Celiklah diri Akmal Saleh, bukan bertindak sebagai pembakar perpaduan!

459310113 1057679269085463 1291969425314801877 n

Saya ingin memberi respons terhadap kenyataan Muhamad Akmal Saleh, yang mendakwa bahawa pemimpin DAP tidak “beradab” dalam isu berkaitan keperluan pensijilan Halal oleh JAKIM. Ternyata, Muhamad Akmal patut mencermin dirinya dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata yang langsung tidak menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang matang dan bertanggungjawab.

Apakah maksud sebenar “beradab” bagi Muhamad Akmal? Adakah menghina dan menyerang orang lain, khususnya pemimpin yang cuba bersuara bagi pihak kepentingan rakyat, sesuatu yang “beradab”? Perlu diingatkan bahawa adab bukanlah sekadar perkataan kosong yang dilemparkan untuk meraih perhatian politik. Adab sebenar adalah kemampuan untuk mengamalkan keharmonian, bijaksana dalam menyelesaikan masalah, dan tidak bertindak sebagai pembakar perpecahan.

Muhamad Akmal perlu faham bahawa negara kita ini adalah negara majmuk, yang memerlukan lebih banyak persefahaman antara kaum dan agama, bukannya sikap keras kepala yang menutup ruang perbincangan. Sekiranya dia merasakan dirinya begitu “beradab”, maka seharusnya dia mempraktikkan nilai-nilai seperti hormat-menghormati, berbincang dengan rasional, dan bukannya bertindak sebagai api yang menyemarakkan kebencian.

Bukan tempat Muhamad Akmal untuk mengajar sesiapa tentang adab, apabila jelas tindakannya sendiri menunjukkan kurangnya kematangan dalam mengendalikan isu sensitif. Sebelum mengkritik orang lain, dia perlu muhasabah diri dan tanya sama ada dirinya benar-benar menunjukkan contoh teladan yang baik sebagai pemimpin yang “beradab”. Jika sikapnya terus begini, dia hanya akan dikenali sebagai suara sumbang yang cuba mengadu domba dan merosakkan perpaduan.

Saya menyeru agar kita semua tidak termakan dengan politik murah sebegini dan fokus pada isu sebenar yang memerlukan penyelesaian. Malaysia memerlukan pemimpin yang membina jambatan, bukan yang menghancurkan!

Preakas Sampunathan
ADN Kota Kemuning

Recommended Posts