
1. Ada yang tidak senang dengan pemilihan sahabat saya Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman sebagai ahli CEC DAP. Sejak keputusan diumum lewat petang 16 Mac lalu, banyak kecaman liar dilemparkan khususnya di media sosial. Ada yang tuduh kafir, murtad dan sebagainya.
2. Contoh komen secara ‘anonymous’ dan tidak menggunakan nama sebenar menulis;
“Dua Melayu ini sudah terkeluar dari Islam.. sudah murtad, sudah jadi kafir sebab angkat si kafir jadi pemimpin..”
3. Selain itu ‘Park Damm’ pula menulis;
“Dia nie.. aku rasa nnt mati.. sapa nak kapan dia?? Aku bukan sembang pasai agama.. tp tgk cara dia kluaq dari agama.. mntk2 dua bertaubat. Sblm mati..”
4. Masa saya sertai DAP lebih kurang 10 tahun dulu, perkara yang sama berlaku. Saya fikir tohmahan sebegini sudah berhenti. Rupa-rupanya tidak.
5. Saya tegaskan bahawa, menyertai DAP TIADA KAITAN DENGAN IKTIKAD KEISLAMAN seseorang! DAP adalah sebuah wadah politik. Kenderaan politik. DAP merupakan parti berdaftar bawah ROS dan bergerak secara sah mengikut lunas undang-undang.
6. DAP BUKAN AGAMA. Masuk DAP bukan bermaksud keluar dari Islam untuk menganut agama lain! Mereka yang tuduh menyertai DAP sebagai terkeluar dari Islam, ada dua kemungkinan; Pertama samada mereka JAHIL atau kedua mereka berfikrah EKSTRIMIS.
7. Menuduh seseorang muslim sebagai ‘kafir’ merupakan amalan takfiri. Ia sama seperti perangai golongan Khawarij. Dalam sejarah, golongan Khawarij telah menghalalkan darah orang Islam yang tak sealiran dengan mereka. Kesannya, berlaku pembunuhan dan umat Islam berpecah. Ini sangat bahaya.
8. Islam melarang amalan takfiri. Nabi SAW bersabda;
“Jika seseorang berkata kepada saudaranya, ‘Wahai kafir!’, maka salah seorang dari mereka pasti akan terkena tuduhan tersebut. Jika yang dituduh benar-benar kafir, maka tuduhan itu benar. Tetapi jika tidak, maka tuduhan itu kembali kepada si penuduh.” – Bukhari
9. Pada masa sama, saya juga MESTI TEGASKAN sekali lagi. DAP bergerak mengikut Perlembagaan negara. DAP MENGIKTIRAF ISLAM sebagai agama rasmi Persekutuan sepertimana termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
10. Oleh itu saya menyeru pada semua, berhentilah menuduh KAFIR dan MURTAD keatas muslim yang menyertai DAP.
Sheikh Omar Ali
Naib Pengerusi DAP Johor