GEORGE TOWN, 5 DIS: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kecewa dengan pengumuman Kerajaan Barisan Nasional (BN) Persekutuan dalam Bajet 2013 hanya akan membina 70 unit rumah di Pulau Pinang atau 0.35 peratus daripada 20,454 unit rumah di seluruh negara.
Exco Perancang Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian Negeri, Wong Hon Wai, berkata ini menunjukkan komitmen BN di Pulau Pinang terlalu sedikit dan jelas kenyataan Chua Soi Lek selama ini kosong.
Katanya, sebagai Presiden MCA, Chua sepatutnya menggunakan kedudukannya meminta rakannya, Menteri Perumahan itu supaya membina lebih banyak perumahan di Pulau Pinang.
“Oleh itu, saya mengingatkan Soi Lek supaya tidak lagi membohongi rakyat dengan isu perumahan di Pulau Pinang.
“Sikap kerajaan BN itu berbeza dengan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang memperuntukkan RM500 juta bagi merealisasikan Skim Perumahan Mampu Milik di negeri ini,” katanya.
Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Hitam berkata, menerusi peruntukan itu kerajaan negeri akan membina 18,000 unit rumah mampu milik di kawasan pulau dan tanah besar termasuk Jalan SP Chelliah (George Town), Teluk Kumbar (Daerah Barat Daya), Ampang Jajar (Seberang Perai Utara), Bukit Mertajam (Seberang Perai Tengah) dan Batu Kawan (Seberang Perai Selatan).
Beliau berkata, ini bukti kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi perhatian utama terhadap keperluan rakyat terutama rumah kos rendah dan rumah mampu milik.
“Dalam tempoh antara Ogos 2008 dan Julai 2012, sebanyak 14,702 unit kos rendah dan kos sederhana rendah sudah mendapat sijil layak menduduki yang dikeluarkan MPPP dan MPSP membabitkan 47 projek iaitu di pulau dan tanah besar.
“Kerajaan Negeri memainkan peranan dalam memudahkan pembinaan rumah yang berpatutan seperti projek Desa Nipah (Balik Pulau) iaitu apartmen lima tingkat yang dijula dengan harga RM35, 000 seunit.
“Di Seberang Perai, Taman Sungai Rock BRP adalah rumah bandar yang dijual dengan harga RM38,000 seunit,” katanya.
Hon Wai berkata, dalam tempoh sama kerajaan negeri akan membina 15246 unit kos rendah dan sederhana rendah yang sudah mendapat kebenaran membabitkan 62 projek.
Kerajaan negeri juga membaik pulih rumah yang ditinggalkan BN termasuk 170 unit flat Rifle Range yang terbiar lebih 10 tahun untuk disewa keluarga miskin serendah RM90 sebulan.
Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang juga memberi perhatian memulihkan projek perumahan terbengkalai lebih 10 ketika di bawah pemerintahan BN, termasuk Taman Cemerlang (Bandar Baru Air Itam), Desa Aman (Relau), Fettes Villa (Mount Erskine), Taman Teluk Air Tawar (Seberang Perai Utara) dan Taman Pekatra (Seberang Perai Selantan).
Ini membuktikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah mengotakan janjinya dalam agenda perumahan mampu milik dan akan terus menyediakan rumah yang lebih murah untuk rakyat.-Roketkini.com