Dalam DAP, tiada beza antara kita sebagai manusia

Haji Azhari bin Ismail merupakan seorang veteran DAP, mempunyai lulusan Pengajian Syariah dan pernah bertanding menentang bekas Menteri Kesihatan MCA Datuk Chua Jui Meng pada PRU 2004 di Parlimen Bakri, Johor. Kini beliau bergiat aktif membantu warga bandaraya di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit Bintang. Ikutilah pengalaman suka duka beliau dalam wawancara bersama wartawan Roketkini Fairuz Azhan.

Boleh saudara ceritakan sedikit sebanyak latar belakang peribadi dan politik saudara?

Nama penuh saya Haji Azhari bin Ismail, lahir di Muar, Johor pada 1952. Saya merupakan anak sulung kepada Ismail bin Dato` Abdullah yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa PAP Cawangan Muar pada tahun 1964-65. Saya baru sahaja menamatkan kursus Diploma Eksekutif Pengajian Syariah di Universiti Malaya.

Minat saya dalam politik bermula di bangku sekolah. Keluarga saya merupakan keturunan Dato Onn Jaafar. Dan segala impian Dato Onn tercurah kepada keluarga kami. Aspirasi Dato Onn pada ketika itu adalah untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang berbilang kaum. Tetapi idea tersebut telah ditentang oleh UMNO.

Yang menyebabkan saya memilih DAP adalah dua perkara. Yang pertama, ketika saya menetap di Seremban dulu, (pengasas DAP) Dr Chen Man Hin telah berkempen di rumah saya. Itulah yang menyebabkan saya tercenderung kerana beliau telah berkempen di setiap rumah orang Melayu. Ini amat berbeza dengan BN. BN tidak berkempen rumah ke rumah. Dan apabila Dr. Chen menyatakan aspirasinya di rumah saya, saya amat tertarik kepada DAP.

Yang kedua, saya bertambah tertarik apabila saya menemui YB Lim Kit Siang yang baru sahaja dibicarakan di bawah Akta Hasutan.

Saya mula menyertai bidang politik ini apabila saya terlihat satu iklan di akhbar yang mengiklankan jawatan Setiausaha Politik kepada Lee Lam Thye (bekas Ahli Parlimen DAP yang kini menjadi penggiat masyarakat bergelar Tan Sri). Saya pun memohon dan pergi ke interviu. Antara tugas yang diberikan semasa interviu tersebut ialah saya diminta menterjemah kenyataan-kenyataan media beliau secara ‘on the spot’. Saya ingat saya tak kan dapat kerja tersebut kerana orang lain yang turut berebut pekerjaan tersebut merupakan graduan-graduan. Tapi tidak lama selepas itu saya telah mendapat panggilan telefon di mana beliau telah menawarkan saya pekerjaan tersebut.

Dari situlah bermulanya penglibatan dan pembelajaran saya dalam bidang politik dan DAP. Malangnya beliau telah keluar dari parti dan bersara pada tahun 1990. Selepas itu saya berkerja dengan Fong Kui Lun. Walau pun Tan Sri Lee Lam Thye pernah memberi tawaran berkerja kembali dengan beliau di luar dunia politik, atas minat dan semangat saya dalam politik saya memilih berkerja dengan Fong Kui Lun. Dan pada waktu itu Fong menjadi MP untuk Kuala Lumpur-Bandar (kini Bukit Bintang). Saya pun tak tahu apa yang saya buat, tapi orang selalu menegur saya mengucapkan terima kasih kepada saya kerana membantu mereka.  Itu antara pengalaman positif.

Pengalaman negatif pula, orang selalu tanya kepada saya, mengapa awak ‘dedicate’ hidup awak dalam DAP? Pilih la parti lain. Tapi tak boleh. Saya telah menyertai sebuah parti yang sesuai dengan jiwa saya. Saya dalam DAP ini tiada jawatan penting. Saya di Wilayah Persekutuan hanya sekadar Penolong Setiausaha DAP Kuala Lumpur. Pernah juga menjadi Naib Pengerusi Wilayah, tapi jawatan semua ini saya tak minat.

