SPAD perlu tingkatkan perkhidmatan bas untuk sokong MRT

PETALING JAYA, 1 APR: Tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenepikan penambahbaikan perkhidmatan bas dibimbangi akan menggagalkan usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran mempersoalkan tindakan tersebut kerana menurutnya SPAD lebih memberi tumpuan terhadap pembangunan pengangkutan berlandasan di Lembah Klang, tapi tidak menjawab pelbagai persoalan mengenai penambahbaikan laluan bas terutama pengantara pengangkutan itu ke perkhidmatan rel.

Menurut Rajiv, “Angka semasa 1500 bas yang menghubungkan Lembah Klang adalah jauh lebih rendah berbanding negara kecil, Singapura yang mempunyai 3200 buah bas dan London, bandar yang mempunyai keluasan sama, yang mempunyai 7500 buah bas.

“SPAD seharusnya memulakan satu langkah agresif dari sekarang untuk meningkatkan jumlah bas jika benar mereka ingin mencapai misi meningkatkan pengangkutan awam secara serius,” katanya dalam kenyataan semalam.

Penolong Setiausaha DAPSY Kebangsaan itu menegaskan, beliau tidak menafikan pembinaan MRT merupakan langkah yang baik, namun ia akan menjadi lebih cekap dengan kehadiran bas pengantara sebagai penghubung.

“RM1 bilion sudah cukup untuk menyediakan tambahan 2000 unit bas pengantara, yang tentunya akan lebih memudahkan penggunaan MRT kelak di antara satu stesen ke stesen lain,” ujarnya. – Roketkini.com

Recommended Posts