CERAMAH KEBENCIAN PAS/PN DI NENGGIRI – MENUDUH DAP SEBAGAI ‘KAFIR HARBI’

whatsapp image 2024 08 09 at 2.37.32 pm

Pemimpin-pemimpin Melayu DAP mengecam keras kenyataan individu yang dipercayai pengerusi majlis dalam ceramah PAS / Perikatan Nasional untuk kempen Pilihan Raya Kecil Nenggiri malam semalam yang menggelar DAP sebagai “kafir harbi di Malaysia”.

Kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman berkata, istilah ‘kafir harbi’ adalah istilah fiqah klasik yang muncul dalam konteks zaman wujudnya ancaman perang dan bunuh dari negara orang kafir ke atas negara Islam dan halal darahnya untuk diperangi demi mempertahankan kedaulatan diri dan tanah air umat Islam.

“⁠Justeru, kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah PAS di Nenggiri itu adalah sesuatu perbuatan takfiri (mengkafirkan) terhadap ahli-ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima,” tegasnya.

Ceramah tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Anggota Parlimen Bachok daripada PAS Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional Tan Sri Annuar Musa.

Kenyataan bersama itu turut menegaskan bahawa DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan mempunyai keanggotaan daripada pelbagai kaum, termasuk anggota parti yang beragama Islam.

Justeru itu, DAP menuntut individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut memohon maaf kepada semua ahli parti DAP yang beragama Islam yang telah dihukum sebagai kafir oleh beliau.

“Pada masa yang sama, kami menuntut supaya kepimpinan PAS dan Perikatan Nasional menyatakan pendirian mereka sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau individu tersebut.

“Sekiranya tidak, PAS dan Perikatan Nasional turut digesa untuk mengecam kenyataan tersebut,” katanya.

Pihak Perikatan Nasional juga digesa untuk berkempen dengan matang dan sejahtera serta tidak memainkan politik kebencian.

Recommended Posts