Belanjawan 2025 Disambut Baik, Harap Pelaksanaan Disegerakan

463611689 1334450948036425 6181981463460441021 n

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik pengumuman pelaksanaan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua yang dibentangkan dalam Belanjawan Madani 2025 oleh YAB Perdana Menteri sebentar tadi, dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat kerana ia merupakan keperluan yang amat meruncing kini.

Selain itu, pengumuman untuk membina sebuah lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bahagian Seberang Perai juga amat dialu-alukan yang mana ia bakal meningkatkan lagi mutu pelbagai perkhidmatan awam sedia ada di UTC @ Komtar.

Menyentuh mengenai agenda pembangunan tanah wakaf oleh agensi Persekutuan, UDA Holdings Berhad (UDA) di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri tiada halangan dan akan menyokong hasrat tersebut kerana ia selari dengan permintaan yang pernah diutarakan oleh beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini untuk membangunkan semula penempatan Melayu serta meningkatkan pegangan hartanah mereka di negeri ini terutama bahagian pulau.

Tidak dilupakan juga, Belanjawan 2025 Persekutuan turut mengumumkan beberapa pelaksanaan projek Persekutuan lain khusus untuk Pulau Pinang, antaranya:-

* Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang;

* Transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang;

* Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP);

* Projek Batu Kawan Industrial Park 3.

Kesemua projek berkaitan realitinya bakal membawa serta menyuntik kepada pembangunan negeri ini secara keseluruhan. Justeru, adalah menjadi harapan saya dan juga seluruh rakyat Pulau Pinang agar pelaksanaannya disegerakan serta menepati jadual pelaksanaan ditetapkan.

Pada aspek pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) menelusuri semikonduktor AI selari dengan status Malaysia sebagai hab semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon. Bagi saya, kelebihan kepada universiti awam berkenaan akan memacu lebih banyak potensi pelaburan ke negeri Pulau Pinang pada masa hadapan.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang

Recommended Posts