Belanjawan Selangor 2024: ASAL SEMUA ADA TEMPAT BERTEDUH – BELANJAWAN SELANGOR MESRA SEMUA PERINGKAT, BELI ATAU SEWA

belanjawanselangor2024perumahan

Pengumuman Belanjawan Selangor 2024 pada 10 November lepas menyaksikan sejumlah peruntukan yang akan diberi khusus kepada kerajaan tempatan. Ini merangkumi sektor perumahan dan isu-isu penduduk.

 

Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk meneruskan Skim Smart Sewa sehingga tahun 2025 dengan pemberian peruntukan sejumlah RM220 juta untuk melaksanakan inisiatif tersebut. Skim Smart Sewa merupakan suatu usaha di bawah Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu rakyat di kalangan golongan B40 dan M40 untuk menyewa rumah pada kadar yang berpatutan. Skim ini juga disasarkan kepada golongan yang belum memiliki rumah atau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan atau pinjaman pemilikan rumah.

 

Sebanyak RM18 juta turut disediakan untuk Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai Negeri Selangor bagi usaha mengembalikan projek perumahan terbengkalai. Untuk memastikan usaha ini tercapai, Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai.

 

Kerajaan negeri melalui LPHS dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor akan mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah isu berkenaan dengan hakmilik strata bagi pemilik-pemilik pangsapuri di sekitar Selangor. Jawatankuasa ini akan dibekalkan dengan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk menjamin keberkesanan jawatankuasa tersebut.

 

Untuk menyantuni dan mengeratkan peranan komuniti dalam kalangan penduduk pangsapuri, Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk mengadakan Program Rewang Komuniti Strata yang akan menawarkan pelbagai program seperti gotong royong, rewang sukaneka, dan persembahan kebudayaan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dalama kalangan penduduk.

 

Bukan itu saja, RM300,000 daripada peruntukan untuk membaik pulih Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan digunakan untuk merancakkan program-program yang memperkasa komuniti PPR dan Skim Smart Sewa serta mempromosikan perumahan mampu milik.

Recommended Posts