Bunohe – Oleh Izmil Amri

Bunohan adalah satu tragedi, seperti nahas keretapi. ‘Train-wreck’ kata orang puteh. Mungkin sebab aku terlalu letak harapan menggunung kepada ini gambar, maka aku kecewa. Dan kecewa aku itu pula bertimpa-timpa, kerana bukan sebulan dua aku tunggu untuk tonton ini gambar malah lebih satu tahun.

Disangka intan, rupanya kaca. Begitulah ibaratnya wayang gambar yang diberi tajuk Bunohan ini. Promo dan reviunya menggila. Pujian berbakul-bakul selepas ditayang merata-rata sampai ke Festival Filem Toronto. Namun akhirnya apabila sampai giliran aku menontonnya setelah demikian lama menanti, Bunohan nyatanya tidak begitu membuat aku inzal.

Foreplay sahaja melebih, kerjanya tak jalan.

Kempen filem ini buat kau tertanya-tanya, ini filemnya tentang apa? Barangkali ada yang berharap untuk menonton filem tomoi. Atau cerita bunuh-bunuh dengan banyak darah. Atau cerita hantu. Maaf, kau semua sudah dikecewakan. Kerana Dain Said sudah bikin rojak dari pengharapan kita semua.

Dain Said sudah bikin satu filem basah. Ya, basah. Bunohan banyak pakai air, tidak kiralah air peluh, air laut, air sungai, air paya, air hujan. Air di mana-mana. Apabila dia jemu dengan air, dia gunakan pasir. Ini unsur utama permainan gambar Dain Said – air dan pasir. Semua karakternya sentiasa kebasahan. Terutama saka buaya putih berupa awek hot bersisik yang berjalan keluar dari sungai dengan kain batik melekat ke peha dan rambut yang basah menitik-nitik. Kita akan sembang tentang awek basah ini nanti. Kita kutuk benda lain dulu.

Untuk menonton Bunohan, seperti nasihat ramai orang, kita perlu persiapkan diri. Ini betul. Jika pergi menonton Bunohan dengan dada yang kosong, maka bengonglah kau di hujung cerita. Paling kurang perlulah terlebih dahulu membuat carian Google tentang main puteri dan saka buaya.

Tanpa memahami apa bendanya saka, Bunohan akan sukar difahami. Maka penonton didiskriminasi dengan jayanya. Itu belum kira soal dialog Bunohan yang seluruhnya berlangsung dalam loghat Kelantan yang majoritinya dibuat-buat. Ada juga bahagian-bahagian yang menjadi. Ramai yang hadir di panggung nyatanya orang Kuala Lumpur yang teruja dengan dialek Kelantan. Terkekeh-kekeh ketawa pada baris-baris lelucon yang tidaklah sekelakar mana.

Bunohan bukanlah filem yang punya naratif yang tersusun. Ceritanya tunggang langgang, meski plotnya mudah. Ini bukan perkara baik. Ia menyusahkan. Meski punya tiga watak utama berbeza, seharusnya boleh ditulis ceritanya itu dengan lebih tersusun, seperti alif ba ta. Ya, aku tahulah ini seni, tetapi seni tidak harus melemahkan syahwat audiens.

Tiga minit pertama Bunohan sudah bunuh syahwat aku. Plotnya tidak punya naik turun. Sampai tiga suku jalan aku masih tercari-cari celah mana menyorok klimaksnya. Macam yang tadi aku sebut, ini cerita tidak bikin inzal. Ini cerita bikin garu kepala.

Maka apa yang hebat sangat dengan filem ini sebenarnya?

Orang yang gila fotografi dan suka kepada kecantikan akan merasakan bahawa Bunohan sangat berjaya menangkap sanubari. Ini aku juga harus setuju, kerana ini sahajalah satu-satunya aset yang begitu lantang dicanang. Ya, sinematografi Charin Pengpanich memang cantik. Itu saja. Tak ada pujian lagi. Shot Bunohan jauh melencong dari landasan konvensional. Seolah-olah memberi nafas kepada manusia yang sedang kelemasan, itulah sumbangan sinematografi yang cantik ini kepada sebuah filem yang tidak begitu punya banyak warna. Semuanya kelabu, usang macam sebuku roti putih yang sudah terbiar lama.

Jika mahu dibanding dengan mutu pembikinan arwah Yasmin, Bunohan hampir-hampir sahaja sampai. Sikit saja lagi.

Penceritaan Bunohan juga ini pada akhirnya tidak punya fokus–samalah seperti shot dan sinematografinya–punya sudut yang maha mencapah dan cuba mengaut semua benda dalam satu bingkai. Penulisan Bunohan mungkin dibuat dalam keadaan khayal dan asyik dengan cerita yang bermain dalam kepala, kerana hasil yang diluahkan juga nampaknya begitu–berterabur dan wujud dalam bingkai-bingkai bersepah, seolah-olah penonton dibawa melawat galeri lukisan. Berpindah dari satu ruang ke satu ruang tanpa mengikut laluan yang masuk akal.

Dain Said barangkali cuba untuk memanifestasikan seni. Tetapi setakat itu saja lah. Mencuba. Tidak begitu berjaya.

Trimurti? Triniti?

Filem ini punya tiga watak utama, katanya. Semacam satu trimurti, yang dilonggok bersama pada satu isu yang menjadi tema kecil filem ini yang sebenarnya tidak ada tema. Tiga beradik ini dilonggok pada institusi keluarga Melayu Kelantan yang tidak berfungsi.

Keluarga begini bersepah di merata ceruk. Bapa seorang penggiat seni, ibu seorang pengamal ilmu mistik. Punya anak-anak yang huru-hara; seorang skema tetapi tamak haloba walau punya maksud baik, seorang pembunuh yang tak tukar-tukar pakaian tapi punya semangat kekeluargaan yang kuat, seorang lagi terbuang dan berakhir di gelanggang sepak terajang.

