‘Car free zone’ di bandar Melaka

67248248 2308103876128159 8760172333810843648 n

Saya sekali lagi menyatakan bantahan terhadap inisiatif ‘car free zone’ dalam bandar Melaka yang berlanjutan sehingga 54 jam serta pertukaran arah jalan di kawasan sekitar, termasuk dan khususnya Jalan Bukit Cina.

Apabila pengumuman tentang ‘car free zone’ dibuat pada sekitar bulan Mei 2023, saya pernah menyatakan pendirian tidak setuju tentang cadangan tersebut, atas sebab ketidaksediaan kawasan tersebut dari segi pengangkutan awam dan tempat letak kenderaan yang boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan kesan kepada penutupan jalan. Tambahan pula, laluan yang ditutup merupakan laluan utama yang digunapakai oleh rakyat Melaka setiap hari.

Sepanjang tempoh percubaan ‘car free zone’ yang bermula sejak bulan Ogos, di mana Ahli Parlimen Kota Melaka YB Khoo Poay Tiong dan ADUN Bandar Hilir YB Leng Chau Yen dilibatkan dalam sesi-sesi dialog, beberapa kerisauan telah dibangkitkan, seperti kesesakan jalan, laluan kecemasan ke hospital dan IPD, kesan kepada perniagaan kecil dalam dan sekitar kawasan ‘car free zone’, serta kekeliruan pelancong yang memandu dalam kawasan tersebut.

Kerisauan-kerisauan tersebut dibukti benar apabila tempoh waktu ‘car free zone’ dilanjutkan kepada 54 jam pada minggu lepas. Terdapat perniagaan-perniagaan di sekitar ‘car free zone’ yang mengalami penurunan bisnes sebanyak 90%, atau mereka yang terkurung dalam kesesakan lalu lintas sebanyak 2 jam (biasanya hanya mengambil masa 10 minit).

Saya melihat ‘car free zone’ ini terbuktinya gagal dan kesan buruk yang didatangkan jauh lebih banyak daripada kesan baik yang dihasratkan oleh kerajaan negeri.

Dalam beberapa pentadbiran kerajaan negeri yang lalu, cadangan ‘car free zone’ pernah dibangkitkan, termasuk pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 di mana saya salah seorang ahli EXCO. Walaupun secara dasarnya, kerajaan negeri patut berusaha ke arah ‘car free zone’ sepertimana yang dilaksanakan dalam beberapa negara pelancongan yang lain, namun ia tertakluk kepada cara pelaksaaan dan perlu melihat kepada keadaan semasa lokasi tersebut, seperti sistem pengangkutan awam dan kawasan letak kenderaan. Ini adalah sebab kenapa inisiatif ‘car free zone’ tidak dilaksanakan pada zaman pentadbiran Pakatan Harapan di negeri Melaka, kerana ada aspek lain yang perlu ditambahbaik dulu sebelum ‘car free zone’ boleh dilaksanakan dengan berkesan.

Walaupun kawasan yang terlibat dalam perwujudan ‘car free zone’ dan pertukaran arah jalan bukan dalam kawasan DUN saya, namun saya percaya bahawa inisiatif ini memberi impak kepada sektor pelancongan dan sektor ekonomi dalam negeri Melaka.

Saya menyeru pihak kerajaan negeri dan kerajaan tempatan MBMB agar mempertimbangkan pembatalan inisiatif ‘car free zone’ yang berlanjutan sehingga 54 jam kerana ia memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi, sektor pelancongan dan meningkatkan pembebasan karbon.

Kerk Chee Yee
ADUN Ayer Keroh
Timbalan Speaker DUN Melaka

Recommended Posts