Buli Siber: Trend Berbahaya di Malaysia yang Memerlukan Tindakan Segera

451800216 894782986022169 6505843431963100420 n

Dalam era digital kini, buli siber telah muncul sebagai isu yang memudaratkan dan merebak dengan luas, sekali gus meninggalkan kesan buruk yang amat mendalam. Menerusi medium elektronik, bentuk gangguan moden ini telah mengakibatkan tekanan psikologi yang teruk dan, dalam kes-kes yang paling tragis, mendorong individu untuk membunuh diri.

Di Malaysia, situasinya amat serius dengan peningkatan bilangan kes bunuh diri yang dikaitkan dengan buli siber. Trend yang membimbangkan ini menunjukkan keperluan mendesak bagi undang-undang yang lebih ketat serta hukuman yang lebih berat untuk memerangi ancaman ini dengan berkesan.

Berbeza dengan buli tradisional, buli siber boleh berlaku 24 jam, dan dengan ketanpanamaan (anonymity) yang disediakan oleh Internet sering kali memberikan keberanian kepada pelaku. Mangsa berasa tidak berdaya, dengan pengganggu mereka bersembunyi di sebalik skrin dan avatar. Sifat buli siber yang berterusan memburukkan lagi perasaan terasing dan rasa putus asa yang dialami oleh mangsa, kadangkala menolak mereka ke penghujung hadnya.

Kajian oleh Persatuan Kesihatan Mental Malaysia mendapati bahawa sekurang-kurangnya 20% daripada kes bunuh diri remaja dalam beberapa tahun kebelakangan ini dikaitkan dengan buli siber. Angka-angka ini menekankan keperluan mendesak untuk tindakan secara menyeluruh bagi menangani dan mengurangkan impak trend berbahaya ini.

Laporan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan berlaku peningkatan mendadak dalam kes buli siber, dengan beberapa kes bunuh diri tragis dikaitkan dengan gangguan dalam talian. Sehingga tahun 2024, SKMM telah menerima sejumlah besar aduan mengenai gangguan dalam talian. Sejak tahun 2020 sehingga bulan Julai tahun ini, terdapat 6,598 aduan berkaitan dengan buli dalam talian dan gangguan seksual. Selain itu, dari tahun 2016 hingga 2021, SKMM merekodkan sejumlah 15,238 aduan berkaitan gangguan dalam talian.

Angka-angka yang tepat sukar untuk diperoleh kerana factor kekurangan laporan (underreporting) dan stigma tetapi statistik yang kita miliki adalah amat membimbangkan. Hubungan antara buli siber dan bunuh diri telah didokumentasikan dengan baik dan sangat membimbangkan, di mana mangsa sering kali berasa terlalu tertekan dengan serangan dan ancaman negatif yang berterusan serta penghinaan awam (public shaming).

Pada masa ini, rangka kerja undang-undang Malaysia adalah termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan, yang menjenayahkan menggunakan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengancam, atau mengganggu orang lain. Walau bagaimanapun, hukuman – biasanya denda dan penjara – sering tidak mencukupi untuk menghalang pelaku.

Walau bagaimanapun, pada masa ini, penguatkuasaan undang-undang ini juga mencabar kerana sifat ketanpanamaan membabitkan interaksi dalam talian dan kesukaran dalam mengesan buli siber. Selain itu, ketiadaan undang-undang khusus yang menyasarkan buli siber menyebabkan mangsa tidak mempunyai penyelesaian undang-undang yang mencukupi. Untuk memerangi ancaman ini dengan berkesan, Malaysia memerlukan undang-undang khusus yang jelas mendefinisikan buli siber, menggariskan hak-hak mangsa, dan mewujudkan hukuman yang komprehensif bagi pesalah.

Di samping itu, cadangan untuk denda yang lebih tinggi dan hukuman penjara yang lebih lama untuk pembuli siber boleh menjadi penangkis yang kuat kerana ia menghantar mesej yang jelas bahawa bentuk gangguan tersebut adalah tidak diterima. Langkah melancarkan kempen kesedaran awam mengenai akibat buli siber dan kesan undang-undang juga boleh memainkan peranan penting dalam usaha pencegahan. Sebagai contoh, program Pendidikan yang dapat membantu memperkasakan individu untuk mengenali dan memerangi buli siber boleh dimulakan di sekolah dan komuniti. Ia juga boleh membantu menghapuskan stigma malu. Pada masa yang sama, penyediaan khidmat kaunseling dan bantuan undang-undang boleh membantu mangsa pulih daripada kesan psikologi dan seterusnya bangkit memperjuangkan keadilan dirinya.

Sebagai konteks, penembusan internet di Malaysia adalah agak tinggi untuk sebuah negara yang populasinya kira-kira 34.7 juta orang. Sehingga Januari 2024, sekitar 33.59 juta pengguna Internet telah dilaporkan, meletakkan kadar penembusan internet negara kita pada 97.4% daripada jumlah populasi. Selain itu, menurut Meltwater, jumlah identiti pengguna media sosial telah meningkat sebanyak 20%, dengan jumlah semasa sebanyak 28.68 juta orang yang secara aktif menggunakan (maintaining) beberapa bentuk kehadiran media sosial, dengan TikTok sebagai platform media sosial kedua paling ‘digemari’.

Dalam perjuangan melawan buli siber, kita berada di persimpangan yang sangat penting. Kes-kes tragis kehilangan nyawa bukan sahaja menarik perhatian negara tetapi juga mendorong tindakan tegas oleh pihak berkuasa. Seruan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil agar platform media sosial meningkatkan usaha dan mengambil tanggungjawab adalah langkah penting ke arah menangani isu yang menular ini, namun begitu ahli-ahli masyarakat lain juga perlu memainkan peranan mereka dalam memerangi kejahatan digital (digital malice) ini.

Kita tidak lagi boleh mengabaikan betapa pentingnya media sosial dalam kehidupan seharian kita dan mesti mencari cara untuk memperkasakan komuniti kita.

Dalam kita bergerak ke hadapan, matlamat kolektif kita jelas: untuk membina dunia dalam talian yang dikuasai dengan kebaikan dan individu dilindungi daripada bahaya buli siber. Trend tragis buli siber yang mendorong individu membunuh diri adalah peringatan yang nyata tentang kuasa merosakkan yang dimiliki oleh gangguan dalam talian (online harassment). Dengan menggubal undang-undang khusus, meningkatkan hukuman, dan melonjakkan sistem sokongan, Malaysia boleh mengambil langkah yang signifikan ke arah menghapuskan buli siber dan memastikan persekitaran digital yang lebih selamat untuk semua.

Masa untuk bertindak adalah sekarang. Keselamatan dan kesejahteraan ramai individu bergantung padanya.

SYERLEENA ABDUL RASHID
AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA

Recommended Posts