Cukai Tarif AS Jejas Teruk Industri Perabot: Tan Hong Pin Seru Kerajaan Segera Bantu Industri Harungi Saat Genting

Susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan cukai tarif setinggi 24% ke atas Malaysia, industri perabot — yang merupakan nadi ekonomi Muar — kini berada dalam krisis. Saya menyeru kerajaan mengambil tindakan konkrit bagi membantu industri ini mengharungi cabaran yang amat getir ini.

 

Amerika Syarikat telah sekian lama menjadi pasaran eksport utama bagi perabot Malaysia, merangkumi 60% daripada jumlah eksport industri ini. Daripada jumlah ini, industri perabot Muar pula menyumbang 60% kepada keseluruhan eksport negara dan menjadikannya tulang belakang ekonomi Muar.

 

Namun sejak empat tahun kebelakangan ini, industri perabot telah melalui waktu yang sangat mencabar. Perang Rusia-Ukraine menyebabkan kuasa beli pengguna di negara pengimport utama merosot, manakala harga barangan dan kos penghantaran meningkat mendadak — kesemuanya menyumbang kepada kesukaran eksport dan peningkatan kos pengeluaran.

 

Kini, belum sempat pulih, industri ini sekali lagi dilanda tamparan hebat. Cukai tarif yang tinggi daripada AS menambahkan lagi ketidaktentuan geopolitik dengan potensi kerugian besar kepada industri perabot negara.

 

Ketika ini, banyak pesanan dari AS digantung atau ditangguhkan untuk menunggu hasil rundingan tarif antara negara. Ini menambahkan ketidaktentuan industri, malah menjejaskan harga saham syarikat perabot tersenarai dari Muar — menunjukkan prospek keuntungan yang semakin suram.

 

Perang tarif ini boleh menyebabkan jualan merosot apabila kos meningkat dan kuasa beli pengguna AS menurun. Ini boleh membawa kepada pengurangan, pembatalan atau pengecilan saiz pesanan.

 

Industri perabot yang menampung lebih 800 buah kilang perabot di Muar serta menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja, kini terancam. Sekiranya isu tarif ini tidak ditangani segera dan sebaik mungkin, kemungkinan besar banyak kilang akan gulung tikar dan ramai pekerja akan kehilangan kerja. Ini adalah senario yang amat membimbangkan.

 

Dalam situasi sukar sebegini, kerajaan bukan sahaja perlu menggunakan saluran rundingan antara kerajaan (G2G) dengan Amerika Syarikat, tetapi juga perlu mengambil pelbagai langkah bagi menyokong kelangsungan dan pembangunan industri perabot tempatan.

 

Antaranya, kerajaan harus meningkatkan peruntukan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) untuk membantu pemain industri menyertai lebih banyak pameran perabot di pasaran baharu.

 

Kerajaan juga perlu mempertimbang langkah seperti pengurangan cukai eksport atau menyediakan skim kredit eksport bagi membuka pasaran baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran sahaja.

 

Selain itu, industri perabot tidak dapat beroperasi sepenuhnya secara automatik dan masih sangat bergantung kepada tenaga buruh.  Kerajaan harus menambah baik prosedur permohonan pekerja asing dengan mengurangkan kerenah birokrasi, serta mewujudkan ladang penanaman kayu khas untuk industri ini bagi menjamin kestabilan rantaian bekalan bahan mentah.

 

Krisis ini juga boleh menjadi peluang. Kini tibalah masa untuk kerajaan dan penggiat industri perabot bersama merangka Pelan Induk Pembangunan Industri Perabot 10 Tahun, serta satu pelan tindakan menyeluruh yang meliputi dasar mesra pekerja asing, penanaman bahan mentah, dan insentif eksport — demi memastikan industri perabot negara terus bertahan dan berkembang di tengah cabaran global.

Tan Hong Pin

Ahli Parlimen Bakri

Recommended Posts