Berbaloikah kerajaan belanja RM270 juta guna khidmat perunding asing mengajar Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER: Tindakan kerajaan dipertikai sejauh mana keberkesanan program yang membabitkan RM270 juta dana awam bagi meningkatkan kualiti guru Bahasa Inggeris negara ini sedangkan tenaga pengajarnya hanya memerlukan tiga tahun pengalaman untuk menjadi Perunding Pembelajaran Bahasa Inggeris (ELTC) di negara ini.

Selain itu, kerajaan juga diminta menjawab samada Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai hasrat memperbaharui program yang menggunakan sejumlah besar dana awam itu.

Demikian menurut Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang merujuk kepada satu laman web pengambilan pekerjaan Britain, JustJobs.co.uk.

Katanya, dalam iklan itu, Nord Anglia Education yang menjalinkan kerjasama dengan Brighton Education Group, sebuah daripada syarikat yang dilantik Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan tawaran kepada 360 calon untuk menjadi ELTC di sekolah rendah kerajaan Malaysia.

“Dalam tawaran itu mereka hanya perlu mempunyai tiga tahun pengalaman mengajar di sekolah rendah atau tadika dan mereka yang mempunyai kelayakan ESOL atau pengalaman di luar negara akan menjadi satu kelebihan.

“Calon yang berjaya juga akan diberi pakej istimewa termasuk perumahan, pengangkutan dan penerbangan tahunan,” di mana “pemohon yang berjaya akan menikmati pakej antarabangsa berdasarkan kelayakan dan pengalaman,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zairil, persoalan yang timbul ialah adakah tawaran itu benar-benar berbaloi apabila ‘pakar bahasa Inggeris’ yang diperlukan cuma memerlukan tiga tahun pengalaman walhal bukan sedikit wang yang digunakan kerajaan untuk mereka.

“Sepatutnya mereka yang selayaknya melatih bahasa Inggeris di negara kita adalah orang yang mempunyai pengalaman yang lebih lama,” ujar beliau.

Zairil yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan meminta kerajaan Malaysia mencontohi kerajaan Jepun apabila negara itu mampu menjalankan program pengukuhan Bahasa Inggeris mereka dengan berjaya sejak 1978 tanpa perunding asing.

“Sekarang, Japan Exchange and Teaching (JET) Programme berjaya menarik graduan bahasa Inggeris di seluruh dunia untuk bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah seluruh Jepun,” katanya.-Roketkini.com

Recommended Posts