Biasiswa: BN seperti tikus membaiki labu

GEORGETOWN, 7 JUN – Semua pelajar cemerlang SPM patut mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, dan bukannya diturunkan taraf mereka dengan biasiswa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk pengajian di universiti-universiti tempatan sahaja.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, biasiswa sepatutnya diberi berdasarkan prestasi cemerlang, bukannya kepada mereka yang mendapat keputusan lebih kurang sahaja.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional mahu menurunkan taraf pelajar cemerlang yang sepatutntya layak mendapat biasiswa JPA ke luar negara, dengan menawarkan mereka biasiswa lain yang akan mengesahkan mereka “gagal” kerana biasiswa telah diberikan kepada pelajar lain yang mendapat keputusan SPM lebih rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan semalam bahawa 500 geran khas pengajian akan diberikan oleh 1MDB kepada pemohon JPA yang “gagal”. Biasiswa bernilai RM7,500 setahun adalah untuk pengajian di universiti awam tempatan manakala bagi pengajian di universiti swasta tempatan dalam pengajian atau bidang kritikal akan diberikan biasiswa bernilai RM15,000 setahun dan RM7,500 bagi bidang lain.

Guan Eng berkata, kerajaan BN juga cuba menyembunyikan kebenaran kerana tidak mendedahkan data terperinci pelajar yang mendapat pendidikan di luar negara.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut membidas Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang masih diam berikutan kegagalan janji-janji para menteri MCA untuk memberikan biasiswa, sebaliknya cuba mengalihkan perhatian dengan menyerang kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, MCA mendakwa Pulau Pinang mempunyai dana yang cukup besar untuk diberikan sebagai biasiswa pengajian luar negara kerana memandangkan negeri itu telah mendahului senarai pelaburan tertinggi pada tahun 2010 dengan nilai RM12.2 bilion.

“Terima kasih kerana MCA mengiktiraf kejayaan Pulau Pinang dalam senarai pelaburan tertinggi. Tapi sekiranya MCA tidak mampu membezakan di antara pelaburan luar negara dan pelaburan dalam negara dengan pendapatan, maka MCA tidak layak untuk menjadi sebahagian daripada jentera kerajaan.

“Pelaburan yang dimiliki oleh sektor swasta adalah untuk mencipta peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, bukan menjana pendapatan kerajaan negeri untuk berbelanja. Mungkin para pemimpin MCA perlu menghadiri kursus asas kewangan.

“Tambahan pula, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang masih lagi cuba untuk membetulkan serta membersihkan penyalahgunaan kuasa dan salah laku (pada zaman pemerintahan BN) sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM230 juta yang terpaksa ditanggung oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sehingga memaksa MPSP muflis secara praktikalitinya dan isu skandal tanah Tang Hak Ju yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar RM40 juta,” jelas Guan Eng.

Walau pun begitu, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, dengan pendapatan terhad, Pulau Pinang masih tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada pelajar-pelajar cemerlang dengan memberikan pinjaman kepada mereka.

“Selain itu, kerajaan negeri turut menambah peruntukan, bukan pinjaman, kepada pelajar miskin di sekolah-sekolah,” katanya.

Beliau menegaskan lagi bahawa janji DAP jauh lebih logik berbanding janji BN, yang mana jika Pakatan Rakyat membuka pintu Putrajaya, semua pelajar cemerlang akan mendapat layanan biasiswa pendidikan luar negara secara adil saksama.

Menurut, Pakatan Rakyat jika diberi mandat oleh rakyat, akan memastikan Malaysia berada dalam lingkungan negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita RM45,000 berbanding kira-kira RM22,000 sekarang ini. – Roketkini.com

Recommended Posts