Mengapa saudara memilih DAP sebagai wadah perjuangan? Apa istimewanya DAP?

Walau pun DAP ini orang kata cauvinis Cina, perkauman dan sebagainya, orang lupa bahawa UMNO itu hanya untuk orang Melayu, tiada kaum-kaum lain. DAP bersifat semua kaum dan semua kaum diperjuangkan. Tapi suara orang Melayu dalam DAP tidak kedengaran kerana tiada atau kurang orang Melayu dalam DAP. Apabila kita bawakan hal-ehwal Islam di Parlimen, kerajaan tidak menjawab. Contohnya isu tanah wakaf Kuala Lumpur. Soalan tersebut, paling belakang sekali dalam senarai soalan. Saya memang suka dengan DAP kerana ia parti yang memperjuangkan semua orang, semua kaum. Semua orang sama-rata dalam DAP, maksudnya, tiada apa beza antara kita sebagai manusia.

Semua orang berhak, namun semua orang kena sama-sama berkerja. Selepas Lee Lam Thye bersara dulu, ramai orang cuba memujuk saya menyertai UMNO, tapi saya tak nak. Saya bahagia di DAP, bukan pendapatan yang kita kejar tetapi kepuasan membantu orang ramai. Yang datang berjumpa dengan kita adalah orang yang ‘desperate’ dengan UMNO-BN itu sendiri.

Bila ambil gambar masuk surat khabar, itu cara BN menolong. Namun, bila masalah sebenar mereka tidak dapat diselesaikan, mereka datang ke kita dan kita sedia membantu mereka. Itu yang sepatutnya saya kira. Kalau nak tolong orang, tolonglah sampai berjaya. Jika tidak berjaya pun, buat yang terbaik untuk menolong orang.

Di DAP saya tidak nampak langsung bagaimana mereka membezakan kaum mereka menolong semua orang tanpa melihat warna kulit dan saya serasi dengan perjuangan sedemikian.

Saudara boleh dianggap veteran Melayu dalam DAP. Pada pengamatan saudara, bagaimana penerimaan orang Melayu terhadap DAP dari tempoh saudara terlibat dalam DAP sehingga hari ini?

Bila saya mula masuk dulu, memang saya dikutuk habis-habisan. Apalah join DAP, parti Cina, pengkhianat bangsa, macam-macam orang tomah saya. Sehinggakan apabila saya menentang Datuk Chua Jui Meng di Bakri, orang Melayu memaki saya, “Apalah engkau ini menolong Cina! Kenapa engkau tak tolong Melayu?”. Saya amat harian, bukankah lawan saya orang Cina BN? Apa bezanya? Sampai kan keluarga saya pun tak mahu pangkah saya, tapi tidak mengapa, itu hak masing-masing.

Pada pendapat saudara, perlukah DAP mendekatkan diri kepada masyarakat Melayu?

Pada pandangan saya, DAP harus menjadi sebuah parti yang baik. Ia harus menjadi parti yang baik dan bersih dan secara semula jadi orang Melayu akan tertarik. Dari dulu sampai sekarang, ada sahaja orang Melayu yang menyertai parti, malah zaman bila saya mula masuk memang orang Melayu beratur untuk menyertai DAP. Namun mana mereka pada hari ini? Ramai masuk kerana ada kepentingan. Nak lesen, nak pertolongan, nak itu, nak ini, tapi dalam DAP tiada semua ini.

Yang ada di DAP hanyalah perjuangan. Kerja keras, bantu rakyat, itu sahaja. Kalau nak berniaga, nak harta, bukan di sini. Yang tak dapat bertanding, lari, tak dapat lesen, cabut, Tapi bukan hanya parti kita saja yang mengalami masalah ini. Masalah ini kita lihat di mana-mana seluruh negara pun ada.

