerajaan untuk menggalakkan pelaburan ibu bapa dalam aktiviti kesukanan selain memastikan lebih ramai rakyat Malaysia aktif bersukan.

Seterusnya, Kerajaan juga mengumumkan terdapat juga diskaun untuk bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 15 peratus bagi para peminjam termasuklah golongan M40.

Mulai tahun 2024 juga, Kerajaan turut bercadang untuk mengenakan duit setem sebanyak RM10 berbanding kadar ad-valorem sebelum ini bagi urusan pindah milik mengikut Akta Pembahagian 1958 atau benefisiari yang layak berdasarkan faraid atau wasiat.

Kerajaan turut menghulurkan bantuan bagi menggalakan kaum wanita termasuk golongan M40 yang ingin kembali bekerja dengan memberikan pelepasan cukai yang dilanjutkan sehingga tahun 2027. Selain itu, kerajaan akan meningkatkan had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak oleh pekerja atau dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak daripada RM2,400 kepada RM3,00, membolehkan lebih ramai ibu bapa kategori M40 menerima manfaat.

Selaras dengan dasar Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib rakyat, Dasar Peluang Kedua akan diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun hadapan.

Seterusnya, mulai tahun 2024, program i-Sayang akan diperluaskan untuk turut membolehkan isteri yang bekerja memindahkan 2% daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bulanan mereka ke akaun suami mereka, dan pengenalan Akaun Fleksibel KWSP sebagai akaun baharu yang boleh diakses pada bila-bila masa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangannya juga turut mengumumkan lanjutan tempoh tawaran program Meter Tenaga Bersih (NEM) sehingga 31 Disember 2024 bagi mengalakkan lebih ramai memasang panel solar di premis-premis kediaman.

Golongan M40 juga akan terus menikmati Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan nilai RM150 bagi setiap orang anak yang akan disalurkan bermula Januari 2024, memberi manfaat ke pada lebih 5.25 juta murid.

Bukan itu sahaja, sebenarnya banyak lagi insentif yang dirancang demi manfaat golongan M40 dalam Belanjawan 2024. Walaupun ia tidak disentuh dan disenaraikan secara terperinci dalam pembentangan Belanjawan 2024 minggu lalu, dakwaan kononnya golongan M40 dipinggirkan tidak sepatutnya timbul.

Apa yang pasti, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan kesejahteraan hidup rakyat tanpa ada golongan yang terpinggir.

Recommended Posts