Budaya ‘cakap sorang-sorang’ galak permusuhan antara agama

KRISMAS sudah hampir. Krismas yang meraikan kelahiran Yesus Kristus.

Setiap kali menjelang musim Krismas, saya terkenang semula memori lama menyambut Krismas di universiti dulu.

Tiga tahun lepas, saya ada menceritakan salah satu kenangan itu. Kawan-kawan Persatuan Mahasiswa Islam bertandang ke Malam Krismas Persaudaraan Kristian Varsiti.

Meskipun tanpa undangan – maklumlah semua pencetakan dan aktiviti agama lain wajib ‘untuk non-muslim sahaja’ – namun pengajaran yang mereka bawa malam itu merupakan hadiah Krismas yang amat berharga sekali.

Kawan-kawan Islam menginsafkan saya bahawa dalam masyarakat majmuk, boleh wujud perkongsian ruang yang bermakna tanpa melarutkan iman dan kepercayaan masing-masing.

Saya jemput anda untuk membaca kisah tersebut: Krismas 10 tahun lalu.

Masalah dengan agama di Malaysia ialah interaksi yang positif seperti ini jarang berlaku. Alasannya, sebab agama perkara sensitif. Sebab nanti orang akan tersinggung, atau lebih teruk lagi, menjadi keliru dan terpesong aqidah. Justeru, agama seringkali terlibat dalam monolog, mereka ‘cakap sorang-sorang’.

Jarang ada dialog bermakna antara satu sama lain. Waima bercakap pasal agama orang lain sekalipun ‘cakap sorang-sorang’.

Baru-baru ini, kita baca berita bahawa UiTM sekali lagi buat seminar tentang Kristian dan sebagainya.

Masalah dengan monolog macam itu ialah ia bukannya boleh wujud persefahaman mahupun ‘melindungi aqidah’ seperti yang didakwa. Monolog itu ‘bercakap sorang-sorang’, sendiri tanya sendiri jawab. Tiada interaksi.

Kadang-kala yang cakap itu entah betul atau tidak – macam tahun lepas, kata ada bekas paderi dan birawati Indonesia buat sesi tentang Kristian di UiTM tapi bila semak dengan pihak Indonesia, terbukti mereka tidak pernah menjadi paderi dan birawati. Macam mana penipuan boleh ‘melindungi aqidah’?

Monolog Kristian tentang Islam di Eropah

Sebenarnya, sejak bermula pertembungan Islam dengan Kristian di Barat pada abad ke-8 dengan penaklukan Semenanjung Iberia sehinggalah kurun ke-12, Islam dan Kristian jarang berinteraksi secara langsung. Hanya monolog, ‘cakap sorang-sorang’.

Idea orang Eropah terhadap Islam pada masa itu paling baik sekalipun ialah sebagai ‘agama anak buangan Nabi Ibrahim iaitu Ishmael’.

Dalam sebuah syair klasik Perancis pada lewat kurun ke-11, La Chanson de Roland, orang Islam dipanggil ‘Saracen’ dan dibayangkan oleh pengarang syair itu sebagai bangsa berkulit gelap, berfikiran cetek, kejam dan suka berperang, rajanya tidak mengasihi rakyat dan bertuhankan triniti palsu Mahumet, Apollin dan Tervagant.

Inilah monolog orang Kristian terhadap Islam pada zaman itu; ‘cakap sorang-sorang’ dan mereka cipta musuh melalui imaginasi sendiri. Maka, tidak hairanlah apabila ada yang melihat Islam sebagai agama musuh yang perlu diperangi habis-habisan lalu tercetusnya Perang Salib.

Antara hasil usaha paling awal untuk ‘memahami Islam’ oleh dunia Kristian di Barat (sekali lagi perlu diingatkan bahawa Barat dan Kristian sebenarnya bukan sinonim; agama Kristian bermula di Timur, di bumi Palestin) ialah terjemahan Al Quran kepada bahasa Latin pada kurun ke-12 di Toledo, Andalus (ataupun Sepanyol). Latin merupakan bahasa ilmu Eropah ketika itu.

Pada 400 tahun selepas penterjemahan itu, seorang pencetak bernama John Oporin dibawa ke mahkamah kerana mencetak al-Quran Toledo itu. Kesnya kemudian dibela oleh tidak lain dan tidak bukan, Dr Martin Luther – tokoh Reformation agama Kristian.

Bayangkan, 400 tahun selepas penterjemahan itu, masyarakat Eropah umumnya belum dapat menerima al-Quran dicetak dalam bahasa mereka. Alasannya, agama itu perkara sensitif, takut orang Kristian akan tersinggung. Atau lebih teruk lagi, menjadi keliru dan terpesong akidah.

Dongeng tentang Islam, Perang Salib dan al-Quran Toledo

Tokoh yang membuahkan idea serta menaja terjemahan al-Quran Latin, namanya Peter Montboisser. Beliau ialah paderi Katolik Perancis yang masyhur dan amat berpengaruh pada zaman itu. Disebabkan kealimannya, beliau digelar ‘the Venerable’.

