
KUALA LUMPUR, 19 JUN: DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan Dewan Rakyat yang sekali lagi menggantung Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran hanya kerana mengkritik tindakan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang sering menolak usul yang dibawa Pakatan Rakyat.
Setiausaha Agung Lim Guan Eng menyifatkan Barisan Nasional menyalahgunakan majoriti yang dimiliki mereka dalam Dewan Rakyat untuk menafikan proses demokrasi dalam Parlimen.
“Mereka guna kuasa majoriti untuk menidakkan demokrasi dengan (bersetuju dengan usul) penggantungan Surendran.
“Ini adalah suatu yang sangat mengecewakan. Kita perlu ada toleransi, mesti beri peluang kepada semua pihak untuk berbahas,” kata Ahli Parlimen Bagan itu lagi dalam sidang media tadi.
Pagi tadi, timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee meluluskan usul yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim itu tanpa perbahasan, walau pun ia pada mulanya dibuka untuk dibahaskan.
Surendran dalam sidang media di sini Isnin lalu mengkritik Speaker kerana bersikap ‘authoritarian’ dengan tidak memberi ruang secukupnya kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Surendran baru sahaja kembali ke Parlimen Isnin lalu, selepas dijatuhkan hukuman sama pada 14 November 2013.
Penggantungan pertama ke atas Surendran berpunca daripada kritikannya terhadap Pandikar apabila diusir daripada Dewan Rakyat selepas usul tergemparnya berhubung perobohan kuil di Jalan P Ramlee ditolak.
Mengulas hukuman itu, Surendran berkata ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk memperjuangkan pembaharuan dalam Parlimen.
“Isu pokoknya adalah reformasi parlimen. Saya akan teruskan isu ini di dalam mahu pun di luar (parlimen). Saya akan kembali enam bulan lagi dan teruskan,” katanya kepada wartawan.
Tindakan itu sama sekali berbeza dengan apa yang berlaku di Dewan undangan Negeri Selangor, yang baru sahaja meluluskan usul dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Umno, iaitu Datuk Amiruddin Setro (Jeram) dan Kamarol Zaki Abdul Malik (Sungai Air Tawar) baru-baru ini. – Roketkini.com



