DAP kecam kepala babi kedua di masjid, kesal MCA bela Perkasa

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengecam perbuatan meletak kepala babi di pintu masuk Masjid Al Hidayah di Sentul, kali kedua selepas yang pertama dilakukan di masjid di Rawang.

Beliau mengutuk dan mengecam hebat tindakan kurang ajar itu yang jelas bertentangan dengan sifat kemasyarakatan Malaysia.

“Kita tidak boleh menerima atau bertolak ansur dengan penghinaan mana-mana tempat beribadat. Masjid, kuil dan gereja merupakan tempat untuk beribadat dan berlindung, dan tidak patut dinoda dengan semberono,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, kedua-dua kejadian minggu lalu adalah tindakan pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman, agama dan politik di kalangan rakyat menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Rakyat Malaysia yang mahukan keamanan akan menolak tindakan yang jahat ini.

“Kami menggesa supaya pihak berkuasa terutamanya pihak polis akan menyiasat dengan segera dan berharap agar sesiapa yang bertanggungjawab akan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” tambah beliau.

Sementara itu, Guan Eng melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek enggan berbuat apa-apa terhadap pemimpin dan ahli MCA yang menyertai majlis-majlis anjuran Perkasa.

“Membenarkan ahli dan penyokong MCA menyertai acara-acara Perkasa bukan sahaja membuktikan hubungan MCA dengan Perkasa tetapi juga menunjukkan MCA mengiktiraf Perkasa…walau pun perjuangan Perkasa bersifat perkauman dan ekstrem menentang kaum bukan Islam dan bukan Melayu.

“Adakah MCA dan Chua sangat takut dengan Perkasa sehingga tidak berani menghalang ahli-ahli parti mereka daripada menyertai acara-acara Perkasa?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkasa telah beberapa kali memberi mengecam dan amaran keras terhadap MCA supaya jangan campur tangan dalam soal hukum hudud, pemberian biasiswa dan beberapa isu yang dianggap hak milik Melayu tanpa mempedulikan sensitiviti masyarakat Malaysia.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, apa yang lebih mengejutkan ialah Chua selaku pemimpin MCA telah mempertahankan Perkasa yang memberi ang pau dalam paket warna putih, yang dianggap sial oleh masyarakat Cina, dalam majlis tahun baru Cina anjuran Perkasa baru-baru ini.

Menurutnya, Datuk Ibrahim Ali telah pun dinasihatkan supaya jangan memberi paket ang pau putih oleh bekas pengerusi MCA Cawangan Sri Desa Dr Colin Tiew tetapi tidak dipedulikan oleh pemimpin Perkasa itu.

“Jelas Perkasa sengaja tidak mahu mempedulikan sensitiviti masyarakat Cina dengan memberi ang pau putih.

“Perkasa berani berbuat demikian kerana yakin mereka mendapat pembelaan daripada UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya. – Roketkini.com

Recommended Posts