Jadi tugas kita di DAP adalah untuk menjadi sebuah parti yang baik dan mempunyai idealisma yang baik yang boleh menyebabkan semua orang tertarik. Contohnya, pergi ke DAP, masalah selesai. Pergi DAP, boleh dapat bantuan.

Semasa Persidangan Kebangsaan DAP 2012 baru-baru ini, saya nak naik ke pentas tapi tak sempat. Saya ingin mengetengahkan isu masalah sekolah agama. Kini kerajaan bagi token RM100 pada pelajar sekolah dan RM200 untuk pelajar universiti.

Namun apakah bantuan untuk sekolah agama? Mereka kena bayar yuran, buku teks, pakaian dekat RM200-300. Sekolah Agama ni, sekolah kerajaan juga. Bagilah sesuatu untuk mereka juga. Sekurang-kurangnya pengecualian yuran. Sebab apa, sekolah agama di KL ditadbir oleh Majilis Agama Islam. Dan wang zakat Majlis Agama Islam adalah RM280 juta. Mana duit itu pergi? Mereka ini bukankah asnaf?

Bukannya kita di DAP tidak boleh berkempen untuk orang Melayu, boleh. Tapi kita kena menjelaskan konsep parti, Malaysian Malaysia yang dibawa, apa yang parti dah capai, apa parti akan bawa. Kita kena jelaskan kepada mereka, dan terpulanglah kepada mereka.

Contohnya CAT (cekap, akauntabel, telus). Jika kita berjaya, ia adalah satu ‘catalyst’. Orang Melayu dah nampak dan mula berfikir. Boleh ke Lim Guan Eng membawa kemakmuran kepada semua orang di Pulau Pinang? Pendapatan bertambah, tiada rasuah, yang susah dibantu, kemiskinan tegar dihapuskan. Perkara-pekara seperti inilah yang dilihat.

Di sini pendidikan politik sangat penting. Kita harus mendidik rakyat dengan hal perihal negara. Mungkin kursus ekonomi, diskusi tentang dasar dan sebagainya. Jadi bila para Yang Berhormat berdebat di Parlimen, orang ramai faham dan tahu apa pendirian dan perjuangan DAP.

Malah dulu terdapat ramai tokoh Melayu ‘hardcore’ dalam DAP. Ahmad Ton, Zulkifli Mat Noor, Ibrahim Singgeh, dan sebagainya tapi pada hari ini, kurang penyambung perjuangan mereka. Bagi saya, apa perjuangan yang betul saya ikut. Kalau kita berkerja dan membantu orang, saya ikhlas. Tawaran nak jadi calon ke, apa ke, itu nombor dua.

Baru-baru ini, dua veteran UMNO telah menyertai DAP iaitu Aspan Alias dan Datuk Ariff Mohd Sabri. Sebagai seorang veteran DAP, apa komen saudara tentang kemasukan mereka berdua?

Ia amat baik dan saya mengalu-alukan mereka. Kemasukan orang Melayu dalam DAP janganlah disekat. Siapa nak masuk, kita kena buka pintu. Syaratnya, mereka kena ikut perjuangan, konsep, dan peraturan DAP. Mereka juga kena merasa asam garam menjadi ahli DAP, turun padang, jumpa pengundi, dan sebagainya. Mereka ini ahli politik yang veteran dari kem yang lain. Dan suasana dan pengalamannya berbeza. Inilah budaya DAP dan mereka harus tahan dan pertahan budaya DAP.

Yang pertama, konsep kita adalah konsep suka rela. Kerjanya penat tiada imbuhan atau bayaran, semuanya sukarela. Mungkin di kem lagi satu budayanya berbeza, mungkin ada wang, imbuhan dan sebagainya. Itu harus difahami, bahawa konsep kita di DAP segalanya adalah atas kesukarelaan.

Nanti bila tak dapat peluang dan sebagainya, nak cabut, itu susahlah. Tapi jika nak perjuangkan kesamarataan, bangsa Malaysia, kita amat mengalu-alukan mereka. Malah kita mengalukan sesiapa sahaja, tidak kira pangkat, kerja ke, pelajar ke. Lagi ramai dalam perjuangan kita lagi baik.

