
Belek-belek berita semalam, terbeliak dengan kenyataan Zahid Hamidi yang mengatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mendedahkan bukti yang pemimpin nombor dua PAS, Mat Sabu itu Syiah.
Fuh, suspen! Walaupun tidak faham kenapa tiba-tiba KDN menyibuk dalam urusan anutan, agama orang lain. Tapi layan sajalah. Bukan pertama kali kita nampak KDN ini dipergunakan ahli politik pemerintah untuk henyak musuh politiknya.
Tunggu punya tunggu petang semalam dapatlah belek laporan sidang media mendedahkan bukti Mat Sabu itu Syiah. Tak pastilah nak gelak atau nak menangis.
Kita taklah mengharapkan pendedahan penyiasatan itu secanggih CSI atau Sherlock Holmes, tapi apabila dengar bukti yang digunakan, rasa nak pitam.
Antara bukti yang digunakan ialah kekaguman Mat Sabu terhadap Ayatollah Khomeini. Aduh ini menyebabkan selepas ini ramai lebih berhati-hati untuk kagum kepada apa-apa. Takut kekaguman pada Gandhi bukti sudah Hindu, kekaguman pada Martin Luther King Jr bukti sudah Kristian. Dengan tahap ‘intelek’ KDN itu, tidak mustahil kekaguman pada binaan Piramid boleh jadi bukti pengkagum itu Firaun.
Kalau itu cukup lucu, lihat pula rujukan lain yang digunakan. Selain cerita orang, sumber blogspot pun boleh jadi bahan bukti. Senggama apakah ini? Kalau nak ikut sumber blogspot dan spekulasi, rasanya lebih kuat bukti menunjukkan pembunuh Altantuya itu adalah…sendiri fahamlah ya.
Ahli mesyuarat kedai kopi kalau nak berhujah guna bukti macam tu takpalah, tapi kalau KDN dah lebih kurang sembang kedai kopi, apalah nasib negara ni, kepada Allah kita berserah.
Tak ubah macam tuduhan, “Aku dengar cerita kau tak sembahyang!” Apabila dijawab, “Aku sembahyanglah.” Akan dibalas balik,”Buktikan kau sembahyang.”
Nampaknya pertuduhan ini tak lebih sekadar nak membentuk persepsi umum yang buruk terhadap Mat Sabu dan berharap PAS turut terkesan.
Cukup jelas mengapa ada pihak terkinja-kinja ibarat sudah terkena syabu mahu tentukan siapa Syiah siapa tidak. Di satu sudut kita ada Mat Sabu yang kental memperjuangkan hak rakyat, di satu sudut lagi Mat Syabu yang sedang bersemangat tak tentu hala mahu jatuhkan musuh dan kekal berkuasa.-Roketkini.com