Ilham, anak yang entah ke berapa, diperankan oleh Faizal Hussein dengan baik. Pembunuh upahan yang tidak menggunakan senapang sniper tetapi memilih lawi ayam sebagai senjata. Aku mungkin salah, tetapi aku suspect watak Ilham ini seorang gay. Kenapa? Sebab dia mendapat kepuasan seksual di awal cerita ini dalam satu babak urut batin oleh seorang lelaki tua. Padahal tidak pula dia punya syahwat mendengar bunyi-bunyi kopulasi lelaki perempuan–dengar sikit dan terus berlalu pergi. Tidak normal. Kelasi kapal pula tu.

Jadi, dia pembunuh, homoseksual, tetapi punya roh keluarga yang cukup kuat untuk cari dan pindahkan semula tulang-tulang dari kuburan ibunya, walau terpaksa angkut sekali tulang-tulang mayat lain. Akhirnya mengorbankan nyawanya untuk adik lelaki yang amat dibenci.

Adik yang amat dibenci ini diperankan oleh Zahiril Adzim dengan mutu yang boleh tahan. Tidak sangat cemerlang, sekadar dua bintang setengah. Tiada apa yang istimewa tentang watak si Adil ini selain dia ini hanya tahu lawan. Asal disuruh, dicabar, hatta dengan kawan sendiri, dia tetap lawan. Akhirnya mati diracun.

Yang tidak mati ialah Bakar. Pekin Ibrahim membawa watak yang seakan-akan UMNO. Pulang dari Kuala Lumpur, laparkan tanah, rasuah dan ugut orang kampung, biarpun kelihatan sangat skema dan kemas dengan janggut sejemput dan sentiasa tuck-in baju. Habis keluarganya mati. Dia seorang tak juga mati-mati, malah berjaya pula merampas tanah ayahnya setelah ditikam-tikam sampai mati orang tua itu demi mengisi tembolok sendiri. Perangai macam jahanam.

Mek Yah adalah kegagalan maha besar Bunohan. Ya, satu-satunya watak perempuan ini adalah faktor yang buat aku rasa nak baling selipar ke skrin pawagam. Tidak kiralah hot tara mana pun minah cun yang basah menitik-nitik duduk bersimpuh di depan rumah ini. Dialognya gagal, bunyi Kelantan pun tidak. Muncul sekejap-sekejap, ada kalanya macam Godzilla versi mini. Pelakonnya pula, Tengku Azura, terlalu cun untuk watak itu.

Apa sebenarnya yang Bunohan cuba sampaikan?

Ada mesej-mesej halus yang tersorok dalam dialog Bunohan, yang hanya mungkin didengar teliti oleh mereka yang terbuka derianya. Mesej politik Bunohan amat jelas kepada aku. Ada sebut tentang perlawanan yang ‘bersih’. Ada sindiran terhadap politisi yang semedang kerjanya bersyarah dan berceramah. Ada kritik halus terhadap sindrom rebut dan rampas tanah yang memecah-belah keluarga dan mengkayakan orang yang sedia kaya. Ada perlambangan-perlambangan yang hanya akan dapat dibaca kalau diusahakan secara bersungguh.

Penggunaan perlambangan ini aku suka. Cumanya, bukan semua orang faham perlambangan dan simbolik. Sama kesnya dengan masalah teater Tycoon – Tikus yang dulu dipentaskan di DBP, dilakonkan Namron, Zahiril Adzim dan Amerul Affendi. Itu juga diselit-selit mesej politik yang hanya tampak kepada yang mencari dan peka kepada segala inuendo kritik politik.

Masalah keluarga Melayu berebut tanah dan berbunuh-bunuh ini biasa. Tidak kiralah betapa hebat pun dinafikan. Keluarga pecah-belah, kapitalis mahu kaut untung hasil pecah-belah masyarakat, juga perkara lazim. Cuma Bunohan menyampaikan isu-isu ini dengan sikap berbeza.

Adakah pula mesej ini sampai? Mungkin satu per-sepuluh. Pelakonnya sendiri barangkali tidak perasan.

Namun hakikatnya Bunohan adalah filem yang merentap kau keluar dari gelap pembodohan dengan menyajikan sesuatu yang lain dan segar berbanding wayang gambar biasa yang kita tonton–balik-balik gangster, rempit, cinta, hantu, seolahnya kepala otak orang Melayu ini terlalu bodoh untuk menghadam karya seni yang lebih tinggi dan memerlukan pemikiran. Bunohan berjaya melakukan itu: memaksa kau berfikir dan membaca.

Maka tahniah kepada Bunohan untuk itu. Untuk kejayaan memecahkan kebuntuan layar perak yang bagai anjing mengejar ekor, berpusing-pusing tak habis pada kisah-kisah yang sama.

Sikap dan jiwa Bunohan adalah sama sebiji seperti roh saka buaya putih itu. Ada sisi ganas, ada sisi yang cantik dan sama sekali unik. Kau dapat rasakan pada pembuluh darah kau bahawa Dain Said telah dengan tulus membikin seni untuk rakyat, mengharapkan seni itu mengakar dan meresap ke dalam kepala otak penontonnya. Dia bukan sekadar mahu buat kerja ganjil supaya kelihatan ganjil.

Kesimpulannya, aku kasi Bunohan tiga bintang setengah. Satu bintang untuk Faizal Hussein, satu bintang untuk sinematografi, satu bintang lagi untuk inuendo ‘perlawanan bersih’ dan setengah bintang untuk kejayaan merentap industri filem keluar lebih jauh dari gelap pembodohan.roketkini.com

Recommended Posts