
Kerajaan Madani sekali lagi membuktikan keseriusannya dalam mengangkat martabat modal insan negara. Terbaru, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengumumkan bahawa mulai 1 September, majikan boleh memanfaatkan sehingga RM2 bilion daripada dana levi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD) untuk menggajikan siswazah Malaysia.
Langkah ini bukan sekadar pemberian sempena Hari Kebangsaan, tetapi simbol tekad kerajaan memastikan anak muda yang berkelulusan universiti dan TVET mendapat peluang kerja dengan gaji yang bermaruah.
Tidak lagi sekadar mengisi kekosongan jawatan dengan bayaran minima, tetapi mewujudkan ruang pekerjaan yang benar-benar memberi nilai tambah kepada tenaga kerja muda negara.
Steven Sim menyatakan dengan jelas visi ini: “Anda kini boleh menggunakan wang levi anda untuk membayar gaji pekerja sekiranya mereka siswazah universiti atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Melalui cara ini, kita bukan sahaja membantu majikan meningkatkan aliran tunai, malah memberi premium lebih tinggi kepada modal insan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji lebih baik, serta menyediakan latihan sambil bekerja kepada siswazah.”
Dalam konteks ekonomi pasca-pandemik, pendekatan ini cukup signifikan. Ia memberikan kelegaan kepada majikan yang bergelut dengan kos operasi, sambil memastikan graduan tidak terpinggir dengan status pengangguran yang merugikan negara.
Inisiatif ini wajar dipandang sebagai strategi dua hala: menyokong kelangsungan perniagaan dan dalam masa yang sama menanam keyakinan kepada generasi muda bahawa ijazah atau sijil TVET mereka dihargai.
Inilah bentuk reformasi tenaga kerja yang perlu dipacu ke depan, bukan sekadar peluang kerja, tetapi pekerjaan dengan gaji bermaruah dan masa depan yang terjamin.