Belanjawan Selangor 2024: Kerajaan Selangor komited untuk menambah baik sektor pelaburan dan perdagangan negeri

belanjawanselangor2024pelaburanperdagangan

Melalui Belanjawan Selangor 2024 yang telah diumum pada 10 November lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari telah mengumumkan sedikit sebanyak peruntukan bagi sektor pelaburan dan perdagangan bagi negeri Selangor untuk tahun 2024.

Sebanyak RM1 juta akan disalurkan untuk menubuhkan Selangor Centre for Artificial Intelligence bagi memberi peluang kepada negeri Selangor untuk mengguna dan memahami industri teknologi kecerdasan buatan dalam menambah baik sistem kerajaan sedia ada. 

Dato’ Seri Amirudin juga mempertimbangkan penggunaan dron dalam mempertingkatkan sektor-sektor yang boleh meraih manfaat daripada implementasi teknologi dron seperti dalam industri pertanian pintar, dan industri pembinaan dalam penilaian kesuburan hasil tanaman, keselamatan bangunan, penyelenggaraan, dan logistik. Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM2 juta untuk menerokai teknologi tersebut.

Kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan dana sebanyak RM1 juta untuk penubuhan Selangor Jobs and Skills Council bagi menawarkan program TVET bernilai tinggi kepada graduan dan pekerja untuk memenuhi keperluan pekerja kemahiran khusus sekali gus menyelesaikan cabaran yang sedang dialami pelabur tempatan dan luar negara.

Tambahan itu, sebanyak RM13.85 juta akan digunakan untuk Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) untuk memastikan bahawa pendidikan TVET diberi sepenuh perhatian dalam melahirkan pekerja berkemahiran khusus untuk memenuhi keperluan industri-industri yang terlibat dalam IR4.0 dan pada masa yang sama meningkatkan pelaburan asing di negeri tersebut.

Selangor International Business Summit (SIBS) juga akan menerima peruntukan sebanyak RM20 juta untuk menjayakan sidang kemuncak mereka yang ke-8 di samping menjadi program pelaburan utama di Asia Tenggara.

Selangor Aviation Show ialah satu acara yang selalunya menarik pelaburan melalui pemeteraian Perjanjian Persefahaman juga diberi peruntukan sebanyak RM8 juta untuk usaha penambahbaikkan dalam sektor keselamatan, pertahanan, business aviation, dan pembangunan teknologi dron. Tambahan itu, Selangor Aviation Show akan dianjurkan setiap dua tahun mulai tahun hadapan.

Untuk mempergiat sektor perdagangan halal, Kerajaan Negeri Selangor telah menyalurkan sebanyak RM3 juta untuk menjalankan usaha-usaha bagi mempromosi sektor ini melalui Inovasi Semakan Digital Pantas Pensijilan Halal, program galakan pensijilan halal, serta penganjuran program Selangor International Halal Convention di mana Selangor akan menjadi platform sektor Halal untuk menggerakkan perdagangan dua hala antara negara-negara lain.

Recommended Posts