Sebenarnya, apabila lebih ramai orang Melayu menyertai DAP, wajah DAP itu akan bertukar. Dah tiada lagi dah wajah keCinaan dan menjadi keMalaysiaan. Kita lihat sahaja pada Persidangan DAP baru-baru ini saya tak pernah terbayang Kadazan, Iban, Murut, semuanya boleh datang. Ini mencerminkan Malaysian Malaysia DAP.

Namun atas kertas, mereka tergolong sebagai bangsa “lain-lain”. Apa ini? Sedangkan mereka juga rakyat dan warga negara. Hidup mereka bagaikan di zaman James Brooke, sangat daif sedang Sarawak sebuah negeri yang amat makmur.

Bila kita masuk persidangan UMNO, kita tak mungkin jumpa semua ini. Balik-balik cerita hak istimewa Melayu, hak istimewa Melayu. Tapi saya sebagai orang Melayu pun tak dapat rasa apa-apa. Lesen ke, peluang ke, kontrak ke…Bila minta secara sah tak pernah dapat sebab saya dicop ahli DAP. Kalau nak bagi, bagilah sama adil. Ini UMNOputra aje yang dapat. Nak kontrak besar kena jadi ahli UMNO. Mana boleh macam tu. Kita mahukan keadilan dan kesamarataan.

Bolehkah saudara ceritakan sedikit pengalaman semasa bertanding di Parlimen Bakri dalam PRU 2004  dahulu?

Waktu tersebut, saya telah tewas kerana undi orang Melayu. Di kampung saya 95 peratus orang telah mengundi saya. Seteru saya Datuk Chua Jui Meng memang sebelum ini tidak pernah melawati kawasan tersebut mahu pun turun padang. Namun bila mengetahui lawannya ialah saya, orang Muar, beliau terus datang. Barulah beliau mengambil kisah tentang rakyat disini. Barulah ada jalan, projek sana sini dan sebagainya.

Orang jumpa saya dan berkata, “Tuan Haji, baru sekarang Datuk Chua turun padang dan memberi bantuan. Selama ini tidak pernah datang.” Saya balas, “Alhamdulillah-lah. Disebabkan saya bertanding, orang kampung dapat rasa bantuan dan pembangunan.” Tapi masa tu sokongan rakyat terhadap BN memang kuat, tidak macam sekarang, faktor Anwar, pekauman melampau, orang Melayu fed-up dengan UMNO, dan kita berharap ombak kesedaran ini akan terus kekal menjelang PRU 13 nanti.

Bagi saya, saya ikhlas, sebelum solat Subuh saya niatkan dalam hati macam mana nak bantu orang hari ini. Bila kita berdoa, niat kita baik, Allah akan mempermudahkan. Orang berjumpa kita minta sedekah, orang nak minta wang kerana tidak boleh makan, tersadai di PuduRaya semuanya datang ke sini (Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Bukit Bintang).

Di KL tiada Ketua Kampung, tiada JKK, orang yang susah semua datang ke kita. Kalau hantar surat ke Haji Azhari, DAP KL, surat mesti sampai walau pun tiada alamat penuh. Saya tanya posmen, macam tahu? Dia kata semua orang tahu, itu yang kita pelik tu. Ini lebih besar dari PM! (ketawa)

Yang penting niat dan cara kita. Dan saya lihat wadah DAP ini saya lihat tiada masalah bagi saya. Tak pernah ahli DAP kata, “Azhari, mari kita makan babi, mari kita minum ke”, tak ada dan tak pernah. Bila saya ikut mereka dan tiba waktu solat, mereka kata, “Eh, Azhari, dah tiba waktu solat, mana mahu berhenti? Di masjid mana? Tak pe, kita tunggu”. Bila makan bungkus, mereka mencari makanan yang halal untuk saya. Mereka sentiasa hormat kepercayaan saya dan menjaga saya. Untuk parti-parti lain di sana, saya tak tahulah macam mana pula.

