BERHUBUNG TULAR ISU PROGRAM TAKLIMAT DAN PENERANGAN KEWARGANEGARAAN

439427657 972625074317139 4353886005494477238 n

Merujuk kepada tajuk poster program yang telah menimbulkan kekeliruan pelbagai pihak baru-baru ini, saya sebagai wakil rakyat bagi kawasan DUN Stulang ingin menjelaskan bahawa program tersebut bukan untuk membantu warga asing memohon kewarganegaraan.

Sebaliknya, ia adalah untuk memberi penerangan, kesedaran dan pemahaman kepada warganegara Malaysia yang ahli keluarganya menghadapi masalah ketiadanegaraan (statelessness).

Merujuk kepada hantaran dimedia sosial saya pada 31 Mei, ianya telah jelas menunjukkan tujuan program tersebut. Hanya apabila poster info grafik dan kapsyen yang dimuat naik sebelum ini dibaca berasingan oleh sesetengah pihak, ianya menimbulkan kekeliruan dari tujuan asal program taklimat kami.

Program taklimat ini telah direncanakan bagi memberi pemahaman yang lebih jelas kepada golongan ini dalam berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan, terutamanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, dan lain-lain.

Kami tidak sama sekali pernah bermaksud untuk menjanjikan status kewarganegaraan kepada sesiapa, kerana perundangan berkaitan status ini jelas termaktub dalam perlembagaan negara dan proses yang telah ditetapkan oleh JPN juga wajib dipatuhi.

Antara golongan yang selalu terkesan dengan masalah ini adalah warganegara Malaysia daripada kategori B40 yang berkahwin dengan warganegara asing dan telah mendapat zuriat.

Sebagai ADUN di kawasan Stulang, Pusat Khidmat saya sering didatangi penduduk yang menghadapi masalah isu kewarganegaraan atas pelbagai faktor seperti keruntuhan rumah tangga seterusnya dokumentasi anak ini terabai sehingga menjejaskan masa depan mereka.

Sebagai contoh: Perkahwinan tidak sah taraf antara pasangan tersebut akan menemui jalan buntu apabila dokumentasi yang diperlukan seperti sijil perkahwinan yang didaftarkan di Malaysia, dokumen pengenalan diri ibu atau bapa yang bukan warganegara tidak dapat diperakui.

Akibatnya, anak tersebut tercicir dari mendapatkan pendidikan dan bantuan kesihatan, terpaksa bekerja buruh diusia muda, terdedah kepada masalah sosial, tidak layak memiliki passport untuk ke luar negara, dipandang serong oleh masyarakat dan berkemungkinan besar “statelessness” status tersebut terus diwarisi.

Terdapat juga kes-kes dimana permohonan telah lama diajukan kepada jabatan Kerajaan terbabit tetapi atas sebab-sebab tertentu (tidak layak, dokumen tidak mencukupi), ianya tidak dapat diproses. Bagi kes seperti ini, pihak kami akan membantu dalam membuat semakan atau rayuan dari jabatan berkaitan.

Saya berharap pencerahan ini dapat meredakan kekeliruan yang telah timbul dari tajuk poster kami sebelum ini dan spekulasi mengenai isu ini tidak diperbesarkan lagi merujuk kepada kenyataan disosial media saya pada 8 Jun lalu.

YB ANDREW CHEN KAH ENG
ADUN STULANG

Recommended Posts