Pada 7 Januari 2015, dunia dikejutkan dengan peristiwa pembunuhan di Charlie Hebdo, di mana 12 orang menjadi korban termasuk editor dan kartunis akhbar mingguan satira itu. Beberapa ketika selepas itu, sebuah pasaraya Yahudi dijadikan tebusan. Keganasan di Paris ini berlangsung kurang sebulan sejak serangan yang berlaku di Sydney. Semua ini dilakukan atas nama Tuhan.
Meskipun kisah bahawa pengganas di Paris ini beragama Islam menerima publisiti meluas, hakikat bahawa salah seorang pegawai polis yang terkorban dalam insiden Charlie Hebdo serta pekerja kedai yang menyelamatkan sekumpulan pelanggan dengan menyembunyikan mereka di dalam peti sejuk ketika pasaraya Yahudi tersebut dijadikan tebusan, kedua-dua beragama Islam kurang mendapat perhatian.
Islamofobia semakin menular. Di Jerman, kumpulan sayap kanan PEGIDA (Kumpulan Patriot Eropah Menentang Islamisasi Barat) mengetuai protest anti Islam terbesar di Dresden dengan melibatkan 25,000 penunjuk perasaan. Dengan pengalaman kita berdepan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan PERKASA di tanah air sendiri, sesetengah orang bukan Islam di Malaysia mungkin sahaja menyamakan Islam dengan keganasan, sama ada secara jelas atau tidak.
Dan tidak membantu juga apabila ada ahli politik dari kalangan kita yang menyifatkan Perarakan Perpaduan (Unity March) di Paris yang dihadiri lebih tiga juta orang dan pemimpin dunia termasuk dari negara-negara Islam sebagai meloyakan. Idea sedemikian hanya melebarkan jurang kebencian antara kumpulan-kumpulan yang ada.
Pasti ada banyak perkara yang perlu dibahaskan tentang had atau ketiadaan had kebebasan bersuara dan kesesuaian kartun Charlie Hebdo, namun apa yang pasti ialah masanya telah tiba untuk menggalakkan sikap toleransi, kesefahaman dan perpaduan.
Orang bukan Islam mesti menolak dengan tegas generalisasi bahawa kononnya Islam menggalakkan keganasan, tiada orang yang sepatut dipersalahkan ke atas sesuatu yang tidak mereka lakukan hanya kerana agama yang mereka anuti (maaf Rupert Murdoch, saya tidak setuju dengan anda). Kita mesti mengecam perbuatan membunuh, tetapi bukan agama. Manakala orang Islam pula mesti menyuarakan dengan jelas dan tegas terhadap keganasan yang dilakukan atas nama Tuhan. Kita tidak boleh terjerumus ke dalam perangkap pengganas. Apa yang mereka mahukan ialah untuk menyalahgunakan nama Tuhan untuk memecahbelahkan kita dan memanipulasi akal fikiran kita, hanya demi nafsu buas mereka untuk membunuh dan melakukan kehancuran.
Penyelesaian kepada kebencian bukanlah dengan menirunya. Memetik kata-kata Martin Luther King Jr “Membalas kebencian dengan kebencian, akan menggandakan kebencian, menambah gelap kepada malam yang memang tiada bintang, Kegelapan tidak boleh menewaskan kegelapan, hanya cahaya boleh berbuat demikian. Kebencian tidak boleh menewaskan kebencian, hanya kasih sayang boleh berbuat demikian. Kebencian membiak kebencian, keganasan membiak keganasan, dan kekerasan membiak kekerasan dalam kitaran menuju kehancuran.”
Oleh yang demikian, pemimpin negara mesti menyampaikan mesej yang betul kepada rakyat di zaman yang penuh kekeliruan ini. Apa yang dilakukan oleh Angela Merkel dan kabinetnya wajar dicontohi oleh pemimpin-pemimpin negara lain. Mereka berdiri tegas dengan sikap toleransi dan menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh Majlis Tertinggi Muslim Jerman di Barandenburg Gate, walaupun tekanan dan pengaruh politik sayap kanan yang anti Islam semakin meningkat di Jerman. Keputusan ini dibuat walaupun impak pilihanraya dari kalangan orang Islam di Jerman adalah kecil – hanya terdapat 5% orang Islam di negara itu. Angela Merkel turut menegaskan bahawa ‘Islam adalah sebahagian daripada negara Jerman’ dan bahawa beliau ‘ Canselor semua rakyat Jerman’.
Kepimpinan sedemikian sangat diperlukan di dalam Eropah yang kian majmuk, apatah lagi dalam negara Malaysia yang sudah sedia majmuk. Pemimpin Malaysia mesti mengelak daripada terjerumus ke dalam politik yang memecahbelah dan menggalakkan kebencian di kalangan kumpulan-kumpulan berbeza. Rakyat Malaysia yang moderat mesti lebih lantang bersuara.
Bagi warga bukan Islam di Malaysia, marilah bersolidariti bersama saudara senegara yang beragama Islam untuk menanggalkan label keganasan daripada Islam. Kita mestilah memastikan suara kesederhanaan dan kesefahaman mengatasi suara kebencian dan keganasan dalam perjuangan memenangi minda warga muda. Hanya dengan kefahaman yang kukuh serta rasa saling hormat-menghormati kita akan dapat mengecap keamanan pada masa akan datang.
Kerana pada akhirnya, kasih sayang mengatasi segala kejahatan.
*Yeo Bee Yin, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri DAP bagi kawasan Damansara Utama