Bagaimana kita boleh mengubah persepsi negatif ciptaan UMNO-BN terhadap DAP  dan menyatakan kebenaran secara jelas dan berkesan?

Ini semua peranan media. Inilah permainan kotor media UMNO sejak saya dibangku sekolah. DAP dihentam sana-sini, dipersalahkan kerana 13 Mei dan sebagainya. Saya anggap semua itu positif. Asakan daripada media cetak, elektronik, ucapan pemimpin yang mengatakan DAP anti-Islam, pro-Kristian dan sebagainya.

Kita nak lawan media mereka macam mana? Memang tak boleh dan amat sukar. Tapi Alhamdulillah kita sekarang ada internet. Dan segala peluang yang kita ada, meski pun sedikit, biarlah sekadar ucapan sekali pun, kita mesti menceritakan kebaikan DAP. Itu sahaja cara kita, kalau nak lawan media mereka memang tak boleh lawan. Jika mereka tak tomah kita, macam mana mereka nak menang?

Bagi saya, saya tak terkesan, biarlah mereka nak kata apa pun. Saya dah macam lali. Asalkan solat saya tunaikan, Ramadhan saya puasa, kebaikan saya buat, orang minta tolong saya tolong, maka saya tak terjejas apa pun dengan tomahan dan fitnah mereka. Ini semua perang saraf.

Oleh itu kita pun kena tingkatkan lebih-lebih lagi pilihan raya yang nak datang ni. Macam-macam cerita keluar. Hari tu (Timbalan Presiden UMNO) Tan Sri Muhyiddin Yassin belasah saya dalam Persidangan UMNO sebagai ‘si Melayu DAP yang malang’.

Dia kenal saya sebab kami sama-sama orang Muar. Tak pe lah jika beliau nak kata saya, biarlah saya tidak menjadi wakil rakyat, asalkan saya dapat membantu orang ramai. Tak pe lah pejabat kami buruk, tiada minuman atau pun makanan, tapi kita senang berkhidmat untuk orang. Daripada bangunan tinggi-tinggi, rasuah, buat kerja bukan-bukan, ini semua tidak guna.

Bagaimana persiapan DAP dan Pakatan Rakyat untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur?

Sebagai AJK saya rasa kini ia amat lancar, kita sudah pun mengurus pembahagian kerusi dan persiapan logistik sedang dijalankan. Bila tiba musim pilihan raya ni, semuanya bertambah cergaslah. Kita bukan sahaja dua kali ganda lagi kuat berkerja, malah tiga, empat kali ganda lebih kuat berkerja. Dan waktu itulah macam-macam orang akan datang. Tak tahulah spy ke, apa ke, ada-ada saja.

Pada 2008, kita sendiri tak sangka kemenangan kita. Waktu itu saya menjaga Bukit Bintang, saya tak bertanding, saya menjaga undi pos tentera dan askar. Undi pos pun banyak menyebelahi kita. Di kawasan ini terdapat 5,000 undi pos, macam mana DAP boleh menang ini? Seteru kami menepuk dahi, macam manalah DAP boleh menang dan dapat undi pos yang besar? Itu yang mereka buat bantahan di mahkamah, tapi mereka kalah.

Berdasarkan pengalaman saudara di Wilayah Persekutuan, apakah yang diinginkan oleh warga Kuala Lumpur?

Pada hemat saya, warga KL lebih cenderung kepada PR berbanding BN. Ini kerana saya lihat kebanyakan mereka mempunyai fikiran yang anti-establishment. Saya lihat parti-parti BN seperti MCA, Gerakan, perlu kerja lebih kuat di kawasan ini macam mana DAP harus kerja lebih kuat di kawasan majoriti Melayu. Juga yang saya lihat sokongan masyarakat Cina terhadap dua parti tersebut dan BN semakin merosot dan mereka hanya positif terhadap DAP sahaja. Jika DAP tiada di sini, mereka akan mencari parti alternatif yang boleh menyuarakan pendapat mereka. Oleh itu kita dapati DAP berada di tempat yang betul.

