Belanjawan Selangor 2024: Kerajaan peka terhadap isu alam sekitar dan komited mengatasi masalah perubahan iklim

belanjawanselangor2024alamsekitar

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2024 pada Jumaat lepas, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan beberapa peruntukan untuk kelestarian alam sekitar serta inisiatif bagi mengatasi masalah perubahan iklim. 

Sebanyak RM1 juta akan disediakan untuk kemudahan 1,000 unit pengecasan kenderaan elektrik serta usahasama bersama syarikat-syarikat swasta seperti Gentari dan Tenaga Nasional Berhad. 

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, perkhidmatan Bas Smart Selangor akan beralih daripada penggunaan kenderaan enjin bahan bakar kepada kenderaan elektrik.

Untuk mengatasi isu perubahan iklim pula, Kerajaan Selangor juga telah memperuntukkan sejumlah RM1.1 juta untuk pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor dan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor bagi memastikan supaya setiap daerah di Selangor akan lebih bersiap sedia menghadapi ancaman perubahan iklim.

RM400,000 akan digunakan untuk projek penanaman pokok yang dianggar sebanyak 11 juta untuk menyantuni usaha memulihara dan menghijau kembali kawasan hutan yang telah diteroka dan sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk mengekalkan peratus gazet kawasan Hutan Simpan Kekal.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga dalam ucapan pembentangan belanjawan tersebut menyatakan kepentingan kitar semula dalam memastikan persekitaran yang lebih hijau, bersih, dan selamat. “Dalam menggalakkan aktiviti kitar semula di kalangan masyarakat, Kerajaan Negeri bercadang memperbanyakkan lagi Reverse Vending Machine (RVM) dan Pusat Kitar Semula (PKS) di samping mewujudkan lebih banyak tong sampah kitar semula di kawasan-kawasan am.” ulas Ahli Parlimen Gombak itu. 

Tambahan pula, RM305 juta akan disalurkan kepada Air Selangor untuk tujuan pemasangan infrastruktur tenaga boleh baharu untuk penjanaan air bersih bagi kegunaan diri sendiri. 

Kerajaan Negeri Selangor juga memperuntukkan sejumlah RM4.5 bilion ke arah pembangunan taman tema hijau (Green Eco Park) yang akan merangkumi loji sisa kepada tenaga yang bertujuan menukarkan sisa pepejal kepada tenaga elektrik. Projek yang akan melalui 4 fasa ini dianggarkan mengambil masa 10 tahun.

Recommended Posts