Diperbuat daripada paling kurang sepuluh bahan, bubur asyura bukan setakat makanan tradisi sempena hari kesepuluh bulan Muharram; bahkan bersamanya hadir kisah yang menjadi simbolik kesepakatan serta perpaduan sebuah umat.
Beberapa sandaran dalil mengisahkan tentang latar sejarah bubur asyura, namun yang paling popular adalah bahagian daripada kisah bahtera Nabi Nuh.
Dikhabarkan bahawa setelah peristiwa banjir besar berlaku, bahtera yang memuatkan umat Nabi Nuh serta haiwan berpasang-pasangan itu pun tersadai di bukit Judi. Lalu apabila keluar daripada bahtera, umatnya lantas mengadu lapar.
Maka diarahkan supaya saki baki bekalan mereka dikumpulkan. Ada yang datang membawa segenggam kacang, ada yang membawa beras, gandum dan sebagainya. Bahan-bahan itu dimasak bersekali dalam sebuah periuk untuk dimakan bersama-sama.
Meski ada agamawan yang menyatakan ada kemungkinan kisah itu sekadar direka-reka, amalan masyarakat Islam di Malaysia memasak bubur asyura telah sebati dengan bulan Muharram sejak zaman berzaman.
Kalau di Kelantan, bubur asyura disebut ‘sugho’. Berbeza langsung dengan apa yang dikenali umum sebagai tekstur bubur, ‘sugho’ Pantai Timur mempunyai tekstur kental seperti kuih bingka atau tepung talam yang boleh dipotong-potong untuk dihidangkan. Malah bahannya juga sedikti berbeza, dengan kehadiran bahan tumis serta tambahan protein daging ayam atau daging serta campuran rempah khas.
Di Utara, ‘buboq shora’ (kalau disebut mengikut lidah Pulau Pinang) mempunya tekstur yang pekat kerana dimasak untuk jangka waktu yang panjang. Rasanya pula manis, kerana menggunakan bahan-bahan seperti pisang, jagung, keladi dan keledek.
Berbeza pula dengan mazhab bubur Selatan, yang jauh lebih cair dan tidak begitu manis. Seperti bubur lambuk yang menjadi hidangan wajib bulan Ramadan, bubur asyura Selatan dimasak hampir serupa dengan tambahan pelbagai jenis kekacang.
Bagi calon DUN Kampung Tunku, bubur asyura dijadikan peluang beramah mesra bersama penduduk setempat.
Selesai sahaja penamaan calon Sabtu lalu, Lim Yi Wei yang siap berselendang bergegas ke Masjid Kampung Tunku untuk turun tangan membantu memasak bubur asyura.
“Saya sempat mengacau bubur dan juga beramah mesra bersama kakak-kakak tukang masak yang ‘terer’ memasak bagi memastikan jemaah masjid sentiasa ‘sihat’!” selorohnya dalam hantaran di media sosial.
“Saya turut teruja kerana kerjasama yang baik di antara pejabat saya dan masjid sejak lima tahun yang lalu telah membawa kepada pelbagai penambahbaikan infrastruktur di masjid ini,” tambahnya lagi.
Bagi Yi Wei, semangat gotong royong yang diperlihatkan penduduk Kampung Tunku dan toleransi dalam masyarakat berbilang kaum adalah asas negara ini yang tidak wajar diganggu-gugat.
Di tengah hangat kempen pilihan raya negeri yang sedang berlangsung, akan ada pihak-pihak terdesak yang akan cuba mempergunakan sentimen kaum dan agama untuk manfaat politik jangka pendek, tanpa menghiraukan kesan jangka panjang terhadap fabrik sosial.
Belajarlah daripada kisah bubur asyura dan saling berpakat serta bersatu padu demi membina sebuah negara yang aman, makmur dan stabil.