Masalahnya di luar bandar, letak apa pun mereka akan cenderung kepada BN. Memang payah nak ubah. Oleh itu kini Johor dianggap frontline state. Macam mana kita nak ubah tu? Nak ubah dalam sekelip mata memang tak boleh. Oleh itu pendidikan politik amat penting. Jika dulu PAS dengan DAP dilihat tidak ngam, tapi lama kelamaan, kita boleh berkerjasama. Mungkin dengan lebih banyak pendedahan dan pendidikan politik, masyarakat luar bandar akan lebih terima perjuangan kita.

Apa pesanan yang ingin disampaikan saudara kepada warga kota?

Negeri-negeri lain di Malaysia, semua ada peruntukan. Walau pun kita sudah menjadi wakil rakyat di sini berpuluh-puluh tahun, kita di Kuala Lumpur tidak pernah mendapat peruntukan. Sedangkan memang ada peruntukan untuk kita dari kerajaan pusat. Walau pun ada peruntukan, mereka hanya salurkan peruntukan tersebut kepada calon mereka dan parti mereka.

Contohnya di sini, Ketua Bahagian MCA yang mengambil duit yang sepatutnya milik kita. Saya difahamkan hampir RM500 juta. Duit inilah yang kita patut salurkan kepada rakyat, dan pembangunan kecil. Contohnya surau, bila mereka minta peruntukan tak dapat. Tapi bila kita tulis surat kepada Bahagian Pembangunan Wilayah, barulah disaluarkan. Terpaksalah buat baik dengan Menteri Wilayah Persekutuan. Yang minta pun orang Islam lantas dia pun bagi.  Tapi kita tak gembar-gemburkan segala apa yang kita buat.

Apa yang warga KL mahukan ialah sebuah kerajaan tempatan yang dipilih, Datuk Bandar yang dipilih oleh rakyat. Rakyat KL sudah lama inginkan ini dan ia sudah lama diperjuangkan. Tapi kerajaan pusat BN tak kan bersetuju kerana ia menjejaskan kepentingan politik mereka.

Rakyat Kuala Lumpur bagi saya sudah tahu kebolehan dan budaya kerja kita di DAP. Jumlah orang meminta tolong kita ramai. Orang pergi ke pusat khidmat BN dan tak dibantu, akan mencari kita. Jadi rakyat tahulah. Kita nak cakap lebih pun tak boleh.

Pesan saya kepada orang Melayu ialah janganlah takut untuk menyertai atau mengundi DAP. Segala tomahan jahat BN terhadap DAP adalah palsu belaka. Bukannya masuk DAP ni mereka akan kafirkan kita, tidak sama sekali. Namun demikian, kita kena jagalah amalan kita sebagai orang Islam.

DAP ialah wadah yang baik untuk perjuangan politik. Walau pun kononnya BN memperjuangkan semua kaum MCA, MIC dan sebagainya, tapi kita di DAP tidak berpecah belah kerana kita merupakan satu parti. Itu yang bagusnya kita. Di sini semua peringkat kemimpinan boleh menghadiri kongres kita. Tidak ada beza bahagian mahu pun cawangan. Kami di DAP semuanya sama. Semua orang mempunyai peluangan dan pendedahan yang sama rata. Itu yang menarik bagi saya di DAP.

Akhir sekali jika terdapat apa-apa keraguan orang Islam atau pun fitnah pihak BN, saya sendiri telah bertanya kepada Datuk Mufti Wilayah Persekutuan, apakah hukum bagi orang Islam macam saya ini menjadi ahli DAP dan berkerja dengan DAP – beliau menjawab bahawa ia adalah harus.

Oleh itu, DAP sentiasa mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja dalam parti, tapi apa yang penting mereka memahami agenda perjuangan kita, bukan untuk mendapat pangkat atau harta yang banyak. – Roketkini.com

Recommended Posts