Di samping mempunyai ilmu agama yang tinggi, beliau juga seorang negarawan, sering menjadi pendamai konflik antara pemerintah dan nasihatnya selalu dipinta oleh pemimpin negara ketika itu. Perginya ke Toledo pun di atas jemputan Raja Sepanyol Alfonso VII.

Mengapa Peter the Venerable mencadangkan terjemahan al-Quran itu? Sebenarnya, usaha itu bukan kerana beliau sayang atau percayakan Islam dan al-Quran tetapi beliau percaya kepada kebenaran.

Pertama, kebenaran agamanya sendiri yang mampu bertahan menghadapi cabaran pendapat berbeza. Kedua, kebenaran bahawa idea Islam yang dikritik itu perlu betul-betul daripada literatur Islam itu sendiri dan bukan imaginasi ataupun momokan yang pelik-pelik tentang Islam oleh sesetengah Kristian Eropah masa itu.

Dan bagi memastikan kejituan terjemahan al-Quran Toledo, Peter bukan sahaja memilih penterjemah daripada kalangan cendekiawan terjemahan aliran Toledo yang masyhur ketika itu, beliau juga melantik seorang Muslim bernama Mohammad – yang dipercayai berbangsa Arab – sebagai anggota tim penterjemah itu.

Dalam perkataan beliau sendiri: “In order that the translations should not lack the fullest fidelity, nor anything be taken away by deceit from our attention, I also added a Saracen to the Christian translators. . . . The name of the Saracen was Mohammed.”

Walaupun pada masa kini terjemahan al-Quran Toledo tersebut dilihat sebagai penuh polemik terhadap Islam, namun kita perlu memahami konteks kepada usaha Peter the Venerable.

Pilihan depan Peter ialah sama ada dongeng tentang Islam ataupun memerangi Islam dengan senjata. Rakan baik beliau sendiri, Bernard of Clairvaux menyokong Perang Salib dan berkempen menyeru ke arah jihad agama.

Peter the Venerable yakin bahawa pendekatan kepada Islam yang asing kepada Barat ketika itu bukan kebencian ataupun peperangan tetapi melalui pemahaman pemikiran dan kepercayaan Islam itu sendiri, lalu berdialog untuk memenangi mereka.

Ketika orang lain memilih monolog, Peter memilih dialog. Ketika orang lain memilih perang, Peter, memilih perbahasan idea. Maka betullah kata-kata beliau: “[Even] With those who hate peace let us always seek to be peacemakers” (Dengan orang yang bencikan keamanan sekalipun, biar kita sentiasa menjadi pengaman).

Pernah sekali ketika menulis kepada Louis VII, beliau menyongsangkan slogan Perang Salib, “Deus vult!” (“God wills!”) dan menekan bahawa “God does not will”, apabila merujuk kepada perang dan pembunuhan orang bukan Kristian.

Insan yang cintakan keamanan itu meninggal dunia pada hari Krismas 25 Disember 1156.

Dialog itu bahaya?

Monolog mudah menjurus ke arah salah faham, jika tidak disertakan dengan dialog yang bermakna. Monolog tidak mampu untuk membawa kita mengharungi jurang perbedaan di antara kita. ‘Bercakap sorang-sorang’ itu syok sendiri semata-mata.

Dan tidak hairan jika ada yang inginkan kita supaya tidak berdialog. Kerana dialog itu subversif dan bahaya.

Bukan bahaya seperti dalam naratif mereka, bahawa dialog akan menyebabkan orang tersinggung, atau lebih teruk lagi menjadi keliru dan terpesong aqidah.

Bukan seperti itu. Sebaliknya dialog itu bahaya kerana nanti kita akan insaf bahawa rupa-rupanya perbezaan kita boleh diatasi, bahawa Islamkah, Kristiankah, Buddhakah, Hindukah, dalam hidup ini, kita semua manusia.

Permulaan kepada dialog itu sendiri merupakan pengiktirafan bahawa pihak yang satu lagi itu setaraf, berkongsi sifat kemanusiaan yang sama (Takkan kita berdialog dengan haiwan dan tumbuhan?)

Benda inilah yang bahaya amat sangat kerana ada sesetengah orang yang ingin percaya ataupun ingin orang lain percaya bahawa mereka bukan manusia biasa berbanding orang lain. Mereka ini hebat, mereka ini ada standard, mereka ada kepandaian, mereka ini berkuasa. Dialog akan memusnahkan dongeng-dongeng mereka.

Dalam Bible, direkodkan bahawa pada malam kelahiran Yesus Kristus, malaikat muncul di kalangan beberapa orang pengembala miskin lalu berkata (berdialog?) kepada mereka, “Keamanan di atas bumi, kesejahteraan ke atas manusia!”

Selamat Hari Natal dan selamat tahun baru.

 

* Steven Sim ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Recommended Posts