
KUALA LUMPUR, 11 JUN: DAP menyeru pihak universiti agar mengugurkan serta merta semua prosiding tatatertib terhadap para pelajar yang telah dikenakan tindakan berikutan terlibat dalam perhimpunan awam, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, kesemua pelajar ini tidak wajar dikenakan tindakan kerana kebebasan mereka untuk berhimpun dan bersuara sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pelajar universiti, kolej dan orang ramai berhak sepenuhnya dengan kebebasan yang terkandung dalam Perlembagaan.
“Tindakan menghukum beberapa pelajar kerana memegang plakad ‘katakan tidak pada TPPA’, mengutarakan pandangan dalam Facebook, menganjur atau mengambil bahagian dalam perhimpunan aman adalah tidak menghormati perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu juga memohon kerajaan supaya membuat kajian semula Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.
Menurut Nie Ching, peraturan-peraturan terkandung dalam Akta Institusi-Institusi Pelajaran tidak relevan untuk sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi.
Jelasnya, contoh peraturan itu adalah seperti Peraturan 9 yang melarang pelajar menganjurkan perhimpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran terlebih dahulu dari univerisiti, Peraturan 10 tidak boleh mengguna atau memiliki pembesar suara, hailer, penguatsuara atau perkakas lain yang serupa.
Contoh lain adalah Peraturan 11 yang tidak membenarkan pelajar membuat atau mempamerkan apa-apa banner, poster atau pelekat dan Peraturan 15 iaitu pelajar tidak dibenarkan membuat kenyataan awam kepada kakitangan kerajaan atau media.
“Semua peruntukan dalam peraturan ini sangat lapuk, sebab itu kajian perlu dibuat bermula sekarang,” tegasnya.
Beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat bersama Nie Ching semalam telah menerima memorandum dari Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU dan Akta 174 di Parlimen.
Kumpulan seramai 20 orang itu merupakan gabungan pelajar dari Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah dan kolej swasta.
Sejak awal 2014, 25 orang pelajar universiti telah dikenakan tindakan disiplin oleh pihak universiti mereka atas pelbagai sebab tidak munasabah antaranya kerana menghadiri perhimpunan aman, menulis komen anti-GST di Facebook dan lain-lain lagi. -Roketkini.com



