DAP buat laporan polis terhadap Muhyiddin Yassin

laporanpolis 2SEGAMBUT, 2 OGOS: DAP hari ini membuat laporan di Balai Polis Jinjang berikutan kenyataan berunsur hasutan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Laporan itu dibuat Pembantu Khas Ahli Parlimen DAP Segambut, Yew Jia Haur bersama jawatankuasa DAP cawangan Taman Segambut.

Beliau menegaskan polis harus melakukan siasatan terhadap Muhyiddin kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian agama.

“Laporan polis itu dibuat untuk menggesa Muhyiddin disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

“Walaupun kita kurang optimis polis akan menyiasat terhadap Muhyiddin tapi sekarang kes ini sudah dibuka, jadi kita harap polis akan menjalankan tugas mereka,” katanya yang juga Ketua DAP Cawangan Taman Segambut pada sidang media selepas membuat laporan polis.

Laporan itu dibuat berdasarkan kenyataan Muhyiddin pada 31 Julai lalu yang menyatakan ‘umat Islam tidak menghina agama bukan Islam seperti Kristian dan Hindu, tetapi orang bukan Islam menghina agama kita’.

Kenyataan Muhyiddin dibuat sebagai respon kepada klip video Maznah Mohd Yusof, yang digambarkan menyambut Aildilfitri bersama tiga anjing peliharaannya.

Menurut Jia Haur, pihak polis mestilah berlaku adil dan tidak boleh memilih bulu untuk segera melakukan siasatan.

“Jika Maznah yang didakwa menghina agama terus disiasat, tindakan yang sama juga perlu dilakukan terhadap Muhyiddin mengikut akta yang sama.

“Kenyataan Muhyiddin itu bukan saja berbaur hasutan, malah merupakan serangan terhadap penganut agama lain di Malaysia, jadi tidak ada sebab mengapa beliau tidak boleh disiasat.

laporanpolisJia Haur juga menegaskan kenyataan Muhyiddin itu juga mengelirukan kerana menyamakan Maznah dengan apa yang dilakukan Alvin Tan dan Vivian Lee sebelum ini.

Muhyiddin juga seolah-olah tidak tahu bahawa Maznah adalah seorang Muslim.

Ketua DAPSY Kepong, Ng Wei Kong menambah, kata-kata sedemikian tidak seharusnya dikeluarkan oleh orang yang berkedudukan tinggi dalam kepimpinan negara.

“Beliau perlu mewujudkan keharmonian dengan menjadi pemimpin untuk semua, bukannya membuat kenyataan seperti itu dan harus berfikir daripada perspektif Malaysia, bukan hanya perspektif Islam semata,” ujarnya. -Roketkini.com

Recommended Posts