Bertahun jadi ‘boneka’ 1MDB, firma audit Deloitte tarik diri

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: 1MDB nampaknya telah mempergunakan Deloitte Malaysia dan mencemarkan reputasi firma audit antarabangsa itu semata-mata untuk memberi kredibiliti terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan berkenaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Deloitte telah membantu 1MDB menutup penyelewengan bernilai berbilion ringgit sejak beberapa tahun lalu sehinggalah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendedahkannya dalam saman sivilnya minggu lepas.

“Bukti oleh DOJ jelas menunjukkan Deloitte telah membuat ‘huru-hara’ dalam audit 1MDB bagi dua tahun kewangan. Juruaudit telah dipergunakan oleh eksekutif 1MDB yang berulang kali menggelapkan berbilion ringgit dari syarikat tersebut.

“Mereka terpedaya dengan dokumen-dokumen palsu dan penipuan menyakinkan yang dibuat oleh pengurusan 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tony berkata demikian sebagai mengulas kenyataan 1MDB semalam bahawa penyata kewangan syarikat itu bagi tahun 2013 dan 2014 yang diaudit sebelum ini tidak lagi boleh digunakan sehingga dakwaan yang dibuat DOJ ditentukan di mahkamah.

1MDB juga sedang mencari juruaudit baru bagi menggantikan Deloitte yang menyatakan akan menarik diri dari terus menjadi juruaudit syarikat berkenaan pada 26 Februari lalu seperti dilapor media.

Menurut Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP, dengan pendedahan DOJ, Deloitte telah sampai ke tahap tidak lagi dapat mempertahankan penyata kewangan yang diauditnya bagi tahun 2013 dan 2014.

Oleh itu, jelasnya, 1MDB telah dipaksa membuat pengumuman yang disifatkannya sebagai ‘ganjil’ kerana terpaksa menafikan kebenaran laporan kewangannya sendiri.

“Pada asasnya, Deloitte sedang menarik diri dari terus terlibat dalam penyelewengan 1MDB. Lembaga Pengarah 1MDB yang baru pula tetap berkeras menyatakan tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh syarikat berkenaan,” katanya.

Tony turut menyifatkan Lembaga Pengarah 1MDB yang baru telah gagal ujian pertama integriti dan akauntabiliti apabila terus mendakwa penyata kewangan bagi tahun-tahun sebelum ini menunjukkan gambaran sebenar hal ehwal syarikat itu.

“Walaupun bukti kukuh telah didedahkan secara terbuka, Lembaga Pengarah baru yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, Tan Sri Irwan Serigar tetap cuba menutup jenayah besar-besaran yang berlaku dalam 1MDB.

“Ia kini menunjukkan Tan Sri Irwan Serigar hanya berminat untuk meneruskan tugas ‘cemerlang’ Lembaga Pengarah 1MDB sebelum ini yang meletak jawatan pada April lalu,” ujarnya. – Roketkini.com

Recommended Posts