Biasiswa Undang-Undang Karpal Singh 2024 dibuka untuk permohonan

450460208 1032656094891913 1788701085594199145 n

1. Pada 17 April 2024, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Saudara Anthony Loke Siew Fook telah mengumumkan mengenai biasiswa di atas nama mendiang Dato’ Seri Utama Karpal Singh sempena memperingati 10 tahun pemergian mantan pemimpin DAP tersebut.

2. Hari ini, bagi mewakili DAP, saya dengan sukacita mengumumkan bahawa Biasiswa Undang-undang Karpal Singh kini dibuka untuk permohonan, iaitu daripada hari ini (10 Julai 2024) sehingga 24 Julai 2024.

3. Biasiswa ini dinamakan sempena mendiang Dato’ Seri Utama Karpal Singh, seorang peguam dan tokoh politik yang tiada galang ganti. Mendiang telah memberi sumbangan besar kepada bidang undang-undang dan memperjuangkan keadilan sepanjang hayatnya. Biasiswa ini adalah untuk memperingati jasa dan baktinya dan supaya legasinya menjadi inspirasi buat anak muda Malaysia yang sedang belajar undang-undang.

4. Untuk tahun ini, sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan oleh DAP. Lima orang penerima akan dipilih, dan setiap penerima akan menerima wang sebanyak RM20,000. Pengumuman penerima yang berjaya dijangka akan dibuat dalam bulan Ogos 2024.

5. Permohonan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang telah melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang (LL.B atau setara) di institut pengajian tinggi awam atau swasta, sama ada di dalam atau luar Malaysia.

6. Permohonan boleh dibuat dengan melengkapkan borang permohonan atas talian yang boleh dicapai di pautan berikut https://bit.ly/3RTmfsn . Semua permohonan hendaklah disertakan dengan dokumen sokongan seperti surat tawaran atau pengesahan daripada institut pengajian tinggi. Pemohon juga perlu menghantar kenyataan bertulis atau membuat video pendek mengenai mengapa mereka wajar menerima biasiswa ini.

7. DAP percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada pembangunan negara. Maka, melalui Biasiswa Undang-Undang Karpal Singh ini, matlamat kami adalah untuk melahirkan peguam-peguam yang akan meneruskan perjuangan
mendiang Dato’ Seri Utama Karpal Singh dalam menegakkan keadilan, hak asasi manusia dan meluhurkan Perlembagaan Persekutuan.

8. Sebarang pertanyaan mengenai biasiswa ini boleh diajukan dengan menghubungi 03-9200 5000 atau [email protected].

Syahredzan Johan Ahli Parlimen Bangi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP
10 Julai 2024

Recommended Posts